Pages

SELAMAT DATANG KE DUNIA ILMU DETEKTIF TAJDID

Recent Posts

Thursday, May 10, 2012

Menangisi Kehilangan Islam Di Spain

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Apabila kita menyebut Spain, ramai orang ataupun peminat bola akan teringatkan kelab-kelab bola sepak yang hebat dari negara tersebut. Namun, bagi yang menyedari tentang kegemilangan sejarah lampau, mereka juga tidak akan lupa tentang sejarah kewujudan kerajaan umat Islam selama lebih tujuh ratus tahun di sana. Tamadun muslim di Andalusia. Satu tempoh yang sangat panjang. Tapi, telah jatuh dan gugur segala kegemilangan.

Seperti yang saya sebutkan dalam artikel yang lepas, Jawatan Kuasa Fatwa Perlis yang diketuai oleh Yang DiPertua MAIPs DYTM Raja Muda Perlis melawat beberapa tempat penting di UK dan Spain dua minggu lepas. Saya turut menyertai rombongan itu semasa di sini (UK) dan Spain. Itulah kali pertama saya ke Spain. Beberapa Negara Eropah telah saya lawati, tetapi tidak Spain. Kesempatan itu amat bermakna bagi saya. Kami melawat Madrid, Seville, Cordova, Granada dan Barcelona.


Kota Cordova Yang Indah

Islam Bermula

Muslim masuk menguasai Spain pada tahun 711M. Tentera Tariq bin Ziyad seramai 12000 orang telah berjaya mengalah pasukan tentera King Roderic yang seramai 90,000 orang. Dikatakan, asalnya Tariq bin Ziyad datang atas pemohonan bantuan Julian, Gabenor Ceuta kepada Gabenor muslim di Utara Afrika Musa bin Nusair. Julian memohon bantuan disebabkan anak perempuannya yang dihantar belajar telah dirogol oleh King Roderic. Setelah masuk, Tariq akhirnya meneruskan operasi sehingga menguasai Spain keseluruhannya. Sebahagian pengkaji pula menyebut bahawa muslim datang menawan Spain disebabkan permohonan bantuan oleh orang-orang Yahudi atas kekejaman Kristian.

Apapun, dalam sejarah muslim di Spain, kerajaan umat Islam telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi. Di bawah pemerintahan muslim di Spain, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Spain. Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan muslim di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.

Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Spain menganut Islam tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah menyanggahi asas arahan al-Quran. (lihat: Maryam Noor Beig, The Legacy of Andalus: Muslim Spain)


Gambar: Penulis dalam Masjid Cardova yang telah bertukar menjadi gereja.

Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Spain, Yahudi dan Kristian bebas mengamal agama mereka. Sebahagian mereka menjadi tokoh-tokoh ilmuwan yang besar dan penting. Hubungan antara penganut agama amat baik. Walaupun ada sebahagian penulis Barat yang cuba menafikan hal ini dengan menyatakan status ‘ahlu zimmah’ yang dipakai ketika itu menjadikan non-muslim itu sebenarnya second-class citizen. Padahal, ahlu zimmah bermaksud mereka itu dilindungi.

Apapun, jika dibandingkan dengan Kerajaan Krisitian yang menawan Spain selepas kejatuhan Muslim jauh lebih kejam dan zalim. Muslim dan Yahudi dipaksa menganut Kristian. Mereka dibunuh, bahkan dibakar hidup-hidup jika enggan. Sebahagian mereka dihalau keluar dari negara kerana perbezaan agama. Agama selain Kristian tidak dibenarkan diamalkan sama sekali. Hal ini diakui oleh para pengkaji sejarah dari pelbagai agama. Sesiapa yang berminat mungkin dia boleh menonton documentary dalam youtube: “The Rise And Fall of Islamic Spain”.


Kegemilangan Akademik

Sesiapa yang dalam pengajian Islam, pasti akan terbiasa dengan nama al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (meninggal 1064M) yang terkenal sebagai tokoh fekah zahiri. Dia juga ilmuwan dalam pelbagai bidang termasuk falsafah, sastera, sejarah dan lain-lain. Beliau kelahiran Cordova, Spain.

