Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Thursday, September 20, 2012

Sayang Nabi: Dari Nurani Ke Demonstrasi

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Innocence of Muslim adalah sebuah karya bangsat yang menjijikkan. Ini diakui oleh banyak pengkritik filem di Barat sekalipun. The New York Daily News menyebutnya sebagai “an obscenely inept vanity project” that is “far beneath any reasonable standard of movie-making”.

Saya tidak bersetuju apabila seorang MP DAP menyatakan demonstrasi aman bantahan terhadap filem ‘Innocence of Muslims’ hanya membuang masa umat Islam. Kenyataannya itu tidaklah begitu jauh dari ‘fatwa’ beberapa ahli agama muda UMNO yang mengharamkan semua jenis demonstrasi aman sekalipun untuk melahir bantahan penghinaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Pandangan mereka juga telah saya tidak setuju sejak dahulu.

Saya tidak pasti apakah tujuan MP DAP tersebut membuat kenyataan itu sedangkan PR sebelum ini berkempen untuk rakyat turun ke jalan menyatakan bantahan mereka dalam pelbagai perkara. Tidak pula tokoh DAP yang anggota PR berkenaan menyatakan rakyat telah buang masa dengannya dan sepatutnya mencari pendekatan yang lain.

Namun apabila tiba kepada perkara yang sensitif bagi umat Islam, maka timbul pandangan bahawa itu membuang masa. Sebagai rakyat Malaysia, ahli politik lagi, beliau sekalipun bukan muslim patut tahu bahawa insan yang bernama Muhammad bin ‘Abdullah itu lebih lebih berharga dari segalanya dalam kehidupan muslim.
HARAM, HARAM, HARAM
Saya juga tidak setuju dengan sekumpulan agama dalam UMNO yang sibuk untuk mengharamkan demonstrasi aman membantah filem yang menghina Nabi s.a.w kerana kononnya itu tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan bukan amalan salafussoleh. Malangnya, mereka tidak bising apabila kerajaan saban tahun membuat sambutan maulid yang mengandungi perhimpunan, perarakan, kibaran slogan dan bendera dan pelbagai lagi.

