darulkautsar.net
Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.
PERISTIWA HIJRAH YANG KITA KETAHUI
Bukalah dan bacalah buku sirah dan maghazi mana sekalipun, hampir-hampir tidak akan kita temui suatu gambaran peristiwa hijrah Nabi s.a.w. yang berbeza dari yang selalu kita dengar dan kita ketahui iaitu :
1) Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Baginda s.a.w. pada waktu malam.
2) Baginda s.a.w. memerintahkan supaya Ali tidur di atas katil Baginda s.a.w. pada malam berlakunya hijrah itu.
3) Orang-orang kafir Quraisy mengepung rumah Nabi s.a.w. pada malam itu dan pada keesokan paginya barulah mereka sedari bahawa yang tidur di atas katil Nabi itu ialah Sayyidina Ali r.a. bukan Nabi s.a.w. sendiri.
4) Sambil keluar dari rumah untuk berhijrah itu Nabi s.a.w. menaburkan tanah atau pasir di atas kepala orang-orang kafir yang menanti peluang untuk menyerbu rumah Rasulullah s.a.w. demi untuk membunuh Baginda s.a.w. dan dengan itu mereka tidak sedar lagi bilakah Rasulullah s.a.w. keluar dari rumah Baginda s.a.w.
5) Sambil manabur pasir atau tanah itu Rasulullah s.a.w. membaca ayat 9, surah Yasin.
6) Cadangan supaya Nabi s.a.w. dibunuh disyorkan oleh Abu Jahal dan disokong oleh seorang tua Najdi dalam mesyuarat sebelum tindakan menyerbu dan mengepung rumah Rasulullah s.a.w. pada malam hijrah itu.
RUJUKAN UTAMA PERISTIWA HIJRAH
Tetapi adakah kita tahu siapakah yang menjadi rujukan kepada penyusun buku-buku yang memuatkan peristiwa hijrah Nabi s.a.w. dengan perincian seperti yang disebutkan tadi?
Rujukan mereka dalam soal ini juga sama seperti rujukan mereka dalam soal-soal lain berkaitan sirah nabi saw, Muhammad Ibnu Ishaq ( Ibnu Ishaq) melalui Ibnu Hisyam dan Salamah al-Abrasy, Waqidi, melalui Thabari dan Ibnu Saad. ( Lihat Sirah Ibnu Ishaq m.s. 221-223, Sirah Ibnu Hisyam jilid 2 m.s. 89-92, Tarikh al-umam Wa al-Muluk at-Thabari jilid 2 m.s. 98-100, at-Thabaqat al-Kubra Ibnu Sa’ad jilid 1 ms. 175-177).
PERISTIWA HIJRAH MENGIKUT RIWAYAT BUKHARI
Sebagai perbandingan dengan riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq berhubung dengan peristiwa hijrah, baik sekali kiranya kita mengemukakan di sini riwayat Bukhari di dalam Sahihnya yang agak panjang berhubung dengan peristiwa ini tetapi kita akan memetik sekadar yang berkaitan sahaja. Setelah ini diharapkan kita akan dapat menyimpulkan beberapa fakta berkenaan perbezaan dan kelainan yang terdapat di antara riwayat Ibnu Ishaq dan riwayat Imam Bukhari.
Nabi saw pernah berkata kepada orang-orang Islam pada hari-hari sebelum hijrah, “Sesungguhnya aku telah bermimpi melihat negeri hijrah itu, letaknya dalam kebun tamar di antara dua kawasan berbatu hitam”.
Setelah itu berhijrahlah sesiapa yang mahu berhijrah ke Madinah. Kebanyakan orang-orang yang telah berhijrah ke bumi Habsyah kembali ke Madinah. Abu Bakar juga telah bersedia berangkat ke Madinah. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya, “Engkau tunggu dulu kerana saya berharap akan diizinkan kepada saya untuk berhijrah”. Abu Bakar lantas berkata, “Kutebus engkau dengan ayahku dan ibuku. Adakah engkau berharap demikian?”. Abu Bakar pun menahan dirinya dari terus pergi ke Madinah untuk bersama-sama Rasulullah s.a.w. nanti. Beliau memberi daun samur sebagai makanan kepada 2 ekor unta kepunyaannya selama 4 bulan.