Demikian juga al-Imam Abu Abdillah al-Qurtubi (meninggal 1273M) dalam tafsir yang terkenal dengan Tafsir al-Qurtubi (al-Jami’ li Ahkam al-Quran). Qurtubi itu merujuk kepada Cardova. Begitu juga tokoh ilmuwan al-Imam Abu Bakr ibn al-‘Arabi al-Ishbili (meninggal 1148M) yang merupakan kelahiran Isbilia ataupun sekarang dikenali dengan Seville.

Al-Imam ash-Shatibi al-Gharnati yang terkenal dengan kitabnya al-Muwafaqat yang menjadi rujukan utama dalam Maqasid al-Shari’ah juga merupakan anak kelahiran Spain. Beliau lahir pada 1388M di Gharnatah yang sekarang dikenali dengan Granada. Ramailah lagi tokoh agamawan yang lahir dalam iklim Spain. Antara keistimewaan sebahagian ilmuwan Spain, mereka agak terbuka dalam banyak perkara.


Gambar: Penulis membelakangi Kota Alhamra

Jangan lupa di Spainlah umat Islam berjaya menghasil dan meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Lautan ilmu dalam perubatan dan astronomi telah dihasilkan. Demikian juga astrology, psychology, zoology, botany, biology, physics, chemistry, geometry dan lain-lain. Orang muslim Spain juga telah menghasil kain kapas, kertas, garam, sutera, satin, peta, jam dan pelbagai lagi.

Ahli ilmuan dari Barat telah datang dan belajar semua ilmu ini dari umat Islam Spain dalam bahasa Arab. Bahasa Arab telah dianggap sebagai bahasa ilmu dan sesiapa yang mampu menguasainya dianggap ilmuwan. Sastera Arab terutama puisi-puisi Arab Spain berkembang keseluruh Eropah. Dengan ilmu-ilmu ataupun tamadun yang diambil dari Umat Islam inilah juga yang akhir menyedarkan Eropah dari kegelapan dan mencetuskan European Renaissance.

Senibina

Senibina yang amat halus, menarik dan mewah telah menjadikan bangunan-bangunan peninggalan umat Islam Spain tiada tandingannya. Kota Alhamra di Granada telah menjadi saksi keindahan senibina umat Islam Spain. Ketika berada di Alhamra saya sempat bertanya pemandu pelancong kami, namanya Abu Bakr. Beliau nampak sebegitu tinggi semangat Islamnya dan memuja keagungan Islam di Spain.

Saya bertanya kepadanya: “Segala kemewahan ini, lambang keagungan dan kehebatan, ataupun lambang kezaliman dan pembaziran?”. Beliau menjawab: “Jika saya mahu bercakap benar, saya menganggap ia pembaziran dan kezaliman”. Saya bertanya soalan yang sama kepada salah seorang tokoh ilmuwan muslim di Granada, namanya Abd al-Ghani. Beliau telah menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Spanish. Beliau jawab: “Ia adalah sunnah alam dalam persaingan. Semasa itu muslim bersaing untuk menunjukkan kehebatan mereka”.

Saya pula berpendapat: “Jika pembinaan dalam keadaan kekayaan yang cukup dan bukan hasil perahan harta rakyat, maka ia sesuatu yang amat terpuji dalam dunia persaingan tamadun. Jika ia diambil dari kesusahan rakyat, maka itu satu kezaliman. Namun, masyarakat muslim ketika itu kelihatan kaya dan mewah”.


Gambar: Penulis di tepi kolam Alhamra

Hanya Kenangan

Namun, itu semua telah menjadi sejarah. Kerajaan Spain jatuh dan tamadun mereka dihancurkan oleh Kristian, hanya tinggal saki baki yang sedikit. Masjid Cardova yang indah dan agung telah bertukar menjadi gereja. Islam dihalau, dan sebahagian besar dipaksa menganut Kristian. Kesan-kesan Islam semampu mungkin cuba dihakiskan. Semua itu bermula dari pengkhianatan dan permusuhan sesama sendiri atas kerakusan kuasa. Mereka berpecah dan bermusuhan. Rakyat dan umat menjadi mangsa. Ratusan tahun tamadun yang dibina, akhirnya gugur dan tidak bangkit lagi.

