Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri yang menyatakan tidak mengapa selagi traksaksi itu atas bantuan, bukan judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?
Mazlan, Pulau Pinang.
Jawapan Dr MAZA: Saudara Mazlan, perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;
Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.
2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.
Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.