Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Friday, April 30, 2010

Medan Minyak Tergadai: Ya Dalam Nafi


Oleh: Husam Musa

Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.

Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.




Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?

Wahai Lelaki! Dengarlah Pandangan Saya


Dari al-fikrah.net..... Oleh: Dr. Malina Osman (linos)

Nukilan Buat Ayahanda
(Semua bapa/pakcik seagama yang mesra kupanggil ayahanda)

Salam ayahanda, doa anakanda buat kesejahteraan dan ketenangan diri ayahanda. Moga hari-hari yang mendepani ayahanda dengan rindu tugas dan tanggungjawab diwarnai dengan kesabaran dan ketabahan; serta kecekalan untuk ayahanda menghadapinya. Anakanda titipkan di sini sedikit rasa hati anakanda…titipan suara resah yang lahirnya dari kedukaan sekeping hati. Naluri hati yang mencari-cari jalan pengislahan tetapi kelu dilambung cabaran, Terasa bagai hampir karam dihentam gelombang.

Ayahanda, dunia hari ini terus bergolak dengan gegak gempita yang seakan tidak berkesudahan ritmanya. Konotasi yang menyemarakkan kegusaran tentang masa depan ummah …semakin tidak keruan kelihatannya. Gundahnya kian terbentang di hadapan mata anakanda. Perit untuk ditelan namun itulah kenyataan. Kita yang hidup sebagai muslim di tanahair yang menobatkan Islam sebagai agama yang dijunjung ini kian terseret dalam emosi kita yang kian sukar untuk kita mengertikan. Gamam dan gulana terasa di jiwa. Dari dekat dan kejauhan, anakanda menyaksikan betapa generasi majoriti anak-anak yang kini terus terkulai, jenayah sosial yang menjadi-jadi, fitnah perebutan dan penipuan sering menjadi berita, jurang kekayaan yang semakin melebar serta pelbagai hasilan yang menyesakkan .

Ayahanda, laporan akhbar (1) yang menuliskan lebih 17,000 zuriat hasil perzinaan dari bangsa yang mengaku muslim ini (didaftarkan secara rasmi pada tahun 2009) benar-benar membuatkan anakanda begitu tersentak. Episod itu berseIang seli dengan kejadian pembunuhan dan pembuangan anak-anak, Laporan demi laporan kekejaman rakus manusia berjiwa raksasa. Masyarakat hari ini menyaksikan siri demi siri hasilan jenayah sosial yang sangat menyayatkan. Saban waktu apabila semuanya itu telah menjadi nyata, maka bergegarlah media-media utama, bergema suara pemimpin dan pemegang kuasa, tertumpulah seketika pandangan kita pada episod yang penuh luka. Namun ayahanda, itu semua merupakan hasil akhir dari kronologi suatu proses amalan yang memerlukan waktu yang begitu panjang. Perubahan sesuatu tingkahlaku berlaku bukan dalam tempoh sekelip mata…hasilan itu tidak akan terjadi secara mendadak. Ianya perlu diaruh pula oleh persekitaran yang begitu kental tanpa rintangan.


Anakanda begitu gusar kerana selama ini anakanda tidak tenteram untuk mengesahkan jalan penyelesaiannya. Apa yang dibentangkan selama pengetahuan anakanada hanyalah keterukan sesuatu masalah; tetapi langkah-langkah penambahbaikan bagi anakanda terus kabur dan sukar dipastikan. Terkadang anakanda melihat ianya dibuat dalam suasana yang penuh publisiti serta mengikut musim.

Ayahanda, anakanda tercari-cari ikon permata seusia ayahanda untuk memulakan segalanya. Namun dalam banyak ketika, anakanda gagal menemui ayahanda. Di manakah ayahanda sebenarnya? Nyatakah agaknya bumi yang ayahanda pijak? Masukkah agaknya berita-berita tentang masyarakat kita ini yang kian tersadung lemah dimamah kerakusan liar tidak terarah. Di manakah pula kebanyakan pemuda muslim yang seharusnya memimpin masyarakat ke jalan bahagia. Isi-isi penjara dan pusat pemulihan dadah…majoritinya ialah insan sejenis dan seagama dengan ayahanda. Sebilangan mereka pula terkandas di jalanraya…merempit di tengah jalan mencari kepuasan dan ketenangan hormon biologinya.

Ayahanda jangan pula terkejut jika anakanda khabarkan tentang bilangan generasi pewaris nama ini yang dikatakan semakin pupus di menara gading. Ianya boleh dibilang dengan sebelah mata anakanda. Dalam kebanyakan kursus utama, seperti Doktor Perubatan, kadarnya kurang 30% berbanding jumlah dari keseluruhan pelajar perempuan. Kini, terbentang pula di dada-dada akhbar betapa kebanyakan ketua jabatan dan ketua sebuah organisasi gergasi ialah masyarakat wanita; kesan yang sangat bermakna dalam konteks perubahan dalam menentukan polisi negara.
Ayahanda, anakanda berpendapat insan lelaki mesti mengisi tugas penting membina kekuatan masyarakat. Mereka mesti ke hadapan sambil dibantu oleh tangan-tangan gemalai insan wanita seperti anakanda. Mendidik anak-anak dalam masyarakat, pada tanggapan anakanda perlu dikongsi secara saksama, Jangan kita terkeliru dengan ungkap cerita bahwa beban mendidik itu terpikul pada bahu insan perempuan melalui pepatah ‘tangan yang menghayun buaian itulah yang menggegarkan dunia’.