Walau bagaimana pun, hari ini dunia menikmati hasil peninggalan Andalusia. Ilmu-ilmu yang diwariskan, telah diciplak dan dikembangkan oleh Eropah. Umat Islam hanya mampu menyebutnya, tanpa meneruskannya lagi. Memalukan. Namun, Spain menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian telah dibuktikan di bawah pentadbiran umat Islam. Ajaran Islam, menentang penindasan agama. Kehancuran toleransi di Spain adalah selepas kejatuhan Islam ke tangan tentera Kristian. Mereka tidak mengamal apa yang diajar oleh Jesus.


Gambar: Cordova dalam kenangan

Saya juga tidak mengatakan bahawa para pemerintah umat Islam Spain ataupun Andalusia itu benar-benar Islamik. Ada perbuatan mereka yang betul, dan ada yang salah. Ya, kerana dosa juga mereka jatuh. Namun, asas toleransi telah mereka amalkan, kerana itu dasar ajaran Islam dalam politik. Malangnya, dasar itu tidak dipegang oleh tentera Kristian yang menawan Andalusia.

Saya bayangkan, jika Barat hari ini masih kuat Kristian, dan ia menjadi dasar pemerintahan, tentu agama lain sukar untuk hidup di Barat. Namun, dengan pemisahan agama dan politik di Barat telah menyelamatkan banyak keadaan.

Demikian dunia muslim. Jika hendak amalkan Islam, amalkan Islam yang sebenar yang akan memberikan keadilan dan kerahmatan kepada semua manusia. Jika Islam sekadar topengan dan permainan politik, lebih baik dipisahkan agama dari politik. Dengan itu, Allah dan Nabi tidak akan dicerca oleh yang salahfaham. Kembara ke Spain banyak memberi inspirasi.

Monday, April 30, 2012

Pengalaman Ustaz Hasrizal Menyertai Bersih 3.0

 Oleh Abu Saif
Saya sudah tiba dan duduk di persimpangan antara Jalan TAR dan Jalan Tun Perak sejak jam 9 pagi. Kedudukan saya amat hampir dengan lokasi TITIK di tengah-tengah simpang empat tempat di mana para pemimpin BERSIH berucap. Suasana amat aman. Ada orang berjual beli. Ada juga menawarkan khidmat mengutip botol air mineral dan minuman. Dalam kepanasan yang luar biasa, ada yang mengagihkan secara percuma tuala Good Morning. Ramai yang sangat nak tahu apa yang berlaku, tetapi apabila ada sahaja seseorang berkata DUDUK, majoriti duduk kerana tema demo kali ini pun ialah DUDUK untuk BANTAH.

Ada pakcik dari Kemaman duduk sebelah saya, dia tanya Cina depan saya, macam mana nak cakap DUDUK dalam bahasa Cina. Budak muda itu beritahu perkataannya dan pakcik dari kemaman tu jerit-jerit dalam bahasa Cina. Budak muda depan saya itu ketawa dan mengangkat tangan tanda suka.

Cuaca amat panas, kami keletihan tetapi terus sabar kerana menunggu ucapan pemimpin-pemimpin BERSIH mengambil tempat. Ada ramai yang berucap. Malah ada beberapa pimpinan sebelum DSAI sudah pun bertanya adakah patut kita masuk ke Dataran Merdeka. Ramai yang bersorak masuk! masuk! Tetapi tiada siapa yang masuk. Sebab, semua mengikut arahan yang diberikan. Hatta pimpinan BERSIH kata, jangan baling botol apabila trak polis melintas di tengah-tengah kita (beberapa kali), itu pun dipatuhi oleh orang ramai.

Selepas DSAI tiba dan berucap, kami sampai kepada ucapan bahawa BERSIH sudah selesai kerana berjaya mencapai matlamat dengan jumlah kehadiran yang begitu besar.

Semasa itu ramai yang berdiri dan tidak lagi duduk. Kami tidak nampak apa yang berlaku sekitar 20 meter daripada kami kerana suasana amat bising. Majoriti tertanya-tanya adakah Dataran Merdeka dibuka? Adakah ia provokasi? Sebabnya semua maklum yang majlis dah selesai. Semasa bertanda tanya itu, seorang peserta yang OKU pengsan dan dibawa keluar ke tepi dalam kesesakan yang amat itu. Semasa saya menoleh ke peserta OKU itulah, water cannon mula disemburkan dan kami berpaling daripada arah Dataran, berpusing ke belakang untuk mengelak. Tambahan pula gas pemedih mata sudah mula ditembak.