Gambar Hiasan
Itu semua hakikatnya adalah demonstrasi ataupun tunjuk perasaan. Samada sayang ataupun marah, kesemuanya perasaan. Apa yang dibuat saban tahun itu bukan dari petunjuk Nabi s.a.w. Bahkan tiada alasan yang kukuh untuk ia dibuat demikian rupa dan saban tahun pula. Pun begitu, ia tidak ‘sakan’ dibantah. Namun apabila tiba isu menunjukkan rasa sayangkan Nabi s.a.w serta marahkan penghinaan kepada baginda, dan alasan untuk itu juga kukuh, tiba-tiba fatwa haram dikeluarkan lagi. Alasannya, Nabi s.a.w dan sahabat tidak pernah buat. Menariknya, fatwa itu disiarkan dalam blog, facebook dan twitter yang kesemua media itu juga tidak pernah digunakan pada zaman Nabi s.a.w. dan sahabat r.a.
Apapun saya suka dengan Pemuda UMNO dan PAS yang berhasrat untuk menyatakan bantahan aman mereka. Saya juga bercakap dengan Saudara Khairy Jamaludin untuk menganjurkan bersama ‘malam seni cintakan Nabi s.a.w’. Beliau turut bercadang mengajak pihak PAS juga. Penggiat seni Puan Erma Fatima mencadangkan kepada saya untuk diajak semua pihak terutama penggiat filem bersama. Ini isu kita bersama. Saya suka suasana ini. Muslim itu, siapa pun dia, Nabi Muhammad s.a.w tetap agung di lubuk jantung hatinya.
DEMO ZAMAN KINI
Saya akur demonstrasi aman bukan satu-satunya jalan dalam menyatakan perasaan. Demonstrasi juga bukan semestinya penyelesaian. Masih terdapat pelbagai cara untuk menzahirkan cinta dan mempertahankan baginda s.a.w. Pada hari ini, kita boleh menulis di media, di facebook, menghasilkan video, berseni dan pelbagai lagi.
Namun, bukan semua orang mampu untuk melakukan pendekatan itu, sedangkan Nabi s.a.w itu dicinta oleh setiap muslim dari pelbagai latar belakang. Bukan sahaja yang pandai menulis dan membaca, juga yang buta huruf dan tidak bersekolah tinggi. Bukan sahaja orang muda yang aktif di media maya, juga orang tua yang uzur dan yang hanya mampu menulis di kertas sahaja. Demonstrasi aman dapat menghimpunkan semua mereka, untuk berkongsi rasa dan menzahirkannya. Maka demonstasi aman memberi ruang kepada banyak pihak.
Dunia Barat sekalipun hampir berjaya menghapuskan illiteracy dan penggunaan media maya begitu luas dan bebas, namun demonstrasi aman masih satu pendekatan yang terus digunapakai oleh mereka. Bagaimana dunia akan tahu hasrat rakyat Catalonia hari ini untuk bebas dari Spain jika tidak lebih juta rakyat yang keluar ke jalan menyatakan hasrat mereka. Siapa yang akan tahu tentang pencemaran alam sekitar, penindasan golongan minoriti dan seumpamanya jika tidak suara demonstrasi para pejuangnya. Demonstrasi aman adalah saluran yang membolehkan perubahan dibuat di serata dunia. Demikianlah demonstrasi aman itu berfungsi dalam kehidupan politik manusia pada hari ini.
Jika manusia lain sanggup berhimpun untuk membantah pencemaran alam, mengapa tidak kita keluar membantah pencemaran imej Nabi s.a.w yang membawa rahmat untuk sekelian alam. Jika orang sanggup membuat demonstrasi membantah perkara yang lekeh, mengapa tidak kita keluar membantah penghinaan perkara yang asas dalam kehidupan kita. Nabi s.a.w ketika mengulas pertanyaan sahabah yang mendapat upah berjampi menggunakan ayat al-Quran, baginda menyebut:
“Ambillah, demi sesungguhnya orang makan dari jampi yang batil, engkau makan dari jampi yang sebenar” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih).
Jika dikias, kalau orang berdemonstrasi dalam perkara yang salah, kita berdemonstrasi dalam perkara yang betul!
GANAS
Namun kita menentang demonstrasi ganas yang merosakkan harta awam, ataupun yang gagal mengawal diri dan memelihara akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri. Jangan tuduh pihak yang tidak terlibat. Jika itu berlaku maka itu ‘defeating the purpose’. Apa yang berlaku di Benghazi, Libya adalah memalukan dan merosakkan nama Islam itu sendiri. Ia seakan membenarkan dakwaan dusta bahawa Islam itu ganas. Perbuatan membunuh duta dilarang oleh Nabi s.a.w. Ketika wakil Musailamah al-Khazzab yang mengaku nabi dan mereka itu telah mengkhianati baginda datang, baginda bersabda:
“Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku (arahkan) bunuh kamu berdua”. Kata ‘Abdullah bin Mas`ud: “Telah menjadi suatu sunnah bahawa para perwakilan tidak boleh dibunuh”. (Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya’la kata al-Haithamiy (wafat 807H): Sanad-sanad mereka adalah hasan.) Kata Syams al-Haq al-Abadi: “Pada hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya membunuh para perwakilan”( `Aun al-Ma’bud, 7/314. Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Namun, itu tidak bererti demonstrasi aman yang tidak ganas diharamkan. Jika ada pemandu yang tidak dapat mengawal diri dan berlaku kemalangan, tidak mungkin untuk diharamkan semua kereta dan jalanraya. Haramkan keganasan, tetapi ruang tetap ada untuk cara yang baik dan aman.
CINTA
Seorang muslim yang sebenar cintakan Nabi s.a.w. Cintanya kepada Nabi s.a.w itu tetap subur walaupun kadang-kala dirinya sendiri tidak begitu baik. Nabi s.a.w sendiri mengakui hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Apatahlagi para pejuang yang ingin menyampaikan mesej baginda kepada dunia ini. Cinta mereka membara. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraish yang menentang Nabi s.a.w. pada zaman itu lalu dibawa untuk dibunuh. Ketua Quraish Abu Sufyan –ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya:
“Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu”. Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di tempat dia berada sekarang terkena duri sedangkan aku pula berada di samping keluargaku”. Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah).
Lihatlah sahabat teragung Nabi s.a.w Abu Bakar al-Siddiq. Dalam riwayat Abu Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, apabila Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis. Nabi s.a.w bertanya:
“Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya: “Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam”.
Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu.
Demikian hati budi seorang muslim. Semua itu adalah manifestasi dari apa yang Nabi s.a.w sabdakan:
“Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).
Mereka yang tidak merasai kemanisan nikmat iman mungkin tidak faham hakikat ini. Mereka kehairanan kenapa muslim sedih dan emosi apabila Nabi mereka disakiti. Sesiapa yang hendak jadi ahli politik dalam masyarakat muslim, kena memahami latar pegangan dan nilai dalaman mereka.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts