Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Monday, March 29, 2010

Kuasa Politik dan Kuasa Agama


Ulasan hebat dari mantan mufti Perlis berkaitan dengan pengaruh kuasa politik dan kuasa agama yang memiliki kepentingan masin-masing untuk mencorak kehidupan rakyat. Ikuti tulisan berikut daripada Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.


Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.


Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’ atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau ‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ’senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.


Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teks al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w:

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w:

“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya…

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ’sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…



Sunday, March 28, 2010

Nasyid Komteporari: Pro & Kontra



Wawancara dengan Risalah Al-Syariah (Bil. 7 – Muharram-Safar 1431H / Januari-Feb 2010M) Diterbitkan oleh Jabatan Al-Syariah, KIAS.

Di bawah ini adalah teks asal jawapan Abu Anas mengenai “Nasyid Komteporari: Antara Pro dan Kontra.
1. Manusia memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian. Namun dalam memilih hiburan yang ada pada hari ini, manusia kerapkali terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram. Hal ini termasuklah dalam memilih lagu-lagu nasyid. Apakah dalil-dalil yang menyebut tentang hukum mendengar lagu dalam Islam?

Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada satu pun dalam ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk dijadikan amalan dalam kehidupan kita.

Manusia sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah s.w.t dengan naluri kejiwaan dan perasaan sememangnya memerlukan kepada sesuatu yang boleh memberi ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu, hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform yang paling popular dalam memenuhi tuntutan tersebut.
Islam sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya apakah bentuk nyanyian atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?

Mendengar lagu nasyid tanpa disertakan dengan alat muzik adalah dibenarkan, sebagaimana yang jelas dari nas-nas yang menunujukkan keharusannya, telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah r dan para sahabat telah mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir juga ketika berada di Madinah, ketika bekerja juga waktu rehat, samada secara perseorangan seperti nasyid Hassan, ’Amir Al-Akwa’, Anjasyah dan Bilal ra, juga secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas ra dalam peristiwa menggali parit (Khandaq).

Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang disertakan dengan alat-alat muzik maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya;

Jumhur (majoriti) ulama’ silam -termasuklah ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang).

Mereka berdalil antaranya;

1- Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayat oleh Abu Malik Al-Asy’ari ra menegaskan; “Akan ada di kalangan umat-ku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]
Ini adalah mu’jizat Rasulullah saw, memang ramai betul orang sukakannya.

2- Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari, dinilai sahih oleh Sheikh Al-Albani).
Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya.

3- Hadis yang secara khusus menyebut alat-alat muzik pula ialah; Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. (Riwayat Imam Ahmad)
4- Selain dari dalil-dalil di atas, suasana juga menunjukkan bahawa orang yang banyak mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) ini telah menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan maksiat dan tidak menjaga agama).
Namun sebahagian ulama’ mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita, nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabnya.

Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair, Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in), Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu Al-‘Arabi, Imam Ibnu Hazm dan sebagainya.

Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.

Jika ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang dikemukakan oleh jumhur tadi)!!, ia kerana bercampur dengan arak, zina atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat bunyian/muzik. Maka jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun banyak hadis yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ yang berhujjah melarang alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhuk (palsu) dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di mana telah disepakati ulama’ bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil yang soheh. Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali). Berkata Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhuk (hadis-hadis palsu)”.
Ramai ulama’ semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni; muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk; al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).

Perhatian;
Sebagai penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dipertikaikan kesahihanya, sedangkan ramai ulama’ tampil menjelaskan keraguan serta mempertahankan kesahihannya.

Demikian juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba yang bermain dengan alat muzik, riwayat tersebut adalah ”batil’.


2. Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?

Ketiga-tiganya sekali, lagu, lirik dan situasi..
Sebagaimana yang kita sebutkan di atas tadi bahawa tidak ada ulama’ yang mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan ulama’ bagi nyanyian yang diharuskan ialah;

1. Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.
2. Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan. Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah diharamkan walaupun senikatanya baik.
3. Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar dan lebih utama, seperti mengabaikan solat, tugas seharian lantaran mengikuti program / konsert yang di anjurkan.


3. Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan drum? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Islam?

Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Imam Ahmad di atas.

Menurut mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya. Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab asy-Syahadat).

Walaupun ada ulama’ mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, tetapi meninggalkannya adalah lebih selamat.



4. Merujuk kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, penggunaan alat muzik dibolehkan bagi tujuan untuk berdakwah. Di Negara kita pula, nasyid sekarang sudah dijadikan satu industri yang mana para penasyid diletakkan sebaris dengan para penyanyi yang lain, serta diberikan anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan persembahan-persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah kepada para artis boleh diterima apabila menuntut para penasyid kita menghadiri majlis-majlis seperti ini?

Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang tidak baik, terdapatkan juga larangan menyerupai orang kafir atau fasiq, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Omar ra dengan sanad yang sahih;

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ maksudnya: ”Sesiapa yang menyerupai (gaya – tingkah laku) sesuatu kaum maka dia termasuk dari kumpulan tersebut”.

Alasan nak berdakwah, apa bukti kejayaan orang yang telah melakukannya, tapi sebaliknya ada, penasyid pula terikut2 dengan pakaian dan gaya mereka.


5. Dalam industri nasyid sekarang juga, kita melihat irama nasyid kebanyakannya diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak seperti irama rap dan hip hop. Ini adalah sangat berbeza dengan tujuan nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen Dr? Bagaimanakah kita dapat kembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?

Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah...

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Suatu masa nasyid dilihat sebagai suatu bentuk seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk cara yang tersendiri.

Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid kontemporari” yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.

Hujjahnya ialah ingin mencari mencari kelainan.

Perubahan yang sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan.

Untuk mencapai matlamat tersebut senikata yang diucapkan menjadi janggal dengan irama, contohnya apabila menyebut asma’ Allah serta sifat-Nya, atau Rasulullah saw serta selawat ke atasnya demikian juga dengan zikir. Semuanya kadangkala menjadikan telinga orang yang beriman sakit, kerana bimbang berlaku kesalahan dalam sudut aqidah.

Selain itu nasyid telah menjadi terlalu komersial....



6. Tidak kurang juga kita melihat di kalangan wanita Islam yang semakin menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Apakah ianya dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat? Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?

Pakaian sebahagian ahli nasyid bahkan penceramah wanita tidak memenuhi etika berpakain.. OLeh itu, pakaian artis khususnya wanita perlu diberi nafas baru. Islam menerima perkembangan fesyen dan perhiasan, asalkan tidak melanggar batasan syarak. Imej yang agak seksi dan menggoda tidak mencerminkan anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tidak ada kompromi, bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah, kewajipan menutup aurat adalah penting. Begitu juga persembahan dan pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.

Aspek persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara lelaki dan wanita serta yang berkeluarga adalah sangat baik dan bertepatan dengan budaya Islam.

Ini dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.

Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.

Berkait dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ *

Yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya”. [Surah An-Nuur: 30-31]

Dan sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Wahai Ali! Jangan kamu iringi pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.

Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita dikhalayak ramai adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):


يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا

Yang maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab : 32]

Wanita hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.


7. Dengan perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat nasyid ini dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda, ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan satu alternatif hiburan kepada golongan ini?

Nasyid sebagai alat bukan matlamat…

Jika nasyid didefiniskan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah gambaran seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan gaya rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Nasyid adalah wasilah, maka ianya tidak sesuai disemua tempat dan waktu. Bagi golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, maka kita kemukakan nasyid sebagai alternative atau badil kepada muzik kegemarannya.

Tapi bagi muda mudi / pelajar aliran agama rasanya tidak perlu kita terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran tahfiz, tumpukan kepada hafazan, kajian mendalam tentang hukum hakam adalah menjadi keutamaan sebagai seorang da’ie yang akan mengepalai masyarakat –dengan izin Allah- di masa depan.

Kata Abdullah bin Mas’ud ra:

( الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل ).

Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran” [HR Al-Baihaqi]

Ramai golongan muda mendengar lagu dari pagi ke malam, tapi tidak ramai yang menghabiskan masanya dengan alquran, ini kadangkala membuatkan kita terfikir kepada ayat yang dijadikan hujjah oleh ulama’ yang tidak membenarkan nyanyian.

Firman Allah yang bermaksud; “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith (cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).

Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama’ berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).

Semoga perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya setakat berselindung disebalik beberapa nama ulama’ besar untuk menghalalkan apa yang nafsu bersetuju dengannya, tanpa mengambil kira pandangan lain yang bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.

Sekian,

Abu Anas, Sg Durian.

1.50am 22 Safar 1430H.



Rujukan:

الحلال والحرام للقرضاوي

حكم ممارسة الفن لصالح أحمد الغزالي.

الرد على القرضاوي والجديعي للشيخ عبد الله رمضان موسى

حكم الغناء لفضيلة الشيخ عبد العزيز بن مرزوق الطريفي



Friday, March 26, 2010

BAGAIMANAKAH TIDUR YANG MEMBATALKAN WUDUK?




Dipetik dari buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah

Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

Sebelum kita membicarakan hukum tidur yang membatalkan wuduk sewajarnya kita dapat membezakan tidur (النَّوْم) dan mengantuk (النُّعَس). Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah:

Keduanya (yakni mengantuk dan tidur) itu berbeza, iaitu barangsiapa yang fungsi inderanya berkurang, di mana dia mendengar perkataan teman disekitarnya namun tidak mengerti maknanya maka orang seperti ini dinamakan mengantuk. Apabila lebih dari keadaan tersebut maka dinamakan tidur. Di antara tanda-tanda tidur adalah mimpi baik yang singkat ataupun berlangsung lama… Ibnu al-Tin berkata: “خَفَقَ (anggukan kepala) adalah النُّعَس (mengantuk)”.[1]

Dari sini dapat kita fahami bahawa perasaan mengantuk sehingga menyebabkan seseorang itu tersengguk-sengguk sampai mengakibatkan kepalanya menempel ke dada bukanlah tidur yang membatalkan wuduk.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

يَنْتَظِرُونَ الْعِشَاءَ الآخِرَةَ

حَتَّى تَخْفِقَ رُءُوسُهُمْ

ثُمَّ يُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُونَ.

Daripada Anas, dia berkata: Suatu ketika para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menunggu solat Isyak sehingga tersengguk-sengguk kepala mereka kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melewatkannya.

Setelah baginda bersiap untuk menunaikan solat, mereka bangun tanpa memperbaharui wuduk.[2]


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: بِتُّ لَيْلَةً عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ بِنْتِ الْحَارِثِ

فَقُلْتُ لَهَا إِذَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَيْقِظِينِي

فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُمْتُ إِلَى جَنْبِهِ الأَيْسَرِ

فَأَخَذَ بِيَدِي فَجَعَلَنِي مِنْ شِقِّهِ الأَيْمَنِ فَجَعَلْتُ إِذَا أَغْفَيْتُ يَأْخُذُ بِشَحْمَةِ أُذُنِي.

قَالَ: فَصَلَّى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

Daripada Ibnu ‘Abbas, dia berkata: Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah (isteri Nabi).

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bangun untuk menunaikan solat malam. Lalu aku bangun berdiri di sebelah kirinya. Kemudian baginda menarik tanganku hingga menjadikan aku berada di sebelah kanannya. Setiap kali kepalaku tersengguk kerana mengantuk, baginda akan menarik telingaku. Dia (‘Ibnu ‘Abbas) berkata: Baginda melakukan solat itu sebanyak 11 rakaat.[3]

Manakala dalil bagi wajibnya berwuduk apabila tidur adalah berdasarkan hadis Shofwan bin Ghassal radhiallahu 'anh, dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا

أَنْ لاَ نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan
supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari hingga malam kecuali bila junub,
tetapi agar membukanya apabila buang air besar atau kecil dan jika tidur.[4]

Jelas melalui hadis ini Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkategorikan tidur bersama-sama dengan buang air besar atau kecil yang turut membatalkan wuduk. Namun yang hangat diperbincangkan oleh para ulamak adalah tidur yang bagaimana sebenarnya dianggap membatalkan wuduk.

Berikut penulis akan bentangkan pendapat-pendapat para ulamak berkaitan dengan tidur dan batalnya wuduk.[5]

PENDAPAT PERTAMA: Tidur sama sekali tidak membatalkan wuduk. Pendapat ini dipegang oleh sekelompok sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Abu Musa al-Asy’ari dan Sa’id bin Musayyab. Ianya juga merupakan pandangan Sa’id bin jubair, Makhlul, Ubaidah al-Salmani, al-Auza’i dan lain-lain

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنَامُونَ

ثُمَّ يَقُومُونَ فَيُصَلُّونَ وَلاَ يَتَوَضَّئُون.

Daripada Anas bin Malik, dia berkata: Dahulu sahabat-sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

tidur lalu solat dengan tidak berwuduk lagi.[6]

PENDAPAT KEDUA: Tidur samada sekejap mahupun lama secara mutlak membatalkan wuduk. Ibnu Mundzir telah menukilkan pendapat ini dari sebahagian sahabat dan tabi’in dan ini juga merupakan pandangan Abu Hurairah, Abu Rafi’, ‘Urwah bin Zubair, Atha’, al-Hassan al-Bashri, Ibnul al-Musayyib, Zuhri, al-Muzani, Ibnu Hazm, Abu Ubaid dan Ishaq bin Rahawaih. Syaikh al-Albani juga dalam kitab Tamamul Minnah[7] telah menguatkan pendapat ini. Hujah golongan ini adalah seperti berikut:

Daripada Shofwan bin Ghassal radhiallahu 'anh dia berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفَرًا

أَنْ لاَ نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ

وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ وَبَوْلٍ وَنَوْمٍ.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan
supaya kami tidak membuka sepatu selama tiga hari hingga malam kecuali bila junub,
tetapi agar membukanya apabila buang air besar atau kecil dan jika tidur.[8]

Di sini hukum tidur disamakan dengan membuang air kecil dan besar. Maksud tidur di sini adalah secara umum dan ianya termasuk tidur yang panjang mahupun pendek.

PENDAPAT KETIGA: Kelompok ini membezakan tidur yang sekejap dan lama. Hanya tidur yang lama membatalkan wuduk. Ini merupakan pendapat Imam Malik, salah satu daripada riwayat Imam Ahmad, al-Zuhri, Rabi’ah dan al-Auza’i. Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang dipergunakan oleh golongan pertama mereka fahami sebagai tidur yang sekejap sahaja. Oleh itu bagi mereka pendapat bahawa tidur secara mutlak tidak membatalkan wuduk adalah tidak benar.

PENDAPAT KEEMPAT: Tidur yang hanya membatalkan wuduk adalah tidur ketika dalam posisi baring atau bersandar kepada sesuatu. Tidur dalam posisi lain seperti duduk, rukuk, sujud atau berdiri maka wuduknya tidak batal baik dia tidur di luar solat atau ketika bersolat. Ini merupakan pandangan Hamad, Sufyan al-Thawri, Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Imam Daud dan Imam al-Syafi’i.

PENDAPAT KELIMA: Tidur yang membatalkan wuduk hanyalah tidur orang yang rukuk atau sujud. Ini dikatakan sebagai pendapat Imam Ahmad.




PENDAPAT KEENAM: Tidur yang membatalkan wuduk hanyalah tidur orang yang bersujud. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Imam Ahmad.

PENDAPAT KETUJUH: Tidur ketika berada dalam solat sama sekali tidak membatalkan wuduk. Tidur di luar solat membatalkan wuduk. Pendapat ini juga dikatakan pendapat Imam Abu Hanifah.

PENDAPAT KELAPAN: Apabila seseorang itu tidur di dalam keadaan punggungnya rata kepada lantai maka ianya tidak membatalkan solat baik tidurnya itu ketika dalam solat mahupun di luar solat atau tidur yang lama mahupun seketika sahaja. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’i.[9] Telah berkata Imam al-Syafi’i:

Apabila seseorang tidur pada posisi duduk tegak, maka saya melihat bahawa dia tidak wajib berwuduk, sebab orang yang tidur dalam posisi terlentang (baring) tidak sama dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk. Ini adalah kerana tidur dengan posisi terlentang akan terasa lebih nyenyak, sehingga akalnya akan terasa lebih tidak berfungsi jika dibandingkan dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk.

Apabila dia telah tergeser dari posisi duduk tegak saat tidur, maka dia wajib megulangi wuduknya, kerana orang yang tidur dalam keadaan duduk itu menekan dirinya (bahagian punggungnya) pada lantai dan hampir tidak terkeluar sesuatu (kentut) kecuali dia akan menyedarinya.

Tambah Imam al-Syafi’i lagi:

Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak. Adapun orang yang fungsi akalnya tidak hilang, baik tidur dengan posisi terlentang, dengan kepala yang tersengguk-sengguk kerana mengantuk atau adanya bisikan hati, maka hal itu tidak mewajibkan berwuduk kembali, sehingga dia yakin bahawa dia telah berhadas.[10]

KESIMPULAN

Apabila kita menghimpunkan segala dalil-dalil dan hujah-hujah di atas lalu kita cuba menyatukan kesemua pendapat-pendapat ini maka dapatlah kita simpulkan bahawa tidur yang membatalkan wuduk adalah tidur nyenyak sehingga menghilangkan kawalan seseorang terhadap pancainderanya dalam apa jua posisi samada duduk, baring, meniarap, sujud, rukuk, berdiri dan lain-lain. Namun perasaan mengantuk sehinggakan kepalanya tersengguk-sengguk yang mana seseorang itu tidak hilang kawalan pancainderanya secara total dalam apa jua posisi dia berada samada duduk, baring, meniarap, sujud, rukuk, berdiri dan lain-lain tetap tidak membatalkan wuduk.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ‘Abdullah bin Baz rahimahullah berkata:

Pendapat yang benar dalam masalah ini bahawa tidur merupakan saat umum mengakibatkan hadas, maka rasa mengantuk dan tidur ringan tidaklah membatalkan wuduk. Akan tetapi tidur yang membatalkan wuduk adalah tidur yang dapat meghilangkan rasa (indera) secara sempurna. Dengan demikian hadis-hadis yang disebutkan mengenai hal-hal ini dapat dipadukan. Wallahu A’lam.[11]

Syaikh Kamal bin as-Sayyid Salim pula berkata:

Tidur yang nyenyak sehingga seseorang itu tidak sedarkan diri, tidak mendengar suara (di sekelilingnya), tidak terasa sesuatu jika sesuatu jatuh dari tangannya atau jika ada air liur keluar dari mulutnya dan lain-lain adalah tidur yang membatalkan wuduk. Sebab tidur sebegini menunjukkan (berkemungkinan) terjadinya hadas, samada dalam posisi berdiri, duduk, berbaring, rukuk atau sujud, tidak ada bezanya semua posisi itu. … Tidur ringan yang berupa rasa mengantuk sehingga apabila seseorang itu masih dapat merasa hal-hal yang kami sebutkan di atas, maka bagaimanapun keadaan tidur seperti itu tidak membatalkan wuduk dengan alasan hadis tertidurnya para sahabat sehingga kepala mereka tersengguk-sengguk dan hadis Ibnu ‘Abbas ketika solat bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dengan demikian terkumpullah seluruh dalil-dalil tersebut dalam bab ini, segala puji dan kurnia hanya milik Allah.[12]

Bagaimana pula jika seseorang itu berada dalam keraguan samada tidurnya itu membatalkan wuduk atau tidak. Menurut pendapat Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah dalam Majmu al-Fatawa (jilid 21, ms. 230) yang lebih zahir sebagai hukumnya adalah tidak batal, sebab kesuciannya telah kukuh dengan keyakinan sehingga tidak dapat dihilangkan dengan keraguan.[13]

--------------------------------------------------------------------------------

[1] Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 254.

[2] Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 172

[3] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Sholatu al-Musafirni wa Qasruha, no: 763.

[4] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 89.

[5] Pendapat-pendapat ini penulis rangkumkan dari kitab Shahih Fikih Sunnah karya Syaikh Kamal as-Sayyid Salim, Fathul Baari karya al-Hafidz Ibnu Hajar, Fikih Thaharah karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syarah Bulughul Maram oleh Syaikh ‘Abdullah al-Bassam.

[6] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 73.

[7] Rujuk Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq,, jilid 1, ms. 110.

[8] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 89.

[9] Ini juga merupakan pendapat lama Syaikh al-Albani rahimahullah namun beliau telah menarik kembali dari pandangan ini kerana satu peristiwa yang telah berlaku terhadap dirinya. Beliau berkata:

Saya pernah berfatwa bahawa orang yang tertidur dalam posisi duduk tidak perlu berwuduk kecuali jika dia bersandar pada lambung sehingga seorang lelaki (yang duduk di sebelahku) pada hari Jumaat, lalu dia tertidur kemudian dia mengeluarkan angin (terkentut).

Saya berkata: Berdiri lalu berwuduklah!

Orang itu menjawab: Saya tidak tidur.

Saya berkata: Benar, tetapi anda telah mengeluarkan angin yang membatalkan wuduk.

Kemudian dia bersumpah: Demi Allah bahawa angin itu bukan keluar dari dirinya tetapi dari anda.

Maka saya tinggalkan keyakinan tentang tidurnya orang yang duduk dan menjaga sampai tertidur atau kacaunya kesedaran hati. - Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Terjemah Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq, jilid 1, ms. 111.

[10] Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, jilid 1, ms. 24-25.

[11] Ini merupakan penjelasan beliau dalam kitab Fathul Baari, jilid 2, ms. 256.

[12] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 201-202.

[13] Rujuk Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 201-202.



Wednesday, March 17, 2010

SPM: 2 pelajar Maahad Muhammadi dapat 15A


Kecemerlangan berpanjangan pelajar-pelajar dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK). Tahniah kepada semua pendidik, mursyid, mualim, ustaz, guru-guru dan pelajar Maahad Muhammadi. All the best to all my junior at MML!!!
Sumber: Harakahdaily


KOTA BAHRU, 11 Mac: Pelajar-pelajar sekolah agama di Kelantan terus mengungguli pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 apabila seorang pelajar mendapat 12A+.


Pelajar terbabit, Ahmad Harith Zabidi Azhar dari Maahad Muhammadi Lelaki itu juga mendapat 2A dan 1A menjadikan pencapaian keseluruhan 15A.
Manakala Habibah Hanan Mat Yusof dari Maahad Muhammad Perempuan pula mendapat 10A+ di mana jumlah keseluruhan subjek (15A).


Pencapaian bagi kedua-dua sekolah tersebut ialah 100 peratus.


Keputusan SPM bagi sekolah bagi Maahad Muhammadi Perempuan diumumkan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ahmad Robert Abdul Rahim pagi tadi.Pengumuman di Maahad Muhammadi Lelaki dilakukan pengetuanya, Azhar Salleh petang ini.


Seramai 385 calon menduduki peperiksan SPM di Maahad Muhammadi Perempuan.Daripada jumlah tersebut seorang mendapat 15A, 14A (1), 13A (1), 12A (9), 11A (9), 10A (13) dan 9A (22).


Di Maahad Muhammadi Lelaki, seramai 359 pelajar menduduki SPM tahun lepas, di mana keputusan keseluruhan tahun ini meningkat.


Keputusan tersebut iaitu seorang pelajar mendapat 15A, masing-masing seorang mendapat 14A dan 13A, 12A (5), 11A (10), 10A (14) dan 9A (20).


Sementara itu, Habibah Hanan yang juga pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan mendedahkan rahsia kejayaannya dengan mengikuti kaedah yang digunakan pelajar yang telah berjaya sebelum ini.


“Biasalah kalau ingin berjaya, kita kena ikutilah jejak langkah mereka yang telah berjaya. Saya mengetahui cara belajar Kak Fatimah, Kak Madihah dan Kak Amalina belajar.
“Saya cuba mengikuti cara mereka dan kalau tidak sesuai saya akan membuat kaedah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.


Beliau mengakui, pelajar cemerlang SPM 2008 peringkat negara, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal sebagai idolanya untuk mencapai kecemerlangan.
Pelajar berasal dari Jalan Bayam, Kota Bharu merupakan anak bongsu daripada 10 beradik. Ayah dan ibunya merupakan pesara guru.


Ditanya ke mana akan melanjutkan pengajian selepas ini, beliau memberitahu akan berbincang keluarga dan guru terlebih dahulu.

“Namun saya minati Fizik, tetapi saya tidak mendapat A+. Selain itu saya juga meminati bidang kehakiman. Bagaimanapun keluarga meminta saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.


Tahun lepas Nik Nur Madihah juga dari Maahad Muhammadi Perempuan muncul pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan apabila mendapat 20A.

Berwudhu


Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam pengajian kita sering mengulangkaji sesuatu subjek agar ingatan kembali jelas dan peperiksaan dapat dilalui dengan cemerlang. Apa kata pada ruangan kali ini kita melakukan satu ulangkaji, ulangkaji terhadap satu subjek yang kita belajar semasa zaman tadika atau fasa awal sekolah rendah. Kita mengulangkaji agar amalan kita sentiasa jelas dan kita lulus dalam peperiksaan di hari akhirat kelak. Subjek itu ialah wudhu’, yakni cara-cara mengambil wudhu’. Bagi ulangkaji ini, saya akan gunakan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 164:

“Bahawasanya Utsman bin ‘Affan meminta dibawakan sebuah bekas air untuk dia berwudhu. Lalu dia menuangkan air itu ke telapak tangannya dan mencuci kedua-duanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air itu (untuk menciduk air untuk dia) berkumur-kumur sambil memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar. Kemudian dia membasuh mukanya tiga kali dan kedua tangannya hingga siku tiga kali. Kemudian dia mengusap kepalanya dan membasuh kedua-dua kakinya tiga kali.

Kemudian dia berkata: “Aku melihat Nabi SAW berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ sepertimana wudhu’ aku ini lalu dia solat dua rakaat tanpa menyibukkan dirinya dalam melakukan dua rakaat itu, maka Allah akan mengampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”Berdasarkan hadis di atas dapat kita ambil beberapa pelajaran penting berkenaan amalan wudhu’, iaitu:

Pertama: Bekas air yang digunakan untuk berwudhu’ hanyalah bersaiz kecil. Dalam sebuah hadis lain diterangkan bahawa Rasulullah SAW lazimnya berwudhu’ sebanyak satu “mud” air. [Shahih al-Bukhari, no: 201] Satu “mud” air ialah air yang dapat ditakung dengan kedua-dua telapak tangan orang lelaki bersaiz sederhana yang diletakkan bersama. Ia menyamai kuantiti air sebuah botol air mineral bersaiz kecil (600-700ml). Para ilmuan menyatakan satu “mud” bukanlah batas maksima penggunaan air wudhu’, tetapi menunjukkan sifat hemah penggunaan air oleh Rasulullah SAW. Jumlah ini hendaklah sama-sama kita renungi dalam suasana berwudhu’ masa kini yang menggunakan air paip yang mengalir deras, di mana jumlahnya jauh lebih banyak dari satu “mud”.

Kedua: Setelah membasuh kedua-dua telapak tangan, tangan kanan dimasukkan ke dalam bekas air untuk menciduk air bagi basuhan seterusnya. Nampaknya telah berlaku percampuran air, di antara air yang tersisa di telapak tangan setelah pembasuhan dan air yang berada di dalam bekas. Ini merupakan salah satu dari sekian banyak bukti bahawa syarat air mustakmal tidak berasal dari sunnah Rasulullah SAW. Air mustakmal bererti air yang telah digunakan untuk membasuh sesuatu anggota wudhu’, di mana ia tidak boleh digunakan semula oleh orang yang berwudhu. Syarat air mustakmal yang masyhur diajar hanya merupakan syarat yang dibuat-buat. Ia menyukarkan amalan wudhu’, membazirkan air dan tidak memiliki dalil kukuh dalam agama.

Ketiga: Para ilmuan berbeza pendapat hukum memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar ketika wudhu’, apakah ia sunat atau wajib? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah kita memasukkan air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar kerana ia merupakan sunnah yang mulia lagi menghasilkan pahala. Tidak ketinggalan, ia adalah praktik yang dapat membersihkan rongga hidung kita.

Keempat: Membasuh anggota wudhu’ sebanyak tiga kali merupakan jumlah maksimum. Jika dirujuk kepada hadis-hadis sahih yang lain, diterangkan bahawa Rasulullah SAW pernah membasuh anggota wudhu’ sekali, dua kali dan tiga kali. Semuanya bergantung kepada kadar penyebaran air dan pembasuhan. Jika anggota wudhu’ dapat disebarkan air ke atasnya dan dibasuh dengan lengkap, maka sekali sudah mencukupi. Tidak semestinya ia dilengkapkan kepada tiga kali. Jangan melebihi tiga kali kerana ia hanyalah was-was bisikan syaitan dan kezaliman ke atas diri sendiri. Rasulullah SAW mengingatkan: “Inilah wudhu’, sesiapa yang menambahnya maka dia berbuat keburukan, melampaui batas dan zalim”. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 422]

Kelima: Semua anggota wudhu dibasuh sekali atau dua kali atau tiga kali kecuali kepala, ia diusap hanya sekali. Para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah kepala diusap keseluruhannya atau cukup sebahagian atau cukup minimum tiga helai rambut? Di sebalik perbezaan ini, yang utama ialah mengusap keseluruhan kepala kerana itulah amalan Rasulullah SAW. Cara mengusap ialah menggunakan ruang di antara ibu jari dan jari telunjuk, basahkannya dan usap kepala dari hadapan ke belakang, dari belakang ke hadapan semula.

Ketahuilah bahawa telinga termasuk sebahagian dari kepala, maka setelah mengusap dari belakang ke hadapan, kedua-dua jari tangan kanan dan kiri terus mengusap telinga kanan dan kiri. Tidak perlu menciduk air atau membasahkan tangan semula.

Bagi para muslimat yang memakai tudung dan memiliki kesukaran untuk membuka dan memakainya kembali, Islam memberi kemudahan untuk mereka mengusap di atas tudung sahaja. Mereka tidak perlu membukanya untuk mengusap rambut sepertimana di atas. [Shahih Fiqh al-Sunnah, jld. 1, ms. 238-239]

Keenam: Selesai berwudhu sebagaimana Rasulullah berwudhu’, dianjurkan mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat ini memiliki ganjaran yang besar kerana ia menghapuskan semua dosa-dosa yang telah lalu. Selain itu Rasulullah SAW juga pernah mendengar bunyi kasut tukang azannya – Bilal – di dalam syurga, lalu ditanya kepada Bilal apakah amalan khusus yang dilakukannya? Bilal menerangkan bahawa beliau mendirikan solat sunat selepas wudhu’ hampir setiap kali selepas berwudhu’. [Shahih al-Bukhari, no: 1149]



Sunday, March 7, 2010

Nilai Sejarah dan Maulid

Buah fikiran dari Abu Rufaydah

Di sebalik wajah gelap Globalisasi ia masih memberikan banyak manfaat kepada manusia di dunia. Kepesatan teknologi perhubungan maklumat (IT) telah menyumbang kepada revolusi ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan diskusi ilmiah yang sewaktu dulu hanya dimonopoli oleh golongan tertentu, kini telah boleh diakses oleh masyarakat awam. Pendemokrasian ilmu ini ada baik dan buruknya. Apa yang utama ialah kematangan masyarakat berlaku lebih cepat berbanding dekad-dekad sebelum ini.

Kesan revolusi teknologi maklumat dan pendemokrasian ilmu, hari ini masyarakat kita tidak lagi menerima sesuatu tanpa soal bicara. Antara ruang yang kini menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri di dalam fenomena ini ialah ruang agama. Golongan agama tidak lagi boleh duduk di dalam zon selesa. Pendemokrasian ilmu telah membuka ruang kepada kelompok yang dilabel sebagai ‘orang awam’ sudah mula bersikap kritis. Mereka sudah berani mempersoalkan “apakah dalil itu dan ini?”, “Siapakah yang mengatakan sedemikian?”, “Mengapakah hukumnya sebegini?”, “Tidakkan ada pendapat lain berhubung isu ini?”, dan lain-lain ungkapan yang pada suatu waktu dahulu tidak pernah diajarkan lewat kuliah-kuliah agama dan juga proses tradisional menghasilkan para ustaz.

Antara isu yang sering menjadi polemik ialah isu ‘Maulid al-Rasul’. Setipa kali kedatangan ‘Maulid’, kini sudah mula olemik tentang bid’ah atau tidaknya sambutan tersebut. Polemik yang suatu waktu dahulu diwarnai sentimen kini mula diwarnai dengan perbincangan ilmiah. Sungguhpun begitu tidak dinafikan masih lagi terdapat kelompok yang masih tidak dapat menerima khilaf terus menggunakan bahasa kuasa dan juga emosional. Walau apapun, polemik tetap polemik. Baik yang mempertahankan mahupun yang menentang, rata-ratanya tidak mahu berganjak dan membuka ruang persefahaman. Lebih malang perjuangan unutk samada mempertahankan mahupun menentang itu dianggap kemuncak beragama mereka. Akhirnya jalan pintas mengkafirkan ataupun menyesatkan diambil. Bagi yang mempertahankan, dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Bagi yang menentang pula melemparkan bahawa lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) di dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa, dan juga ahli bid’ah.


Jika diteliti, punca pertelingkahan kedua-dua kelompok ini ialah bila mereka menyikapi isu Maulid itu sebagai sambutan ‘ritual-spiritual’, ataupun sesuatu yang bersifat diniyy (keagamaan). Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan, seumpama wajibnya menyambut ‘Eid al-Adha setahun sekali. Bagi sesiapa yang tidak merayakannya, maka mereka seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi. Bagi yang menentang pula, mereka melihat, perayaan keagamaan yang dianjurkan berdasarkan dalil hanya dua sahaja, iaitu ‘Eid al-Fitri dan ‘Eid al-Adha. Mana-mana perayaan berbentuk keagamaan perlulah disandarkan kepada dalil, dan sambutan Maulid ini tidak bertunjangkan dalil, maka ianya adalah perbuatan bid’ah.

Jika itulah punca masalahnya, ternyata di sana terdapat jalan keluar bagi isu ini. Perayaan atau sambutan Maulid itu perlu dikeluarkan dari kerangkan ritual-spiritual yang disikapi selama ini. Ia harus dilihat dan disikapi sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran (‘ibar menurut istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun). Sepertimana anjuran di dalam ayat-ayat al-Quran yang menyuruh umat Islam mengambil iktibar dan pelajaran dari acara-acara sejarah, begitu jugalah tarikh Maulid ini perlu disikapi. Apabila sesuatu bangsa itu diikatkan dengan sejarah, mereka akan lebih berdaya saing, lebih mampu untuk mengorak langkah ke hadapan kerana mereka mempunyai masa lampau. Bangsa yang tidak mempunyai sejarah, ataupun tidak mempunyai kenangan silam yang gemilang pastinya agak sukar untuk membina masa depan yang cemerlang.

Bangsa Yahudi semenjak zaman Diaspora sehingga kini masih menyambut lebih 50 jenis perayaan berkaitan dengan sejarah lampau mereka. Bagi golongan Ortodoks mungkin sambutan tersebut mempunyai nilai ritual-spiritual, tetapi bagi golongan reform dan sekular, ianya lebih berunsurkan sejarah dan budaya. Melalui sejarah dan budaya inilah jati diri bangsa mereka dibentuk. Di Iran juga, selepas revolusi Islam Iran 1979, pelbagai jenis perayaan bersempena sejarah bangsa Parsi dirayakan di dalam kerangka sejarah-budaya dan bukannya ritual-spiritual. Malah perayaan Nairuz yang berakar umbikan kepercayaan Zoroaster sekalipun telah berjaya dikeluarkan dari kerangka kepercayaan kuno dan dijadikan perayaan kebangsaan berbentuk sejarah-budaya. Matlamatnya sama, iaitu mengembalikan kesedaran dan menanamkan jati diri di dalam jiwa rakyat Iran terhadap empayar Parsi yang pernah memerintah dunia suatu waktu dahulu.

Penghargaan terhadap sejarah juga merupakan sebahagian daripada kehidupan bangsa-bangsa Eropah. Lihatlah di mana-mana negara Eropah, unsur romantisme sejarah dapat dilihat melalui pemeliharaan bangunan-bangunan dan juga kesan-kesan sejarah mereka. Kota Paris, kota Prague, Berlin, Vienna dan Moscow merupakan di antara bukti bagaimana sejarah dan budaya amat bermakna dan amat dihargai oleh bangsa-bangsa tersebut. Lihat jugalah kepada perayaan-perayaan yang disambut setiap tahun, kebanyakannya berkaitan dengan sejarah peperangan, kemenangan, memperingati tokoh, memperingati para pahlawan dna juga tarikh-tarikh kemegahan. Formulanya amat mudah, iaitu bangsa yang tiada masa lalu, tidak akan dapat menempa kegemilangan di masa kini dan akan gagal di masa hadapan. Maka pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuk di dalam bentuk perayaan dan juga peringatan tarikh-tarikh berkaitan.

Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh umat Islam jika perayaan Maulid ini dikeluarkan dari kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?

Banyak sekali, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apakah kesannya kepada para peserta mahupun kepada orang lain. Usha mempromosikan ajaran Nabi Muhammad yang bersikap universal dan begitu kemanusiaan perlu ditonjolkan. Keperibadian Nabi Muhammad sebagai manusia yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pehlawan perang yang berjaya dan pelabagai ciri ‘kemanusiaan’ baginda yang boleh diteladani sepatutnya menjadi tema pada setiap kali Maulid disambut. Usaha memperingati Nabi Muhammad ini bukan sekadar berlegar di kalangan umat Islam sahaja, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam sekalipun. Perayaan yang berunsurkan sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan esklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan ‘kesempurnaan hidup manusia’ (human well-being). Malangnya ini tidak berlaku, apa yang dipentingkan seperti kebiasaannya, ialah ‘kulit’ (form) sahaja dan bukannya ‘isi’ (substance) kepada Maulid. Saban tahun umat Islam di Malaysia hanya memeikirkan untuk berarak menyambut Maulid, tanpa berusaha memahami ruh daripada perayaan Maulid.

Apakah ertinya berarak Maulid jika di dalam menyediakan peralatan perarakan itupun berlaku korupsi, penipuan dan juga pecah amanah?

Apakah ertinya berarak, jika para peserta yang berarak itu tidak mengenali Nabi Muhammad dan tidak mengamalkan sunnahnya di dalam kehidupan mereka?

Apakah erti berarak, jika para peserta berarak itu masih mengamalkan rasuah, mengamalkan perniagaan ‘Ali Baba’, menipu, berzina, pecah amanah, mengadu domba dan juga menyokong perbuatan kezaliman?

Apakah erti berarak, jika kezaliman golongan tirani disokong dan dijadikan alasan sebagai mempertahankan agama dan bangsa?

Apakah erti berarak jika Islam yang penuh faham-memahami dan tolak ansur merentas budaya, agama dan kefahaman diselewengkan sebagai agama rasis (perkauman), ekstrimis dan juga mengajarkan kebencian terhadap bangsa dan penganut agama lain?

Apakah erti berarak jika unsur kemanusiaan dan juga penjagaan alam sekitar tidak langsung menjadi tema kehidupan para Muslim?

Apakah erti berarak jika undang-undang drakonian masih lagi bebas dijadikan alat untuk menutup suara-suara kritikan dan undang-undang tidak lagi tertakluk kepada unsur keluhurannya (rule of law) tetapi dijadikan bahan mainan pihak tertentu (rule of man)?

Apakah erti berarak jika unsur akauntabiliti, ketelusan, kebebasan bersuara, keadilan sosial, swardaya rakyat (people empowerment) dan juga tadbirurus yang baik (good governance) seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan ajaran Islam tidak dihayati?

Sudah tiba masanya Islam di dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan dari kesempitan dogma dan juga acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) perlu dijadikan lebih inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan hanya untuk umat Islam semata-mata...


Ulama: Dimuliakan Atau Disucikan


Oleh Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
(moasriza@yahoo.com)

Ada bezanya antara menghormatikan dan mensucikan. Dalam bahasa Arab disebut tauqir (memuliakan), sementara mensucikan disebut taqdis. Memuliakan atau tauqir bererti kita memberikan penghormatan kepada seseorang atau sesuatu pihak. Ia berkaitan dengan nilai ketinggian yang ada pada pihak atau individu tersebut. Jika dia pemimpin, atas nilai kepimpinan yang ada padanya. Jika dia ulama, atau ilmuwan maka atas nilai ilmu yang ada padanya. Jika dia orang tua, atas nilai usia dan pengalaman hidup yang dilalui. Demikianlah seterusnya.

Adapun taqdis atau mensuci bererti menganggap seseorang atau sesuatu itu terpelihara dari sebarang dosa, atau kesalahan. Menganggap ia suci (sacred) bererti apa sahaja yang datang daripadanya adalah benar dan mulia, tidak boleh dipertikaikan lagi.

Islam menyuruh kita menghormati ulama atau disebut tauqir al-‘ulama tetapi tidak membenarkan kita mensucikan mereka atau taqdis al-‘ulama. Kita menghormati mereka kerana keilmuan mereka. Apabila mereka berbicara dan bertindak dalam kerangka ilmu, maka dihormati dan disayangi. Kita berinteraksi dengan mereka dengan cara yang hormat dan sopan.

Namun, dalam masa yang sama kita tidak dibenarkan menganggap mereka suci dari kesilapan dan kesalahan. Mereka bukanlah para rasul yang setiap tindakan mereka yang berkaitan dengan agama dianggap hujah. Adapun para ulama mereka terdedah kepada salah dan silap, sama seperti manusia lain. Apabila ternyata mereka salah, atau silap kita tidak boleh mengikut kesalahan kesilapan itu. Dalam ertikata lain, kita menghormati, bukan mensucikan mereka.

Perkara yang begitu asas sebegini kadang kala gagal difahami oleh sesetengah umat Islam. Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara ‘membabi buta’. Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan nabi dan rasul.

Akhirnya, mereka mandulkan akal dan kewarasan mereka dengan mengikuti segala yang dititah atau pendapat yang dinyatakan oleh tokoh itu sekalipun ilmu dan akal yang Allah anugerahkan menyanggahinya. Ia amat berbahaya. Jika tokoh agama itu meminta wang daripada mereka, sekalipun tidak jelas alasannya mereka berikan. Jika tokoh agama itu memberikan pendapat dalam sesuatu perkara sekalipun ternyata salah dari segi angka dan fakta, mereka tetap telan dan terus menyanjung pendapat itu. Jika tokoh agama itu agung-agungkan dirinya dan menganggap dia luar biasa, sehingga ternyata kepada mereka yang bebas dari unsur ketaksuban bahawa itu adalah ‘takabur yang nyata’, namun pengikutnya tetap mencium tangan dan berkata ‘benar!’.

Maka bukan sedikit dalam sepanjang sejarah, atas nama agama atau tokoh agama eksploitasi terhadap akal, maruah, harta, kuasa dan berbagai lagi yang berlaku. Sebab itu Islam menentang sebarang unsur pemujaan kepada manusia sehingga mengenepikan ajaran Allah S.W.T dan RasulNya s.a.w.

Siapakah dalam kalangan ulama yang merasakan dirinya lebih baik daripada Saidina Abu Bakr al-Siddiq? Jika Abu Bakr berucap pada hari perlantikannya: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361), apakah layak untuk seseorang selain Abu Bakr berkata: “Aku mufti aku mesti betul”, atau “Aku tok guru aku tak akan salah”, atau “Aku ustaz, kau siapa?!”.

Perkara ini perlu sentiasa ditegaskan, agar kita mengetahui dan selalu sedar bahawa gelaran ‘ulama’, ‘tok guru’, ‘ustaz’, ‘kiyai’, dan berbagai lagi, hanyalah pemberian dan panggilan yang diberikan oleh manusia. Ia hanyalah anggapan baik atas faktor-faktor luaran yang dilihat pada seseorang dan persepsi yang ada dalam gambaran pihak yang memanggil atau memberikan gelaran tersebut.

Samalah juga dengan Professor, Dr dan seumpamanya, walaupun ia menerusi proses yang tertentu, namun itu bukan pertabalan yang ditetapkan Allah seperti pertabalan nabi dan rasul. Ertinya, gelaran-gelaran itu bukanlah jaminan untuk mereka tidak salah, atau melakukan dosa kecil mahupun besar. Ia bukan jaminan kemaksuman. Ia hanya sangkaan baik sesama manusia.

Sebab itu, ada golongan yang dinamakan ‘ulama jahat’. Maka, hormati golongan agama dengan kadar-kadarnya, namun jika ada pandangan atau tindakan mereka melampaui batasan kebenaran dan ilmu, kita akan menyanggahi atau berbeza dengannya tanpa perlu mengukur kadar ‘gelaran’ atau berat serban, atau labuh jubah yang dipakai.
Masyarakat Islam Malaysia hari ini antara masyarakat yang agak berharta. Maka, ramailah yang datang dari dalam negara dalam luar menonjolkan berbagaikan kelebihan agama yang sebahagian mereka mempunyai agenda ‘wang besar’ ke atas kita. Cerita-cerita keajaiban kiyai itu dan ini mula kedengaran. Kehebatan jampi dan air liur tok guru itu dan ini mula dipromosikan. Ramai yang menjadi kaya kerananya. Jika ini tidak dibendung, ia akan menjerumuskan masyarakat kita kepada minda khurafat, bukan minda kewarasan dan ilmu.

Mereka ini kadang-kala cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan nabi dan para wali. Ceritanya itu mengingatkan saya kepada apa yang pernah disebut oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menjawab golongan sufi yang seperti itu di zamannya, kata beliau:
“Dalam kalangan mereka (golongan sufi) ada yang melihat empunya kubur datang kepadanya, sedangkan telah lama mati. Lalu dia (jelmaan itu) berkata: “Akulah si fulan”. Mungkin juga dia berkata : “Kami ketika diletakkan di dalam kubur kami boleh keluar…”.

Ulas Ibn Taimiyyah lagi : « Syaitan dalam banyak keadaan menyerupai rupa insan, samada dalam tidur atau jaga. Kadang-kala dia datang kepada sesiapa yang tidak tahu dan berkata : “Akulah syeikh si fulan, atau alim si fulan”. Kadang kala syaitan berkata : “Akulah Abu Bakr, Umar…” Kadang-kala pula dia datang ketika jaga (yaqazah) bukan mimpi lalu berkata : “Aku al-Masih (Isa)” , atau “aku Musa” atau “aku Muhammad” ».

Kata Ibn Taimiyyah lagi : « Aku tahu perkara yang seperti ini berlaku dalam berbagai-bagai cara. Maka di sana ada yang mempercayai bahawa para nabi datang dalam jaga (yaqazah) dalam rupa mereka yang asal. Di sana juga ada para syeikh yang zuhud, berilmu, warak dan beragama mempercayai perkara seperti ini. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia apabila datang ke kubur seseorang nabi, maka nabi tersebut akan keluar daripada kuburnya –dalam rupanya yang asal- dan bercakap dengannya. Di kalangan mereka ada yang melihat rupa seseorang syeikh di bahagian dalam Ka’bah, dia berkata: “Aku Ibrahim al-Khalil (Nabi Ibrahim)”. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa Nabi S.A.W keluar daripada hujrah (bilik persemadian atau kubur) baginda lalu bercakap dengannya. Golongan sufi menganggap ini sebagai karamahnya. Di kalangan mereka ada yang menyangka bahawa dia jika bertanya orang di dalam kubur nescaya mereka akan menjawabnya”.

Sehingga Ibn Taimiyyah menceritakan ada di kalangan mereka yang apabila ada masalah akan datang dan bertanya kepada Nabi S.A.W, lalu Ibn Taimiyyah menyebut: “Sehingga kata Ibn `Abd al-Barr (ilmuwan agung Andalus, minggal 463H) kepada mereka yang mempercayai sebegini: “Celaka engkau, apakah engkau berpendapat orang ini lebih afdhal daripada al-Sabiqin al-Awwalin (para sahabat Nabi s.a.w yang awal menganut Islam) dari kalangan Muhajirin dan Ansar?. Apakah ada di kalangan Muhajirin dan Ansar sesiapa yang bertanya Nabi S.A.W (selepas baginda wafat) dan baginda menjawabnya?!! Sahabah telah bercanggah pendapat (selepas kewafatan Nabi s.a.w) dalam banyak perkara, adakah mereka bertanya Nabi S.A.W. dan baginda menjawabnya?!!. Ini Fatimah anak baginda yang berselisih pendapat dalam pusaka baginda, adakah beliau bertanya Nabi S.A.W dan baginda menjawabnya”. (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 5/399, Riyadh: Maktab al-`Abikan).

Namun, malang sekali sepanjang sejarah, masih ada yang termakan dengan perkara-perkara yang seperti ini disebabkan mereka gagal membezakan antara menghormati tokoh agama dan mensucikannya. Cenderungan sesetengah penceramah agama melarang fikiran kritis dan akal yang aktif umat Islam, amat bercanggah dengan ajaran Islam.

Mereka itu sering berkata: “terima sahaja apa yang ulama atau tok guru cakap, jangan banyak fikir, Islam bukan ikut akal”. Islam mana yang tidak berteraskan akal yang matang dan benar?! Tok guru mana pula yang maksum semua cakapnya?! Ini akibat pembolotan kuasa pengaruh atas nama agama dan kegagalan umat membezakan antara menghormati dan mensucikan.



FACEBOOK: Photos & Tagging Yang Mengundang Dosa


Ditulis oleh: Abu Umair

Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.
Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.
Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.
Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.
Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.
Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.
Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.
Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

Popular Posts