Saya tersedut terlalu banyak gas dan mengalami beberapa minit ketidak upayaan bernafas. Lendir meleleh dari mulut dan hidung serta mata. Saya sedar-sedar saya sudah berada di dalam kolam landskap DBKL lalu segera mengambil peluang membasuh muka dengan air itu. Kekurangan oksigen kerana sukar menarik nafas menyebabkan saya terasa seperti mahu membiarkan diri pengsan kerana sudah tidak boleh bernafas lama. Tetapi saya takut terjatuh ke dalam kolam. Saya kuatkan semangat dan duduk di bawah air pancut untuk mengurangkan kesan dan semasa itulah saya tersedar bahawa pada masa itu hanya tinggal saya bersama seorang sahabat, 3 orang makcik muslimah kita dan seorang pakcik (usia dalam 50'an belaka) serta seorang perempuan cina tua. Juga seorang lelaki yang sedang 'berenang' dalam kolam cetek itu. Kami dikepung polis dan FRU, dimaki dan dipaksa keluar daripada kolam. Semasa itu saya pasrah dan menerima hakikat saya ditangkap kerana sepasukan besar polis mengepung kami. Saya dan rakan serta makcik2 tu keluar dari kolam bersama tengkingan polis. Tangan saya dipegang oleh anggota FRU dan saya mengagak bahawa saya sudah 'jatuh' ke tangan mereka.

Namun syukur Alhamdulillah saya sempat membuang baju kuning. Yang tinggal adalah baju putih bersama rain breaker terikat di pinggang. Saya dan rakan berdiri kebingungan di tengah-tengah simpang Jalan TAR dan Jalan Tun Perak. Tidak pasti hendak ke mana kerana di keliling kami semuanya polis yang sedang menggila. Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian biasa menyergah saya bertanya, "are you a cameraman?" beberapa kali.

Saya tidak menjawab tetapi hanya memberikan isyarat talk to my hand, sebab saya sudah tidak mampu bercakap.

Ketika itu memang hanya mampu bertawakkal. Saya mengajak sahabat saya berjalan perlahan-lahan menyusuri Jalan Tun Perak ke arah Masjid Jamek. Ketika itu saya amat bersyukur kepada Allah kerana terasa sungguh ajaib apabila tiada seorang polis pun menahan kami berdua walaupun di sekeliling kami mereka sedang memukul orang, menembak canister dan menjerit-jerit kemarahan.

Akhirnya saya berjaya bergabung dengan orang ramai di sekitar kawasan Masjid India. Saya teruja melihat banyak kedai memberi perlindungan kepada orang ramai di dalam premis mereka. Sebahagian menegur kami yang basah kuyup dan memberi garam.

Blackberry gagal diselamatkan. Ia paling merisaukan saya kerana jika saya ditangkap, nombor telefon lawyer ada di dalamnya dan phone itu sudah menemui ajal. Usaha untuk keluar daripada kawasan Masjid India itu juga amat sukar kerana selepas lebih satu jam pertembungan tercetus di Dataran Merdeka, polis masih aktif menangkap orang ramai. Saya beredar daripada lokasi kejadian pada jam 5:45 melalui LRT Damai.

Kesimpulan daripada cerita yang panjang lebar ini, kami memang berada dalam suasana aman sehingga majlis diisytiharkan bersurai. Tiba-tiba di hujung itu keganasan tercetus. Usahkan yang di rumah. Saya yang hanya 50 meter daripada kawat duri itu pun tidak jelas pada menentukan siapa yang mencetuskannya. Hanya video rakaman detik penting itu, dan mereka yang berada di situ sahaja yang boleh menceritakannya.

Di rumah, saya uruskan diarrhea, sakit badan dan mata, tanpa sedikit pun rasa kesal, malah gembira menyertai sebuah perjuangan melakar sejarah perubahan Negara. Saya akan teruskan momentum BERSIH 3.0 dengan segala kemahiran yang saya ada, terutamanya pada mengusahakan Revolusi Mental. We should not let schooling interfere our young generation's education. Allahu Akbar wa Lillaahi al-Hamd!

Popular Posts