Dalam meneladani banyak suasana, anakanda perhatikan terlalu banyak pendapat dan cerita. Ada yang wujudnya tambah mengelirukan pula sesama kita. Namun yang pasti, kusam nurani anakanda bila menyedari ada di kalangan manusia seusia dan sejenis ayahanda memilih lagak seperti manusia yang tidak bersedia untuk dipimpin ilmu. Galak pula dengan cerita dan kisah tentang tongkat ali dan kopi duda. Sebahagiannya leka dengan bermain dam dan rhetorik seloka. Majoritinya tidak lalai membeli asap rokok yang sia-sia. Fokus kejantanan pula diwar-warkan tanpa malu dan segan. Lihatlah iklan-iklan di majalah, media internet mahupun di radio dan papan iklan…kisah kehebatan serta naluri keintiman disuarakan tanpa saring dan lapik bahasa. Pantang pula dengan kisah sesiapa yang beristeri dua atau seterusnya; lagak seperti burung unta yang memanjangkan leher demi mengesahkan cerita. Berpoligami itu sunnah, tidak perlu pada bukti dan hujah. Tetapi minda yang tidak fokus terhadap da’wah islah, terus bergelut mencari justifikasi-justifikasi berpoligami meskipun itu sepatutnya tidak dibahaskan panjang sehingga mengelirukan sesiapa yang mendengarnya.

Mungkinkah agaknya ayahanda, minda manusia kebanyakan lelaki itu difokuskan pada kehendak biologi kehidupannya; sehinggakan nanar tentang sesuatu yang menjadi tujuan dan objektif kehidupan yang Allah ciptakan. Membiarkan pula keteguhan ilmu dilurut tanpa bersambut…..terus berterabur tidak disusur. Maaf jika anakanda tersilap menelah. Insan seagama kita di bumi Palestin dan di tempat yang Islamnya tertindas kini bermandi darah mempertahankan maruah dan harga Islam yang benar. Dipancung dan disagat emosi dan fizikalnya…tetapi kita di sini, bermandi dengan bundar-bundar keindahan yang dijustifikasi menurut nas yang difikir benar.

Di pentas didikan agama pula , ustaz-ustaz muda dan angkatan seusia ayahanda bercakaran merebut mikrofon. Ada pula yang terlalu bijak sehingga fokus terhadap pengislahan masyarakat diganti dengan drama bidas membidas; hentam menghentam serta diwarnai pula oleh saman menyaman. Sifat ketaksuban di dalam garapan ilmu dibutakan syaitan sehingga memandang indah terhadap serangan dan hentaman terhadap individu sesama muslim. Semuanya dirasakan lebih mulia dari berda’wah di di atas pentas sebenar iaitu untuk mengajak da’wah menyeru manusia terhadap mengabdikan diri kepada Allah sahaja….. amar ma’ruf nahi munkar. Lemahnya garapan terhadap isu dalam masyarakat sehingga kelihatannya dipandang begitu remeh, ..seperti lalat yang ditepis tatkala hinggap di hidung. Bolehkah agaknya ayahanda berikan pandangan tentang usaha terbaik generasi ayahanda yang boleh disumbang untuk menambahbaik keadaan ini. Saban diskusi yang anakanda hadiri, pentasnya diwarnai oleh hujah mencantas karisma dan amalan individu tertentu. Masing-masing kelihatannya terlalu bijak menyisih pandangan dengan gumpalan bukti dan satah nas pelbagai dimensi; lalu tambah mengelirukan minda insan seperti anakanda.

Jika ilmuwan itu perlukan karismanya, bukankah nilaian karisma muslim yang terbaik itu adalah dengan mengamalkan teladan sunnah dan sahabat rasulullah saw. Acuan kelayakan perlu dinilai pada kriteria sedemikian. Pelikkan ayahanda, …jika kita terlantar sakit, doktor paling pakar itulah yang akan mengambil tempat dan peranan, bukan pembantu perubatan berkelulusan diploma atau attendan hospital berkelulusan sijil yang membuat rawatan. Tetapi dalam bidang pendidikan agama sebagai cara hidup, mereka yang sekadar mengaji beberapa kitab (yang entah ada sandaran sahih atau tidak) turut berdebat seperti ulamak agung. Bijak pula menyindir dan menyerang, entah apa objektifnya, anakanda pun pening memikirkannya. Begitulah sorotannya….dan anak-anak warisan kita ini kian terbiar dan longgar.

Ayahanda, anakanda diajar untuk tidak menongkah arus. Besar kesannya jika kita melawan kebiasaan majoriti; atau cuba berlagak jaguh yang pandai terbilang. Keharmonian perlu dipelihara; perpaduan jangan dilebur oleh emosi kemarahan akibat tidak sekata. Tetapi ayahanda, semestikah yang majoriti itu berpihak di landasan yang benar? Jika demokrasi itu berdasarkan majoriti, banyak contoh mereka yang dipilih dari sistem demokrasi bukanlah pilihan yang terbaik. Bagi anakanda adalah tidak betul jika kita menyimpulkan yang majoriti itu adalah merupakan pihak yang benar. Di dalam Alquran, ada peringatan Allah tentang berhati-hati terhadap apa yang dinamakan majoriti (2). Jika majoriti dari kita mengatakan amalan kebiasaan kita yang bercampur aduk antara ciptaan selepas sunnah adalah baik, anakanda berpendapat ianya merupakan sesuatu yang jauh tersasar. Bagus sangatkah kita untuk mengatakan ibadah kita lebih baik dari Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya sehingga sanggup terus mempertahan amalan yang tidak pernahpun diamalkan mereka? Mengapa pula sandaran majoriti ini menjadi punca perbalahan kita, menyebabkan pentas rostrum yang seharusnya merupakan platform mendidik indidivdu masyarakat, terus bergelumang dengan peperangan lisan.…yang terus menyakitkan hati dan melukakan perasaan.

Ayahanda, lisan pendita anakanda bukan ingin bertelagah di alam teori dan fakta. Jangan pula dikelamkan pandangan anakanda ini dengan anggapan bahawa anakanda sekadar ingin mencari salah dan khilaf sesiapa. Tinta anakanda terikat pada objektif yang telah Allah sampaikan tentang hakikat penciptaan kita dan kewujudan kita di dunia yang fana’ ini (3). Ini adalah sekadar bicara anakanda untuk didengarkan. Kegusaran anakanda terus membara, apakah agaknya bakal terjadi 5 - 10 tahun akan datang jika tiada usaha yang tersusun mengatasinya?
Kebijaksanaan ayahanda adalah ikon dalam hairaki kebanggaan dan penghormatan masyarakat. Hitam kata ayahanda, hitamlah kata suasana. Bonda-bonda serta insan perempuan seperti anakanda tidak mampu menyinsing lengan sendirian. Bantulah anakanda dalam pengislahan ummah ini……

Rujukan:
1. Berita Minggu 14 Mac 2010
2. Surah Al’An’am ayat 116
3. Surah Az Zariyat: 56

Thursday, April 22, 2010

Cinta Praktikal


Oleh Muhammad Fakhruddin Ismail

Cinta praktikal ialah cinta dengan cara yang praktis atau juga boleh dikenali sebagai cinta yang sebetulnya. Penulisan ini bukan khusus pada cinta selepas kahwin tetapi kepada yang sudah terlanjur cinta sebelum kahwin. Batasan cinta sebelum kahwin lebih sukar cabarannya berbanding cinta selepas kahwin. Ini kerana bagi yang bercinta sebelum kahwin mereka terpaksa menjaga batasan-batasan dalam pergaulan, pandangan dan sebagainya supaya tidak tergelincir kelembah dosa dan maksiat. Ia memang sukar untuk dielakkan melainkan diminta petunjuk kepada Allah supaya dihindari daripada melakukan perkara dosa dan maksiat tersebut.


Lebih sukar lagi jika percintaan itu berlaku dimana mereka terpaksa berjumpa satu sama lain, terpaksa duduk bersebelahan maka banyaklah pula cabarannya seperti cinta di tempat satu kerja.Perkara itu tidak mustahil boleh berlaku. Dengan duit yang masih belum mencukupi dan karenah Ibu Bapa yang pelbagai menyebabkan sukar untuk meneruskan hajat niat yang suci itu. Apabila perkara ini berlaku maka perasaan rindu itu sukar dihilangkan. Lebih-lebih lagi apabila kerap pertemuan itu maka semakin kuat dorongan anda untuk mendekatinya kerana rindu itu hanyalah satu tekanan perasaan anda untuk mendekati padanya. Rindu hanya boleh dihilangkan pada perkahwinan sahaja kerana itulah ubat mujarab yang berkesan untuk menghilangkan perasaan tersebut. Rindu memerlukan sentuhan, tanpa sentuhan, rindu itu tidak dapat dihilangkan kerana sentuhanlah membawa kemanisan dan kenikmatan rindu itu. Kemanisan dan kenikmatan rindu itu hanyalah pada persetubuhan yang sah. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Apabila seseorang kamu melihat seseorang perempuan lalu dia jatuh hati kepadanya, maka hendaklah dia menyetubuhi isterinya. Kerana yang demikian itu akan menghilangkan perasaan (rindu) yang ada dalam dirinya. [Sahih muslim , No.2491].

Jika perasaan rindu itu mula bertapak dihati maka janganlah menyibukkan hati merindui makhluk yang masih tidak halal lagi pada kita. Ini kerana kita sudah meletakkan perasaan itu bukan pada tempatnya.Maka ia memudahkan lagi syaitan menjalankan agendanya untuk mereka yang sudah bercinta itu supaya lalai daripada mengingati-Nya dan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Jika ia tetap berlaku hendaklah dikawal perasaan itu kerana islam tidak menyekat perasaan itu tetapi islam mengajar kita untuk mengawal perasaan itu.

Bagi penulis cinta selepas kahwin adalah lebih manis daripada cinta sebelum kahwin kerana ia dapat menghindari diri daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah. Ini kerana dosa dan maksiat yang dilakukan sepanjang perhubungan cinta sebelum perkahwinan itu yang akan membawa musibah selepas perkahwinan.

Lihat sahajalah realiti zaman ini berdasarkan petikan akhbar Utusan Malaysia 3 Mac 2009, memaparkan kadar kes perceraian di Malaysia meningkat mendadak mencecah 75,299 kes. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Salah satu sebabnya hilangnya keberkatan dalam perkahwinan tersebut. Ini kerana perkahwinan itu terbina atas dasar maksiat kepada Allah. Maka bagi pasangan yang pernah melakukan dosa dan maksiat sepanjang perhubungan mereka sebelum perkahwinan perlulah bertaubat kepada Allah S.W.T kerana dengan pintu taubat sahaja yang dapat menghapuskan dosa mereka dan dapat mempertahankan bahtera perkahwinan yang dibina itu daripada berlaku penceraian.

Mungkin sesetengah orang sudah merancang untuk bercinta selepas kahwin tetapi kemungkinan apa yang dirancang akan sebaliknya yang berlaku. Jika ia berlaku seperti mana penulis katakan islam tidak menyekat tetapi islam memerintah kita untuk mengawal. Cinta itu adalah suatu fitrah manusia yang diberikan oleh Allah Azza wajalla kepada makhluknya. Maka islam tidak menyekat fitrah manusia itu tetapi islam memerintahkan mereka supaya mengawal daripada terjerumus melakukan dosa dan maksiat.Jika cinta itu fitrah yang diberikan oleh Allah kepada makhluknya maka yang patut lebih dicintai ialah Allah kerana Dia yang memberikan manusia cinta itu maka Dia yang patut lebih dicintai. Cinta itu adalah seperti hadiah Allah kepada makhluknya maka bukan hadiah itu yang patut kita cintai tetapi kepada pemberinya yang patut dicintai iaitu Allah. Jika hadiah itu yang dicintai maka kita telah mempertuhankan cinta itu bukannya Allah. Jika ia berlaku maka kita telah tersasar daripada landasannya

Cinta tanpa kawalan membawa padah. Mereka seolah berada didalam khayalan dunia lain. Hati apabila sudah tertawan itulah yang menyebabkan tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang. Itulah cinta buta. Cinta yang didasari tanpa panduan syariat islam. Cinta ini membuatkan seseorang itu terbang seakan layang-layang, mata bertentangan mata meninggalkan kesan dihati, bila berjauhan seakan dekat dihati.

Cinta berdasarkan peraturan Allah akan membawa natijah yang baik. Mereka tidak perlu berdating, berpegang tangan, berbual telefon, senyuman manis, SMS romantik dan sebagainya. Itulah cinta praktikal iaitu cinta yang sebetulnya berdasarkan peraturan Allah. Mungkin ada remaja akan mengeluh dan berkata “ itu bukan cinta namanya. Jika cinta mestilah ada sentuhan tangan, bersms, berbual telefon dan berdating” Ya,itu hanyalah pandangan dari sudut kita tetapi bukan dari pandangan Allah Azza wajalla. Cinta sebelum perkahwinan adalah suatu ujian dan cabaran kepada hambanya. Jika cabaran perasaan itu pun sukar dikawal sehingga melakukan dosa dan maksiat kepada-Nya bagaimana pula cabaran tanggungjawab selepas perkahwinan yang jauh lebih besar dan sulit cabarannya daripada sekadar cabaran menolak ajakan nafsu yang berkeinginan berdating, berpegang tangan, bergaul mesra dan sebagainya? Seperti mana juga yang disebut oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam bukunya ‘ Aku Terima Nikahnya’ bahawa jangan buktikan jati dirimu selemah itu. Jika menolak zina sudah sampai mencetuskan porak peranda hidupmu, dimanakah kejantananmu untuk memimpin isteri dan anak-anak?

Cinta berdasarkan peraturan Allah lebih baik dan membawa berkat selepas perkahwinan daripada cinta berdasarkan peraturan manusia. Mungkin golongan yang berdating berasa pelik dan aneh bagi golongan yang tidak berdating. Ya, lihat sahaja ramai manusia yang berbuat demikian maka mengapa mereka tidak berbuat demikian.? Jika pun ramai yang melakukannya tetapi salah disisi islam maka ia tetap salah. Bukan bermakna majoriti yang melakukannya maka ia menjadi benar. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)” [Al-An’aam 116]

Sunday, April 11, 2010

Telan Air Ludah Ustaz!


Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Berbagai sumber yang boleh diyakini memaklumkan kepada saya bahawa di Selangor ada seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air liurnya untuk keberkatan.

Upacara itu pula dibuat di masjid. Apa tidaknya, beliau ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan.

Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!


Ada banyak perkara yang boleh ditanya.

Demikian mudah nama Ahlus Sunnah dipergunakan dan tidak pula dikenakan tindakan oleh JAIS.

Jika ditanya mungkin ustaz itu –jika dia tahu- akan berkata ada hadis Nabi s.a.w pernah meludah mata ‘Ali bin ‘Abi Talib sehingga sembuh sakit matanya.

Atau mungkin riwayat lain yang dipertikaikan kesabitannya yang menyatakan kononnya Rasulullah s.a.w pernah meludah ke dalam mulut kanak-kanak pada Hari ‘Asyura untuk melatih mereka terus berpuasa.

Riwayat ini dipertikaikan oleh sebahagian sarjana hadis. (lihat: Silsilah al-Da’ifah hadis ke 6749).

Apapun, soalan yang wajar ditanya, apakah ustaz berkenaan merasakan dirinya setaraf dengan Nabi s.a.w atau seberkat baginda s.a.w sehingga dia pun hendak menyuruh orang lain menelan ludahnya?

Para sahabah Nabi s.a.w seperti para khalifah al-Rasyidin, atau para sahabat lain yang dijamin buat mereka syurga mempunyai berbagai kelebihan atau fadilat mereka yang dinyatakan sendiri oleh Nabi s.a.w.

Begitupun tidak pernah pun para sahabat ini semasa atau selepas kewafatan Nabi s.a.w membuat majlis dalam masjid atau luar masjid memanggil orang ramai menelan air ludah mereka untuk mendapatkan berkat.

Apakah ustaz berkenaan merasakan dirinya sudah sampai ke suatu tahap yang menyamai Nabi s.a.w dan dia pula diberikan lesen besar oleh Jabatan Agama untuk mempromosikan ‘kesucian’ air ludahnya itu?

Pertembungan
Isu-isu yang seperti inilah yang sering membawa perbezaan antara golongan pembaharuan yang ingin membersihkan Islam dari kepentingan diri, bertembung dengan kelompok yang cuba menjadikan Islam sebagai sumber untuk mendapatkan kuasa pengaruh dan ketaksuban dengan cara memperbodohkan orang ramai agar meletakkan kesucian untuk diri mereka.

Golongan tarekat sering terjebak dengan hal yang seperti ini. Padahal semua hal tersebut atas tujuan penguasaan pengaruh atau politik yang akhirnya boleh membawa keuntungan yang berbagai kepada seseorang tokoh.

Hal ini saya telah sentuh dalam artikel ‘Kuasa Politik dan Kuasa Agama’.

Dalam buku Tarekat Naqsyabandi, disebutkan tentang tanggungjawab disiplin pengikut tarekat: “Meninggalkan ikhtiar diri dan menyatukan ke dalam ikhtiar syeikh dalam segala urusan, baik ibadat mahupun adat kebiasaan.

Salah satu tanda murid yang benar, kalau syeikh menyatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam api yang menyala”, ia akan memasukinya” (H.A Fuad Said, Hakikat Thariqat Naqsyabandiah, m.s. 103).

Padahal dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, di mana Rasulullah s.a.w. pernah menghantar satu pasukan kecil tentera dan dilantik seorang lelaki Ansar mengetuai mereka serta memerintahkan mereka agar taat kepadanya.

Semasa dalam tugasan, lelaki itu pernah marah kepada mereka dan berkata: “Tidakkah kamu diperintahkan untuk taat kepadaku?”.

Jawab meraka: “Bahkan”. Katanya: “Aku telah putuskan apabila kamu siap kumpulkan api, kamu nyalakannya dan hendaklah kamu masuk kedalamnya”.

Maka mereka pun mengumpulkan kayu api dan menyalakannya dan apabila mereka hendak masuk ke dalamnya maka mereka melihat antara satu sama lain.

Maka salah seorang dari mereka terfikir: “Kita ini mengikut Nabi s.a.w. hanya kerana ingin lari dari api (neraka) apakah kita patut masuk ke dalamnya?”.

Sedang mereka dalam keadaan tiba-tiba api tersebut pun terpadam dan kemarahan ketua mereka kembali tenang.

Maka apabila kisah tadi disebut kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda: “Jika mereka memasukinya maka mereka tidak dapat keluar darinya selama-lama (mereka akan mati dan tidak dapat kembali ke dunia).

Ketaatan itu hanya itu hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan)”. Maksudnya, tidak boleh taat kepada arahan yang menyanggahi ajaran Islam.

Ketua yang dilantik oleh Nabi s.a.w sendiri pun tidak disuruh taat membabi buta, inikan pula sekadar guru tarekat yang hanya melantik diri sendiri!
Hadis Musalsal

Dalam usaha membina pengaruh, sesetengah golongan mencipta hadis-hadis yang bersifat musalsal. Hal ini mula berkembang dan ‘mendapat tauliah’ dalam negara ini.

Hadis Musalsal bermaksud periwayat hadis itu akan meniru perbuatan periwayat sebelumnya, yang sebelumnya itu juga meniru yang sebelumnya sehinggalah berterusan kepada Rasulullah s.a.w.

Contohnya, periwayat akan memakai serban seperti yang ditiru dari periwayat sebelumnya dan berterusan sehingga kepada Rasulullah s.a.w.

Hadis-hadis ketagori ini dinamakan dengan hadis musalsal. Kebanyakan hadis jenis ini amat daif atau palsu.

Kata tokoh agung hadis al-Imam al-Zahabi (meninggal 848H): “Secara umumnya hadis-hadis musalsal adalah dhaif, kebanyakannya pula adalah batil, disebabkan pembohongan periwayatnya. (Al-Zahabi, al-Muqizah fi `ilm al-Mustalah al-Hadith, m.s. 44. Halab: al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Jika pun ada yang sahih, adakah periwayat di zaman ini mencapai standard perawi yang dikehendaki dalam disiplin ilmu hadis sehingga layak riwayat mereka itu hendak dipercayai?

Sebenarnya, di sebalik ‘kegalakan’ sesetengah pihak berkempen hadis-hadis jenis ini, ia mempunyai tujuan agar diri mereka dikaitkan dengan Nabi s.a.w dan hasilnya mereka akan disucikan atau diagungkan sehingga ke tahap air ludah mereka pun ditelan orang.

Inilah yang Prof Hamka berikan sindiran pedas pada zamannya dengan memetik kata seorang tokoh bernama Syeikh Abdullah Saleh: “Menjadi Mufti dalam Kerajaan –kerajaan Melayu itu sangatlah megahnya.

Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri.

Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah. Dan kalau beliau ingin hendak kahwin, bismillah! (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 160, Selangor: Pustaka Dini).

Demikian jika ketaksuban melampaui batasan yang patut.

Dulu saya pernah tegur, ada guru dari Indonesia yang diberikan lesen berceramah di masjid-masjid di Malaysia mendakwa sesiapa yang berjabat tangan dengannya bererti berjabat tangan dengan Nabi s.a.w maka akan masuk syurga.

Beliau membuat majlis di masjid-masjid membaca hadis musalsal berjabat tangan atau disebut al-Musalsal bi al-Musafahah.

Lalu beliau pun baca hadis palsu berkenaan: “Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku sehingga hari kiamat maka dia masuk syurga”.

Maka orang ramai yang terpengaruh pun akan berjabat tangan dengannya dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.

Hadis palsu itu telah disangkal oleh para sarjana hadis sejak sekian lama. Kata sarjana besar hadis al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Lisan al-Mizan: “Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Lisan al-Mizan, 6/ 68, Beirut: Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at).

Begitupun, ada juga mereka yang terpelajar terpengaruh dengan dakwaan yang karut yang seperti itu.

Para sahabat Nabi s.a.w entah berapa kali berjabat tangan dengan Nabi s.a.w, namun tidak pernah mereka membuat majlis berjabat tangan dengan mereka untuk masuk syurga.

Sebenarnya, ia bukan berkaitan syurga atau Nabi s.a.w, tetapi kegilaan sesetengah manusia untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa.

Ekploitasi

Saya teringat cerita seorang kawan yang menyatakan apabila rombongan mereka ke Mekah untuk umrah dan pihak ‘ustaz’ yang menguruskannya tidak dapat menyediakan tempat dan makanan seperti yang dijanjikan, maka ustaz itu berkata: ‘ini ujian Tuhan yang mungkin disebabkan dosa-dosa tuan-tuan sebelum tiba di tanah suci”.

Dengan itu semua ahli rombongan terima seadanya, walaupun tidak padan dengan kadar harga yang dibayar kepada ustaz berkenaan.

Saya tersenyum dengan cerita itu. Saya kata: “Ada golongan manusia yang suka eksploitasi orang lain dengan menggunakan agama. Mengapa saudara tidak bertanya apakah hukum wang orang yang diambil tetapi gagal menunaikan janji di tanah suci?!”.

Malangnya, ramai yang berpelajaran tinggi yang bukan bidang khusus agama, yang baik intelek mereka, tapi apabila tiba masalah agama mereka memandulkan akal.

Seakan, agama melarang mereka menggunakan akal walaupun ternyata mereka diperbodohkan oleh orang yang menyalahgunakan agama. Ya, bukan semua golongan agama begitu, tapi ada yang begitu!

Saya sedang menunggu apakah reaksi JAIS terhadap majlis menelan air ludah yang dibuat dalam masjid itu.

Saya juga sedih apabila tahu ada juga orang yang terpelajar sanggup menelan air liur ustaz berkenaan.

Apakah mereka pasti ustaz mereka itu telan mencampakkan berkat ke dalam mulut mereka?

Pastikah pula mereka air liur ustaz mereka itu memang berkat?

Sekali lagi, sebenarnya, mereka pun tidak pasti dan ustaz berkenaan pun tidak pasti.

Ini bukan berkaitan air liur atau berkat, ia berkaitan kuasa pengaruh atau doktrin yang ingin ditanamkan. Akhirnya, semua mereka akan ikut dan serah apa sahaja seperti yang berlaku pada al-Arqam dan Tal Tujuh di Kelantan.


Antara 2 Pilihanraya


Dari Ustaz Maszlee Malik

Ketika penduduk Hulu Selangor sedang bersiap sedia untuk memilih ADUN baru mereka, rakyat UK sedang sibuk menantikan tarikh 6 Mei 2010. Tarikh yang dinanti-nantikan oleh rakyat UK untuk menyaksikan pusingan baru untuk memilih kerajaan bagi tempoh 5 tahun akan datang itu menjanjikan debaran bagi semua pihak.

Menurut poling terkini, kemungkinan besar situasi kerajaan minoriti (Hung Parliament) akan berlaku di dalam pilihanraya kali ini. Parti Konservatif yang dijangkakan akan mendahului parti pemerintah sekarang, Parti Buruh pun dijangkakan hanya akan mendapat sekitar 40% kerusi di parlimen. Parti buruh pula dijangkakan bakal mendapat 30% kerusi, manakala parti Liberal Demokrat pula bakal mendapat 20%. Jika natijah sedemikian berlaku, kerajaan memerintah akan diberikan tempoh 18 hari untuk membentuk kerajaan campuran dengan kerjasama mana-mana parti lain untuk membentuk majoriti mudah, dan jika gagal, pihak yang mendapat undi terbanyak akan diberi peluang untuk membentuk kerajaan pula. Di dalam dua-dua keadaan, parti Liberal Demokrat dilihat sebagai penentu (king maker) untuk bersama membentuk kerajaan campuran yang baru.

Apa yang menarik mengenai pilihanraya di bumi penjajah ini ialah kematangan parti-parti politik dan juga rakyat serta media. Bukan sahaja kerajaan memerintah tidak menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen bagi pihak mereka, malah duit pembayar cukai tidak langsung disalah ertikan sebagai duit parti pemerintah. Parti Buruh yang memerintah juga tidak tergamak untuk memperbodohkan rakyat dengan menawarkan sekolah-sekolah baru, jambatan, jalanraya ataupun apa-apa 'rasuah' pilihanraya. Rakyat UK juga tidaklah terlalu dungu untuk diumpan dengan 'ugutan' agar bersyukur kepada kerajaan memerintah dan juga dengan ugutan bahawa mengundi selain dari Parti Buruh akan menganggu kemanan, pembangunan dan juga ketuanan mana-mana bangsa. Di pihak yang lain, doasa dan pahala juga tidak menjadi 'rasuah' pilihanraya berbanding suasana di tanah air.



Selain dari parti perkauman seperti BNP, tiada parti-parti yang menggunakan isu perkauman untuk memaksa rakyat untuk mengundi calon-calon mereka. Media juga bersikap adil dan profesional dengan memberikan ruang kepada semua pihak untuk berkempen dan dikritik. Pendekata, di UK ini, rakyat memang benar-benar berkuasa, parti-parti politik juga mempunyai padang yang sama rata untuk mereka bersaing. Kempen-kempen di peringkat tempatan (dan bukan nasional) pula diberikan liputan oleh media tempatan secara sama rata dan adil. Setiap calon dari parti-parti yang bertanding diberikan peluang untuk mengemukakan manifesto mereka di akhbar-akhbar dan juga diberikan peluang untuk 'bertikam lidah' (husting) di medan umum.

Setiap calon dari parti yang bertanding juga berjaya menyampaikan mesej mereka di pintu setiap rumah samda melalaui surat mahupun akhbar dan liflet. Mereka memberikan peluang kepada semua pihak untuk berhubung secara terus untuk menyampaikan hasrat rakyat dan mendapatkan jaminan dari pihak yang bertanding. Apa yang lebih penting, politik wang dan sogokan bukan sesuatu yang diterima oleh rakyat UK dan undang-undang mereka. Jika hendak dibandingkan sistem pilihanraya dan juga budaya politik di UK, mereka jauh lebih amanah, telus, berintegriti, efisien, adil dan tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai 'lebih Islamik' berbanding mana-mana negara Islam.

Hendak dibandingkan dengan PRU di Malaysia? ataupun pilihanraya kecil yang bakal menanti di Hulu Selangor?

Bagaikan langit dan bumi!!!

Namun, hati saya agak pelik, hairan dan kecewa dengan sesetengah pihak yang mengaku lebih Islam dan lebih benar dari kaum Muslimin yang lain yang aktif menjelang pilihanraya di UK untuk menyebarkan risalah dan juga khutbah mengenai 'HARAM'nya menyertai pilihanraya, KAFIRnya demokrasi dan juga 'HARAM'nya mengundi wakil rakyat dari kalangan bukan Islam di bumi UK ini!

Mengapakan manusia-manusia ini tidak sahaja berhijrah ke bumi Arab yang pemerintahannya lebih diktator dan hak rakyat dinafikan. Inilah padahnya apabila keIslaman hanya dinilai dengan hukum 'memotong' dan 'menyebat' semata-mata. Akhirnya nilai keadilan dan moral tidak diambil kira...


* Yang sedang meneliti manifesto calon-calon dari kedua-dua Parti Buruh dan Parti Liberal Demokratik yang bertanding di Durham.


Wednesday, April 7, 2010

Cabaran Gerakan Pembaharuan


Dari drmaza.com

Antara perkara yang paling buruk yang menimpa negara ini ialah wujudnya sesetengah golongan agama yang menghalang orang lain berfikir atau memahami agama selain dari apa yang mereka fahami.

Jika fikiran mereka itu lemah, mereka bimbang orang lain berfikir lebih baik nanti akan dianggap mencabar fikiran mereka. Jika fikiran baik, mereka pula enggan jika wujud kepelbagaian fikiran yang baik dalam kalangan umat Islam nanti akan dianggap orang lain pun setaraf mereka.

Ini mempunyai kaitan dengan persoalan ‘kuasa agama’ seperti yang saya sebutkan dalam artikel saya yang lepas. Segala usaha dan percubaan kepada pembaharuan (renewal) akan dianggap sebagai musuh, kurang ajar, biadap, tidak hormat orang tua-tua dan seumpamanya.

Atau, mereka mungkin melabel pihak yang cuba memberikan pandangan yang berbeza dengan mereka dengan berbagai-bagai istilah.

Ramai mereka yang cuba melakukan pembaharuan dalam sejarah Melayu dimusuhi dan diberikan berbagai tuduhan.


Inilah yang menimpa tokoh-tokoh pembaharuan Nusantara termasuk Prof Hamka yang terkenal dengan sumbangan kesarjanaannya, Za’ba yang dianggap sebagai Bapa Persuratan Melayu, Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh reformis progresif dan ahli falak, Syed Syeikh al-Hadi tokoh moderate muslim yang berjasa memajukan pendidikan orang Melayu, begitu juga muridnya Dr Burhanudin al-Helmi yang menjadi tokoh politik tanahair dan lain-lain.

Di’cop’

Nama-nama yang disebutkan itu pada zaman mereka menghadapi tuduhan yang berbagai terutama di’cop’ sebagai ‘kaum muda’ atau wahabi atau sesat atau menentang mazhab.

Usaha-usaha pembaharuan mereka ditentang. Pendeta Za’ba hari ini disanjung sebagai tokoh cendiakawan Melayu tapi pada hayat diharamkan tulisan ucapan dan tulisan di banyak negeri.

Tokoh-tokoh traditionalis Perak pernah menggunakan Sultan Perak untuk mengharamkan tulisan beliau.

Za’ba pernah menyebut: Maka hanyalah pada zaman-zaman yang akhir semenjak beberapa ratus tahun yang lalu ini sahaja orang alim Islam hampir-hampir semuanya di serata dunia tidak lagi mempunyai semangat kesendirian kebolehan dan kelayakan untuk berbuat seperti pelopor mereka yang dahulu kala itu.

Ya, jika dicari sangat sedikit boleh didapati yang tahu dan boleh bersendiri, atau berani bersendiri; melainkan di mana-mana pun akan didapati mereka itu hanya biasa tertaklid sahaja dan kebanyakan daripada itu pula ialah bertaklid buta!

Malangnya jika ada siapa yang mencuba berbuat seperti pakar-pakar Islam dahulu kala itu - iaitu melepaskan diri daripada kongkong taklid dan balik kepada Quran dan Hadis dengan kehendak-kehendak zaman dan hal-hal keadaan yang telah berubah sekarang - maka terus dilempar mereka akan dia dengan kata-kata yang tidak selayaknya seperti “sesat dan menyesatkan, memandai-mandai, membawa bidaah, mengubah-ngubah daripada jalan yang telah diatur oleh pakar-pakar dahulu kala itu (nenek moyang), tidak ada rupa hendak melebih daripada orang dahulu-dahulu” dan berbagai-bagai lagi.

Yang betulnya duduklah juga membeku di tempat yang ada itu!!

Mungkin juga kerana mereka sendiri tiada upaya membuatnya maka mereka tiada suka kalau ada orang lain pula dapat berbuat. (m.s 33, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka 2005).

Za’ba juga berkata: “Demikianlah dicela Tuhan di dalam Quran jika orang hanya mengikut apa-apa kebiasaan yang telah teradat dari nenek moyang sahaja dengan tiada diperiksa lagi betul atau tidak betulnya dan tiada dijalankan akal fikiran dan pengetahuan sendiri menguji benar salahnya.

Kerana sesungguhnya perbuatan demikian itulah yang dikatakan bertaklid buta.

Bertaklid buta itu dikeji oleh agama dan oleh sekalian orang berakal, kerana banyak mudaratnya dan kuat kemungkinannya boleh membawa tersimpang kepada jalan yang tiada betul dengan tiada kita perasan.

Tuhan dan Rasulnya tidak menyukai orang bertaklid buta kepada fikiran dan pendapat orang lain.

Imam-imam Mujtahidun dahulu kala tempat orang tertaklid itu sendiri tidak pernah menggemarkan orang-orang bertaklid buta sahaja kepadanya atau memastikan orang sekelian menerima sahaja segala fahamannya dan pendapatnya.

Sebaliknya mereka sentiasa menggalakkan murid dan pengikut mereka supaya menyelidik sendiri, memeriksa dan menimbang sendiri dengan teliti segala pendapat dan keputusan yang telah mereka peroleh itu”.(m.s. 25-26).

Prof Hamka terkenal sebagai sarjana Nusantara yang besar. Tafsirnya Al-Azhar mendapat mengiktirafan atas keilmuwannya.

Beliau sendiri merupakan tokoh pembaharuan di Indonesia yang terlibat membangunkan Gerakan Muhammadiyyah, Indonesia. Bahkan beliau sering membantu pergerakan pembaharuan Islami Tanah Melayu.

Antara usahanya yang terkenal ialah risalah yang ditulisnya mengkritik Mufti Johor ketika yang memusuhi gerakan pembaharuan.

Setiap mereka yang berminat dengan gerakan pembaharuan patut membaca buku Prof Hamka Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor.

Antara tegurannya: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara. Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).

Kata Prof Hamka juga: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda!

Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor m.s. 48, Selangor: Pustaka Dini, 2009). Katanya juga:

“Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na’am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).

Nasib golongan Pembaharuan

Nasib golongan pembaharuan agak tersisih bukan disebabkan kekurangan jasa dan penolakan masyarakat tetapi kegagalan mereka ‘mengampu’ pihak berkuasa.

Itu yang saya sebut kegagalan menggabungkan kuasa agama dengan kuasa politik. Dengan itu mereka ditindas.

Sumbangan mereka sangat besar. Kebanyakan nilai-nilai keterbukaan dan kemerdekaan minda yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan mereka.

Walaupun saya secara peribadi bukannya bersetuju dengan semua idea mereka.

Namun merekalah yang menentang pemikiran sempit, adat-istiadat yang menyanggahi syarak dan fanatik mazhab tanpa asas yang benar. Merekalah yang membebas kongkongan terhadap kaum wanita disebabkan fanatik mazhab dan adat Melayu.

Mereka yang memecah paksaan perkahwinan dan wanita tidak boleh keluar belajar. Mereka yang menggerakkan idea-idea kemerdekaan dan mengasaskan institusi-institusi pendidikan.

Merekalah yang melebarkan Islam kepada pelbagai bidang.

Sumbangan mereka menggerakkan idea penentangan terhadap penjajahan sangat besar.

Namun disebabkan sultan-sultan Melayu ketika itu dikuasai oleh Inggeris dan golongan pembaharuan pula gagal mendekati para sultan dan raja kecuali di Perlis di tangan Abu Bakar Ashaari.

Namun di negeri-negeri lain, golongan pembaharuan gagal untuk mengikuti kehendak dan kerenah istana.

Banyak adat-istiadat Melayu yang dianggap tidak serasi dengan Islam menyebabkan mereka sukar untuk mengikut kehendak telunjuk sultan dan raja.

Pendirian mereka yang berterus terang dengan prinsip-prinsip Islam itu menyebabkan sukar untuk mereka berdamping dengan raja-raja Melayu.

Ruang ini telah diambil oleh golongan penentang mereka untuk mengisi jawatan-jawatan agama dan mendampingi istana-istana untuk menindas gerakan pembaharuan.

Hal ini disebutkan oleh Prof Hamka dalam bukunya ‘Ayahku’ yang menceritakan perjuangan pembaharuan ayahnya.

Kata Hamka: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i.

Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya.

Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (Prof Hamka, Ayahku, m.s. 162, Selangor: Pustaka Dini 2007).

Enggan mengampu

Golongan penentang pembaharuan mempunyai kelebihan kerana mereka sanggup menurut kehendak istana.

Mereka adakan doa-doa yang memuja dan memuji sultan dan raja. Mereka diamkan tindakan-tindakan istana yang tidak serasi dengan agama.

Fatwa-fatwa mereka hanya dihalakan kepada rakyat dan dilupai kerabat dan pembesar. Dengan itu, mereka dapat mempengaruhi istana agar menghalang perkembangan gerakan pembaharuan.

Pada hari ini kita lihat pemakaian tali leher tidak diharamkan. Namun semasa zaman perkembangan pembaharuan dahulu tali leher diharamkan.

Apabila tokoh-tokoh pembaharuan menyatakan tali leher tidak haram, mereka ditentang.

Namun apabila didapati sultan memakainya, terus fatwa golongan penentang pembaharuan dikeluarkan bahawa tali leher tidak haram jika ada keperluan (lihat: Hamka, Teguran Suci dan Jujur Kepada Mufti Johor, 48-49).

Berlindung

Hasilnya, kuasa istana pun digunakan untuk menindas gerakan pembaharuan. Apatahlagi istana juga tahu sikap para reformis amat tidak secucuk dengan budaya mengampu dan mesra penjajah.

Banyak amalan istana yang akan dipertikaikan oleh tokoh-tokoh pembaharuan.

Penentang pembaharuan mengambil kesempatan ini. Mereka melupakan berbagai amalan khurafat di istana dan rakyat, kemunduran akal dan harta masyarakat Muslim, unsur-unsur feudalism yang menyanggahi jiwa merdeka Islam dan berbagai lagi.

Bagi mereka semua itu kecil dibandingkan usaha menentang golongan pembaharuan yang mengajak umat berfikir dan terbuka minda. Bagi mereka itu akan mengancam kedudukan mereka dalam masyarakat yang mana mereka selama ini boleh berkata apa sahaja tanpa dicabar.

Sedangkan gerakan pembaharuan menentang taklid buta. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.

Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru.

Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama. Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain.

Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s. 65).

Akibat penggunaan kuasa istana, para reformis agama ini terpaksa berlindung di Negeri-Negeri Selat yang tidak mempunyai kuasa istana.

Maka kita lihat sepanjang sejarah tokoh-tokoh reformis tertumpu di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Di negeri-negeri ini sahaja gerakan pembaharuan tidak dipintas atau diganggu oleh kuasa istana. Cumanya, Inggeris sering memantau penentangan mereka terhadap penjajahan.

Hari Ini

Perjuangan para reformis sudah banyak berhasil walaupun mereka menjadi korban kezaliman kuasa. Banyak perubahan telah berlaku.

Hari ini sudah tidak seteruk semalam. Pun begitu masih ada persamaannya. Pembaharuan umat atau tajdid (renewal) masih diperlukan.

Kejumudan kembali atau masih mengongkong kita. Seruan agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah serta membebaskan diri dari taklid tanpa faham masih diperlukan.

Ya, penindasan terus berlaku.

Cumanya, yang agak istimewa di era ini golongan pembaharuan mempunyai media alternatif dan internet untuk pandangan mereka disebarkan.

Ternyata saki-baki kuasa istana masih cuba digunakan oleh sesetengah pihak, namun kita berharap kematangan fikiran rakyat satu hari akan dapat melumpuhkan penyalahgunaan kuasa ini.

Internet memboleh banyak hujah disampaikan dan idea disalurkan. Istana sepatutnya tidak berpihak dan mendengar dari semua aliran. Namun, dalam banyak keadaan, itu belum berlaku. Kepada Allah kembali segala urusan.

Semoga tajdid di era baru lebih kemas dan bertenaga!!



Sunday, April 4, 2010

Poligami Tidak Menzalimi Wanita

Ikuti penjelasan daripada Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia dan juga merupakan mantan mufti Perlis.


Popular Posts