Ibnu Syihab berkata, “Kata Urwah, “A’ishah terus bercerita, “Pada suatu hari, ketika kami sedang duduk-duduk di rumah Abu Bakar pada waktu tengahari, tiba-tiba ada orang berkata kepada Abu Bakar, “Itu Rasulullah datang pada waktu yang tidak pernah ia datang kepada kami padanya”. Abu Bakar pun berkata, “Demi Allah ! Kutebus engkau dengan ibubapaku. Pasti ada perkara penting yang mendorongnya datang pada waktu ini”. A’ishah menceritakan, Rasululllah s.a.w. pun sampai. Baginda s.a.w. meminta izin (untuk masuk). Terus diizinkan kepada Baginda s.a.w. lalu masuklah nabi s.a.w. sambil berkata kepada Abu Bakar, “Keluarkanlah sesiapa yang ada di rumahmu”. Abu Bakar berkata, “ Tiada orang lain, mereka ahli keluargaku. Kutebus engkau dengan ayahku wahai Rasulullah!”. Rasulullah pun berkata, “Sesungguhnya aku telah diizinkan untuk keluar”. Abu Bakar pun berkata, “Kutebus engkau dengan ayahku, wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan saya bersama?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ya”. Abu Bakar berkata, “Kalau begitu ambillah salah satu dari dua ekor unta saya ini, wahai Rasulullah ! Kutebus engkau dengan ayahku”. Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengan dibeli”.
A’ishah berkata, “Kami pun menyediakan keperluan-keperluan perjalanan untuk mereka berdua dengan segera dan kami memasukkan makanan untuk mereka ke dalam satu bungkusan. Asma’ membelah dua tali pinggangnya lalu mengikat bungkusan itu dengannya kerana itulah beliau dinamakan ‘perempuan yang mempunyai dua tali pinggang’ (Zaatu an Nithaqain)”.
Kata A’ishah, “Kemudian Rasulullah saw dan Abu Bakar pun sampai ke sebuah gua di Jabal Tsaur. Disitulah mereka bersembunyi selama tiga malam ditemani oleh Abdullah anak Abu Bakar. Ketika itu beliau masih muda belia, sangat pintar dan cerdas. Dia keluar dari tempat itu sebelum fajar. Di waktu pagi beliau sudah berada di Mekah bersama orang Quraisy seolah olah dia juga bermalam di Mekah. Tidak didengarnya sesuatu yang mengancam Rasulullah s.a.w. dan ayahnya melainkan dibawanya berita itu kepada mereka pada waktu malam.
Amir bin Fuhairah, hamba bebasan Abu Bakar pula menternak kambing dan melepaskannya di kawasan itu pada waktu Isyak dengan itu Rasulullah saw dan Abu Bakar bermalam dalam keadaan kenyang kerana meminum susunya. Bila tiba waktu dinihari, Amir Bin Fuhairah menghalau kambing-kambing itu (ke kawasan lain). Demikianlah dilakukannya pada tiga malam itu.
Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar telah mengupah seorang lelaki dari Bani Dil sebagai pemandu perjalanannya. Dia merupakan sekutu keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi dan ketika itu masih bersama dalam ugama orang-orang Quraisy. Bagaimanapun mereka berdua mempercayainya dan menyerahkan dua ekor unta kepadanya dengan perjanjian dia akan datang ke Gua Tsaur pada pagi hari yang ketiga. Selepas itu Amir Bin Fuhairah dan pemandu tadi berangkatlah bersama Rasulullah saw dan Abu Bakar. Pemandu mereka membawa mereka melalui jalan tepi pantai.( Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554)
Riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan riwayat yang dikemukakan oleh Bukhari ini apabila diteliti, di sana terdapat banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Di antara yang dapat disimpulkan dari riwayat Bukhari ini ialah seperti berikut :
KESIMPULAN DARI RIWAYAT BUKHARI
Daripada riwayat Bukahri ini dapat diambil beberapa kesimpulan sebagaimana berikut :
1. Hijrah ke Madinah berlaku dari rumah Abu Bakar pada waktu tengahari bukannya pada waktu malam. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. mendapat perintah supaya berhijrah, Baginda s.a.w. terus ke rumah Abu Bakar pada waktu tengahari, iaitu suatu waktu yang tidak biasa Rasulullah s.a.w. pergi ke rumah Abu Bakar. Fakta yang sama juga terdapat dalam satu keterangan Ibnu Ishaq. Malah Ibnu Ishaq dengan jelas menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersama-sama Abu Bakar telah keluar melalui jendela belakang rumah Abu Bakar pada waktu siang itu dan mereka terus menuju ke gua di atas Bukit Thaur (Lihat Sirah Ibnu Ishaq m.s. 224, Sirah Ibnu Hisham jilid 2 m.s. 93) Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah bukan suatu yang dirancang sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sebelum itu menurut sesetengah penulis Sirah.
2. Di dalam riwayat Bukhari ini, tidak pun disebutkan Sayyidina Ali diminta supaya tidur di atas tempat tidur Nabi saw dan tidak juga disebutkan Nabi saw keluar dari rumahnya dalam keadaan rumahnya dikepung oleh musuh-musuh baginda saw sambil baginda saw menaburkan tanah atau pasir di atas kepala musuh-musuh yang mengepung rumah itu.
3. Apa yang didapati dalam tulisan sesetengah penulis sirah bahawa Rasulullah saw pergi ke rumah Abu Bakar sebanyak dua kali. Kali pertama pada waktu siang (seperti apa yang tersebut dalam riwayat Bukhari), menurut penulis-penulis sirah itu hijrah tidak berlaku pada kepergian kali pertama ini dan kali kedua ialah pada waktu malam di mana peristiwa hijrah itu benar-benar berlaku (menurut riwayat Ibnu Ishaq) ertinya menurut pendapat mereka hijrah berlaku pada waktu malam dari rumah Abu Bakar. Ini tidak benar sama sekali dan tidak benar juga penulis-penulis yang menyebutkan Rasulullah s.a.w. ke rumah Abu Bakar pada waktu siang itu adalah 3 hari sebelum berlakunya peristiwa Hijrah sebenar pada waktu malam. Tujuannya ialah untuk memaklumkan kepada Abu Bakar dan menyiapkan bekalan berupa makanan dan sebagainya di rumah Abu Bakar.
1) Riwayat Bukhari ini dengan jelas menolak pandangan penulis-penulis tersebut. Ini kerana tidak tersebut di dalamnya Rasulullah s.a.w. berhijrah pada waktu malam dari rumah Abu Bakar. Sementara riwayat Ibnu Ishaq pula menceritakan Rasulullah s.a.w. berhijrah dari rumah baginda s.a.w. sendiri pada waktu malam. Di samping itu tidak ada lagi keperluan memaklumkan kepada Abu Bakar seperti yang didakwa itu. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah memaklumkan kepada Abu Bakar 4 bulan sebelum itu seperti yang terdapat dalam riwayat Bukhari ini?. Kerana itu Abu Bakar telah pun menyiapkan dua ekor unta dan sebagainya. Bekalan makanan bagaimanakah harus disediakan oleh Rasulullah s.a.w. di rumah Abu Bakar selama 3 hari sebelum berhijrah itu?
2) Apa yang sebenarnya ialah hijrah berlaku pada waktu siang seperti yang jelas kelihatan dalam riwayat Bukhari tadi. Segala kecelaruan berlaku tidak lain melainkan kerana sikap penulis-penulis sirah yang cuba mengkompromikan riwayat Ibnu Ishaq dengan riwayat-riwayat sahih Bukhari seolah-olah mereka menaiki dua buah sampan, sebelah kaki berada di dalam satu sampan dan sebelah kaki lagi berada di sampan yang lain. Mereka tidak mahu meninggalkan Bukhari dan tidak juga mahu meninggalkan Ibnu Ishaq. Alangkah sukar dan sia-sianya percubaan yang telah dilakukan oleh mereka itu!
4. Sayyidatina A’ishah bersama Asma’ menyiapkan bekal untuk perjalanan Rasulullah saw dengan cepat-cepat kerana permulaan hijrah berlaku pada masa itu juga.
5. Boleh dikatakan semua anggota keluarga Sayyidina Abu Bakar memainkan peranan dalam menjayakan langkah-langkah hijrah yang berlaku pada saat yang sangat genting itu. Abdullah Bin Abu Bakar selama 3 malam berturut-turut menemani Rasulullah s.a.w. dan Sayyidina Abu Bakar di Gua Thaur. Pada waktu siang pula beliau bersama dengan masyarakat mengintip sesuatu yang mungkin mengancam mereka berdua. Amir Bin Fuhairah hamba bebasan Abu Bakar menghalau kambingnya ke kawasan sekitar bukit itu dengan maksud menyediakan susu untuk Rasulullah s.a.w. dan Sayyidina Abu Bakar pada waktu malamnya. Semuanya berlaku dalam keadaan yang tidak disangka atau diragui oleh sesiapapun.
6. Di dalam riwayat Bukhari itu tidak disebutkan kisah syaitan telah menyamar sebagai orang tua Najdi dan menghadiri majlis mesyuarat pembesar-pembesar Quraisy yang merancang untuk membinasakan Rasulullah saw tetapi ia terdapat di dalam riwayat Ibnu Ishaq.
Demikianlah sebahagian dari kenyataan-kenyataan penting yang membezakan di antara riwayat Imam Bukhari dan riwayat Ibnu Ishaq. Tetapi berapa keratkah dari kalangan Ahlus Sunnah sendiri yang menerima hijrah ini berlaku pada waktu tengahari? Siapakah di antara penulis sirah di kalangan Ahlus Sunnah baik dahulu mahupun sekarang yang tidak menyebutkan peranan Sayyidina Ali yang tidur di atas katil Nabi saw sehingga mengelirukan orang-orang yang mengepungnya??
PERANAN IBNU ISHAQ DAN KUNCU-KUNCUNYA
Sungguh besar peranan Ibnu Ishaq dan orang-orang sepertinya dalam mengelirukan ummah. Suntikan-suntikan yang diberikan oleh mereka hingga sekarang masih belum dapat mengembalikan kesedaran umat Islam dari pengsan! Siapakah yang mengatakan kitab Sahih Bukhari adalah kitab rujukan terpenting dan tertinggi bagi umat Islam selepas al-Quran. Ulama’-ulama’ itulah! Tetapi dalam soal ini riwayat siapakah yang dipegang oleh mereka? Bagaimana riwayat Bukhari boleh tercicir dari ingatan mereka? Bukankah musuh-musuh Islam telah berjaya melalui ejen-ejennya yang menyelinap masuk sebagai perawi-perawi hadis dan sebagai penulis-penulis kitab sirah dan maghazi dalam memesongkan pemikiran umat Islam!?
KEBATHILAN RIWAYAT IBNU ISHAQ
Setelah mengetahui titik-titik perbezaan di antara Sahih Bukhari dan riwayat-riwayat Ibnu Ishaq sekarang marilah pula kita teliti secara kritis riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq itu. Dimanakah letak kelemahannya, sudut-sudut yang boleh dipertikaikan dan aspek-aspek yang tidak dapat bertahan bila diuji dengan lojik dan akal yang sejahtera. Di antara yang boleh disebutkan adalah seperti berikut:
1) Di dalam riwayat Ibnu Ishaq tersebut ketika ketua-ketua Quraish berbincang di Dar an-Nadwah berkenaan apakah tindakan yang seharusnya mereka ambil terhadap Rasulullah s.a.w. disebutkan iblis datang dalam rupa seorang tua yang hebat. Syeikh ini dikatakan orang Najd. Akhir sekali setelah Abu Jahal mengemukakan pendapat, “Dibunuh saja oleh sekumpulan anak-anak muda dari setiap qabilah,”. Syeikh Najdi itu menyokong dan membenarkan pendapat itu.
Persoalan yang timbul di sini ialah apakah nama Sheikh itu? Tidak adakah dari kalangan anggota majlis mesyuarat itu sebelum itu memang mengenalinya? Apa yang nyata dari riwayat tersebut ialah Syeikh itu tiba-tiba muncul ketika menyuarat itu akan bermula, ini bermakna mereka tidak mengenalinya sebelum itu. Tidak tersebut langsung dalam riwayat Ibnu Ishaq qabilah manakah yang diwakilinya. Mungkinkah satu mensyuarat penting dan sulit untuk merancang seseorang dijalankan dengan dihadiri oleh seorang yang tidak diketahui dari mana datangnya dan siapa namanya? Bagaimana pula Ibnu Ishaq mengetahui bahawa Syeikh itu ialah seorang Iblis? Atau adakah sesiapa dari ahli menyuarat itu menceritakan kepada Ibnu Ishaq bahawa orang itu ialah iblis? Ini semua tidak lebih dari khurafat semata-mata!
2)Dalam riwayat Bukhari tidak tersebut langsung peranan Sayyidina Ali dalam peristiwa Hijrah ini. Apa yang ada ialah peranan Abu Bakar dan keluarganya dan orang-orang yang ada kaitan dengannya. Sebaliknya di dalam riwayat Ibnu Ishaq, Sayyidina Ali telah memainkan satu peranan yang palng penting di mana beliau diarahkan supaya tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w. pada malam berlakunya hijrah, setelah rumah Baginda s.a.w. dikepung oleh pemuda-pemuda yang akan menyerbu untuk membunuh Rasulullah s.a.w.
Melalui riwayatnya Ibnu Ishaq mahu menonjolkan keberanian luarbiasa Sayyidina Ali kerana sanggup berbaring di tempat tidur Rasulullah s.a.w. yang pada bila-bila masa mungkin diserang oleh pihak musuh. Tetapi Ibnu Ishaq sendiri meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. telah pun bersabda pada Ali bin Abi Thalib supaya tidur di atas tilamnya dan berselimut dengan selimutnya dengan tenang tanpa sebarang kebimbangan kerana, “ tidak ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa engkau.” Bukankah sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sayyidina Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq ini bertentangan dengan apa yang ingin dibuktikan olehnya? Dia mahu membuktikan keberanian Sayyidina Ali yang tiada tolok bandingnya tetapi bagaimana akan terbukti keberanian itu bila sudah ada jaminan dari nabi s.a.w. bahawa tidak akan ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa Sayyidina Ali dengan mengambil tempat tidur Baginda s.a.w. dan berselimut dengan selimut Baginda s.a.w.? Seorang mukmin yang paling pengecut sekalipun akan berani tidur di atas tilam Nabi s.a.w. setelah mendapat jaminan seperti itu dari Rasulullah s.a.w. sendiri!
3)Menurut as-Suhaili, pensyarah kepada kitab Sirah Ibnu Hisham bahwa sebabnya anak-anak muda yang ditugaskan membunuh Rasulullah s.a.w tidak menyerbu masuk ke dalam rumah tetapi menunggu sahaja di luar rumah kerana orang-orang Arab menganggap aib besar jika seseorang menyerbu masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya orang-orang perempuan- (Lihat ar-Raudhu al-Unf jilid 4 ms.s. 201)
Jika sudah diketahui begitu adat orang-orang Arab maka apalah mencabar sangat Sayyidina Ali tidur di atas tilam Rasulullah s.a.w. itu? Kerana beliau boleh tidur senyenyak-nyenyaknya tanpa ada sebarang kekhuatiran lantaran sudah menjadi kebiasaan orang Arab tidak akan menyerbu ke dalam rumah yang ada orang-orang perempuan di dalamnya. Sememangnya pun ada orang-orang perempuan di dalam rumah Rasulullah s.a.w. iaitu anak-anaknya Ruqayyah, Ummul Kulthum, Fatimah, Ummul Aiman dan isterinya Saudah.
4) Jika Hijrah ini tidak diterima berlaku pada waktu malam malah berlaku pada waktu tengahari seperti yang tersebut dalam riwayat Imam Bukhari maka di manakah ruang yang ada untuk menonjolkan Sayyidina Ali? Sayyidina Ali akan kelihatan tidak berperanan langsung jika diterima hijrah itu berlaku pada waktu siang dan kepada orang-orang seperti Ibnu Ishaq terlalu berat untuk mengakui dan mengiktiraf kelebihan Abu Bakar dan ahli keluarganya, oleh itu semestinya dilakukan sesuatu. Melalui cerita ini Ibnu Ishaq cuba memindahkah kelebihan Abu Bakar dan keluarganya kepada Ali. Dengan menerima cerita ini secara tidak langsung akan berkuranglah kelebihan Abu Bakar seperti yang kelihatan dalam riwayat Bukhari. Di sinilah letaknya punca penyakit golongan Syiah dan inilah sebenarnya punca kemunculan cerita ini ke alam nyata.
5) Riwayat Ibnu Ishaq menyatakan hijrah berlaku pada waktu malam. Sekali pandang riwayat ini lebih sesuai untuk diterima kerana pada waktu malam biasanya orang tidur dan keadaan sekeliling pun gelap, kerana itulah tidak ada sesiapapun mempertikaikan riwayat Ibnu Ishaq ini. Kalau pun ada riwayat Bukhari yang menyatakan hijrah berlaku pada waktu tengahari, para ulamak akan c1uba menyesuaikannya dengan riwayat Ibnu Ishaq tadi dengan mengatakan misalnya nabi s.a.w. ke rumah Abu Bakar pada waktu tengahari itu bukanlah dengan maksud untuk berhijrah pada waktu tengahari itu tetapi semata-mata untuk menyatakan keizinan Allah s.w.t. untuk berhijrah bersama Abu Bakar dan juga untuk persiapan perjalanan yang akan berlangsung sehari selepas itu menurut setengah-setengah penulis atau 3 hari selepas itu menurut sesetengah penulis yang lain pula.
Mereka semua lupa bahawa keadaan cuaca panas dan kebiasaan masyarakat Arab mendorong mereka berurusan pada waktu malam seperti membeli-belah dan lain-lain. Pada waktiu siang pula mereka tidak keluar rumah, samada tidur atau berehat di dalam rumah. Keadaan ini boleh lagi disaksikan menjadi kebiasaan mereka hingga ke hari ini, samada di Mekah, Madinah, di Jeddah atau lain-lain tempat.
6) Dari riwayat Bukhari dapat difahami bahawa Nabi s.a.w. baru mengetahui keputusan orang-orang Quraisy supaya Baginda s.a.w. ditangkap dan dibunuh melalui Suraqah yang mengejar Nabi s.a.w. setelah Baginda s.a.w. keluar dari gua selepas tiga hari bersembunyi di dalamnya. Dalam keputusan mesyuarat ketua-ketua kafir Quraisy itu tidak disebutkan Rasulullah s.a.w. sahaja malah Abu Bakar pun termasuk dalam senarai yang dikehendaki supaya ditangkap dan dibunuh itu. Kepada orang-orang yang dapat menangkap dan membunuh Rasulullah s.a.w atau Abu Bakar ditawarkan saguhati yang begitu besar iaitu 100 ekor unta untuk setiap orang. Kerana tertarik dengan tawaran itu Suraqah telah mengejar untuk menangkap mereka tetapi tidak berjaya. Akhirnya Suraqah masuk Islam.
Di dalam riwayat ini tidak tersebut pun Sayyidina Ali di antara orang-orang yang dikehendaki dan ditawarkan saguhati kepada sesiapa yang dapat menangkapnya. Ini menunjukkan bahawa Sayyidina Abu Bakar adalah seorang yang sangat penting di sisi Rasulullah s.a.w. dan juga pada pandangan orang kafir. Adapun Sayyidina Ali mengikut riwayat Ibnu Ishaq setelah keesokan paginya ditangkap oleh orang-orang kafir lalu disoal siasat sekejap dan dilepaskan dengan begitu sahaja.
7) Mengikut cerita Ibnu Ishaq seolah-olah nabi s.a.w. telah pun mengetahui sebelum berhijrah lagi bahawa mereka akan menangkap atau membunuhnya pada malam Baginda s.a.w. keluar dari rumahnya. Ini berbeza dengan riwayat Imam Bukhari di mana nabi s.a.w. seolah-olahnya tidak mengetahui pun mesyuarat yang diadakan oleh ketua-ketua kafir Quraisy untuk merancang sesuatu yang buruk terhadapnya di mana iblis yang menyamar sebagai orang tua atau Syeikh Najdi ikut serta di dalamnya. Kalau lah majlis mensyuarat itu begitu terbuka sehingga orang yang tidak dikenali seperti Najdi tersebut pun boleh menyertainya, besarlah kemungkinan nabi s.a.w. telah mengetahui apa yang dirancang dan diputuskan dalam mesyuarat itu. Mungkin ada orang berkata, “Boleh jadi nabi s.s.w. mengetahuinya melalui wahyu dari Allah s.w.t.” Tetapi kita tetap mengatakan dakwaan ini memerlukan bukti dan riwayat-riwayat orang-orang seperti Ibnu Ishaq tidah nemadai untuk dijadikan bukti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment