Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Sunday, October 23, 2011

Nilai Ilmu dan Kehormatan Para Ilmuwan



1) Ketika saya berada di Universiti Al Bayt,di Mafraq Jordan untuk pengajian pra-siswazah, kami mempunyai seorang pensyarah yang amat diminati dan disayangi oleh para pelajar, termasuk juga pelajar-pelajar non-Muslim. Beliau adalah Dr Bahjat. Beliau disukai kerana sikap terus terang, jujur, berani dan ketegasannya di dalam menyampaikan kebenaran dan mesej Islam. Sebelum saya menyudahkan pengajian, dia pernah bercerita kepada kami bagaimana beliau telah diminta surat tunjuk sebab, dipanggil ke ibu pejabat Mukhabarat (SB) di Amman, diugut dan diberikan tekanan kerana kelantangannya.

2) Di peringkat PhD, saya telah bermukim hampir 4 tahun di Durham University di bandar Durham, UK. Banyak ilmu yang saya pelajari, dan banyak makna kehidupan yang saya tempuhi. Menariknya suasana keilmuan dan juga atmosfera keintelektualan begitu dirasakan di sini. Di dalam Universiti, para ilmuan, para professor dan para pensyarah dihormati pandangannya. Apa sahaja pandangan mereka sering mendapat tempat di media. Media di UK juga bebas, dan menjaga etika mereka di dalam hal-hal yang dibangkitkan oleh para akademik.

3) Setelah kembali mengajar di tanah air, saya melihat adanya sikap 'ketakutan' dan sindrom 'under-siege mentality' baik di kalangan pelajar mahupun sesetengah rakan pensyarah. Saya agak kurang memahami sebabnya kerana telah 4 tahun tidak berada di kampus tanah air. Namun, hari ini baru saya faham mengapa mereka bersikap demikian. Rupanya nilai ilmu dan kehormatan para ilmuan terletak pada penilaian ahli politik yang korup di dalam rejim yang berkuasa. Pendapat ilmuwan tidak lebih mulia berbanding salakan pengampu dan pembodek yang tidak bermaruah. Pendapat ilmuwan juga tidak bernilai di hadapan fitnah dan adu domba media yang tidak beretika.

4) Akhirnya saya terfikir, apakah di bumi Islam tiadanya keadilan? Apakah ilmu dan ilmuwan hanya dihormati di bumi kafir? Lebih malang lagi, jika yang berjenama Islam itu adalah sebuah gedung ilmu, tetapi tidak memberikan kehormatan kepada ilmu dan ilmuwan...apakah nilai 'Islam' pada namanya? Apakah yang 'bukan Islam' itu lebih baik, kerana lebih profesional, lebih menghormati akademik, malah lebih bersikap adil dan lebih buta politik.

5) Maka, terjawablah kini mengapa menara gading-menara gading di negara-negara Islam tidak mendapat ranking dan juga prestij di dalam dunia. Jangan salahkan orang lain, tetapi tunding jari ke muka sendiri. Terimalah hakikat: politik primitif, ahli politik yang kurap dan juga rejim yang zalim yang tidak menghormati ilmu dan para ilmuwanlah penyebab utama kemunduran menara gading-menara gading di negara-negara umat Islam!

Dr Maszlee Malik
UIAM

Friday, October 14, 2011

JAMAIE: Umno tolak hudud, "luar biasa"

Harakahdaily

KENYATAAN AKHBAR DARIPADA PENGERUSI JARINGAN NGO ISLAM PERAK ( JAMAIE )

Saya terpanggil untuk membuat kenyataan paling penting mengenai polemik kefahaman dan perlaksanaan hukum hudud yang sudah berminggu-minggu dibincang di dada-dada akhbar. Khusus mengenai pandangan Professor Atory Hussin & Prof. Madya Dr.S. Pandian di Akhbar Sinar Harian muka 2 edisi 12/10/11.

Perbincangan tentang hudud diakhbar-akhbar perdana adalah disekitar tuduhan bahawa isu hudud adalah mainan politik PAS dan PAS akan terus gagal melaksanakan hudud kerana DAP menentang.Dibincangkan juga betapa isu hudud ini adalah duri dalam daging yang akan menggugat hubungan dalaman Pakatan Rakyat.Digambarkan bahawa pelaksanaan hudud tidak akan pernah seeuai kerana majmuknya negara ini.

Berikut kenyataan kami.

i) Menyalahkan PAS dalam polemik hudud adalah tidak meguntungkan sesiapa.Kenapa tentangan DAP terhadap hudud diraikan seolah-olah satu kemenangan sedangkan tentangan mati-matian MCA terhadap hudud disepikan. Seolah-olah jika hudud gagal dilaksanakan ia merupakan kemenangan kepada imej politik UMNO. Hakikatnya adalah, baik tentangan DAP atau MCA terhadap hudud adah manifestasi ‘kegagalan’ dakwah orang-orang Islam tidak kira UMNO atau PAS.Tidak ada apa-apa yang perlu diraikan. Sebenarnya yang perlu ditangisi adalah kenapa masih ada orang-orang Melayu-Islam yang menentang hudud. MCA dan DAP tak faham hudud itu biasa tetapi dolak dalik UMNO menolak kesesuaian pelaksanaan hudud di Malaysia khususnya di Kelantan adalah sangat luar biasa.

ii) Benar enakmen syariah bekaitan hudud telah berjaya diwartakan oleh kerajaan pimpinan PAS di Kelantan tahun 1993 dan di Terengganu tahun 2003. Secara positif seluruh orang-orang beriman sepatutnya bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada PAS kerana di mana-mana sahaja jika ada kesempatan menguasai kerajaan dengan majoriti 2/3 PAS akan mengusahakan enakmen-enakmen syariah di luluskan oleh dewan-dewan legistatif. Bukankah itu tanda kesungguhan dan kejayaan PAS?

iii) Benar terdapat kelemahan PAS dalam kesungguhan mereka mengusahakan supaya enakmen-enakmen tersebut dapat dilaksana dan dikuatkuasakan. Alasan-alasan seperti halangan kerajaan persekutuan dan ‘seolah-olah’ berlaku halangan perlembagaan adalah rintangan yang sering diberikan oleh PAS. Halangan sebegini bukan persepsi tetapi satu realiti yang selalu diulang-ucap oleh pemimpin-pemimpin politik khususnya daripada UMNO, MCA, DAP & Gerakan. Kami bersetuju jika ini dilihat sebagai kelemahan dalam iltizam PAS. Namun orang-orang beriman mesti membantu mengatasi kelemahan PAS tersebut dengan turut terlibat memberikan sokongan moral dan nasihat professional kepada PAS tentang kaedah-kaedah bagi mengatasi halangan-halangan tersebut. Bukankah merealisasikan perlaksanaan undang-undang syariah adalah tanggungjawab semua orang-orang beriman.

iv) Berbanding antara kelemahan PAS (yang tidak disengajakan) dengan komitmen bermati-matian pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan Karpal Singh untuk menentang perlaksanaan hudud – orang-orang beriman mesti tahu menentukan kewajaran sikap dan tindakan. Kelemahan PAS rawatannya adalah berikan kerjasama dan tunjuk ajar. Namun keangkuhan UMNO & MCA memerlukan amaran dan diberikan kata dua. Jika benar UMNO membenci hudud, UMNO mesti mempunyai keberanian untuk berterus terang. Setakat ini kami menyanjung sikap Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuaka menyokong hudud dengan alasan ia adalah tanggungjawab agama. Apa salahnya menegakkan kepentingan politik demi melaksanakan tuntutan agama.

v) Alasan demi alasan pemimpin-pemimpin besar UMNO daripada dulu (contohnya sikap tegas Dr. Mahathir mempersenda hudud sebagai undang-undang yang akan melemahkan umat Islam) hingga sekarang (ucapan demi ucapan Dato’ Najib Razak yang mengatakan hudud tidak sesuai di Malaysia) yang mempertikaikan kesesuaian undang-undang hudud adalah sangat dikesali. Jika benar keadaan zaman Dr. Mahathir tidak sesuai untuk perlaksanaan hudud kami ingin bertanya apa pula langkah-langkah komprehensif kerajaan UMNO/BN daripada zaman beliau hingga era Dato’ Najib sekarang untuk membantu mewujudkan suasana ‘sesuai hudud’ tersebut. sekurang-kurangnya kerajaan PAS Kelantan telah berusaha menutup lubang-lubang maksiat dan mungkar dengan mengharamkan judi, mengawal ketat penjualan arak, mengawal hiburan dan budaya lucah serta mengamalkan pentadbiran bebas rasuah. Persoalan yang nak ditanya kepada UMNO – menolak hudud sekeras-kerasnya dan terus mempromosikan budaya ‘tidak mesra hudud atas acuan MCA’ tidakkah dilakukan juga kerana kepentingan politik ? kepentingan untuk meminggirkan agama, bukan?

vi) Bagaimana mungkin akan wujud suasana ‘sesuai hudud’ jika dasar-dasar UMNO masih terus disuburkan dengan penggalak kepada kesalahan-kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman hudud. Zina terus subur dengan dasar-dasar hiburan dan perlesenan tempat hiburan mesra zina. Mencuri terus subur dengan suasana ketidakadilan ekonomi, pembaziran dan rasuah yang berleluasa. Disamping undang-undang mencuri dan undang-undang rasuah yang ‘mesra penjenayah’. Minum arak terus digalakkan tanpa ada kawalan dan perlaksanaan undang-undang yang berkesan. Jangan lupa dalam keadaan kuasa ada ditangan, Perdana Menteri Dato Najib terus meluluskan lesen-lesen judi baru sejak beliau menerajui Putrajaya. Persoalannya jangan bercakap tentang suasana yang tidak ‘sesuai hudud’ jika pemimpin-pemimpin UMNO adalah punca utama kepada kewujudan suasana tidak ‘sesuai hudud’ tersebut. Jangan harapkan rakyat memakan ramuan sihat jika racunlah yang ditabur dalam makanan harian mereka!

vii) Sekalung tahniah kepada Mufti Kerajaan Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang memberikan respon penting tentang perlunya Kerajaan persekutuan memberikan laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan. Pihak-pihak lain yang tidak mahir tentang ‘komplexiti’ undang-undang syariah (walaupun anda bergelar Professor dalam bidang-bidang lain) – ambillah pesanan Rasulullah – jika tiada perkara baik yang nak diucapkan lebih baik diam.

viii) Akhirnya perlu diingatkan Islam adalah agama ciptaan Allah, milik Allah dan kita beragama untuk Allah. Islam berbeda dengan agama-agama lain kerana Islam adalah pilihan Allah untuk bukan sahajai penganut Islam tetapi kebaikan Islam akan merahmati seluruh manusia dan alam. Kalau beriman, percaya dan yakinlah dengan seluruh peraturan Islam. Tugas orang beriman adalah menjadi jurujual yang terbaik untuk produk bernama Islam. Jurujual yang daripada awal-awal lagi mengaku produknya tidak baik dan tidak sesuai mestilah dipecat daripada terus menjadi jurujual. Jurujual Islam (orang beriman) adalah orang-orang yang akan mempertahankan produknya dan secara positif dan proaktif memberikan nasihat dan nilai tambah kepada produk dan strategi pemasaran. Jurujual palsu Islam bertaubatlah demi pilihan antara syurga dan neraka. Menjadi harapan kami supaya semua pihak terutama media turut mengambil peranan mendidik masyarakat tentang Islam khususnya mengenai falsafah undang-undang hudud. Elakkan mempolemikkan isu hudud yang bakal menambahkan kekeliruan masyarakat. Bagi PAS, nasihat kami perbaiki dan pelbagaikan strategi supaya Islam khususnya hudud dicintai sebagaimana cintanya manusia kepada pencipta hudud iaitu Allah. Bagi UMNO ambil yang jernih buang yang keruh. Belajarlah untuk mencintai dan menghargai segala peraturan-peraturan Islam.Kepada UMNO atau PAS, hudud bukan liabiliti tetapi aset. Perjuangkanlah!!

Dr. Haji Khairuddin Bin Dato’ Abdul Malik
Pengerusi Jaringan Muafakat NGO Islam Perak (JAMAIE)

Apa Yang Boleh Dipelajari dari Steve Jobs: Pakar Dalam Bid'ah Hasanah Abad Ini

Saya bukanlah pengkagum kepada Steve Jobs. Saya lebih mengagumi Nabi kita Nabi Muhammad saw dan para sahabat. Apalah sangat Steve Jobs jika dibandingkan dengan 4 Imam Besar Mazhab dan juga Khalifah Umar Abdul Aziz, saya lebih mengagumi mereka semua berbanding Steve Jobs.

Namun dunia sekarang memang terasa kehilangan Steve Jobs diatas kehilangannya. Bagi saya dia boleh dikategorikan antara insan yang hebat kerana mampu meninggalkan kesan sebagai seorang innovator yang berjaya.

Sebelum kita melihat pengajaran yang kita boleh ambil dari Steve Jobs, secara kesimpulannya beliau adalah insan biasa, sama seperti kita, beliau bukan anak raja atau anak orang kenamaan. Namun apa yang hebat mengenai beliau adalah, beliau sendiri yang menentukan kehidupannya. Tidak menyalahkan orang lain atau keadaan sekeliling, dan kemahiran dan kelebihan ini yang gagal kita pupuk.

1. Life is what you make it out to be/ Hidup (impian) Adalah Apa yang Kita Mahukan

Kebanyakan dari kita tidak mengenali Steve Jobs secara mendalam. Kita mungkin hanya mengetahui bahwa beliau adalah Bos kepada syarikat Apple. Berikut beberapa fakta mengenai Steve Jobs:

* Dia dilahirkan sebagai anak di luar nikah, kepada pasangan pelajar yang masih lagi menuntut.
* Ibubapanya melepaskannya kepada sesiapa yang ingin mengambil beliau sebagai anak angkat
* Dia kemudian diambil oleh pasangan kelas pertengahan. Ayah angkatnya bekerja membaiki kereta
* Pasangan ibubapa kandung beliau mahukan anak perempuan dan bukannya anak lelaki
* Beliau dibuang kolej setelah menjalani pengajian selama 1 semester
Selepas dibuang kolej, beliau menumpang tidur di lantai rumah kawannya, mengutip botol air Coke untuk dijual, dan mendapatkan bantuan makanan percuma dari kuil Hare Krishn
* Pada tahun 1985, beliau dipecat didepan umum, dari syarikat yang beliau asaskan sendiri (Apple), setelah kehilangan kuasa dalam bilik Lembaga Pengarah. (beliau kemudiannya kembali sebagai CEO Apple pada 1997, setelah Apple membeli Syarikat NeXT, kepunyaan beliau)
* Pada tahun 2003, beliau didapati menghidap kanser pancreas yang jarang ditemui. Kemudian beliau hidup dalam pertarungan yang panjang menentang kanser itu sehinggalah beliau menemui ajalnya.

Kebanyakan dari kita yang tidak mengenali Steve mungkin beranggapan bahwa Steve mempunyai hidup yang serba serbi lengkap, mewah dan mempunyai kareer hidup yang terjamin kejayaan didepan mata.

Namun hakikatnya berbeza, seperti apa yang kita lihat fakta-fakta diatas. Beliau dilahirkan sebagai anak luar nikah. Ibubapa kandungnya tidak mahu menjaganya. Beliau telah dipecat dari syarikat yang disuahakannya, didepan umum dan sangat memalukan. Dan beliau menghidap kanser pancreas yang jarang ditemui yang mana akhirnya mengambil nyawa beliau.

Kehidupan beliau bukan selalunya indah, namun beliau tidak menyalahkan setiap apa yang berlaku dalam kehidupannya. Beliau tidak mahu mengadu atau menyerah nasib kepada keadaan yang menimpanya, namun beliau cuba mendapatkan yang terbaik dari apa yang dihadapinya – dengan mencipta sesuatu yang diimpikannya, dan menjadi CEO kepada syarikat yang paling bernilai didunia, menjadi billionwan selama beberapa tahun, dan menjadi orang yang disegani dalam dunia.

Cuba kita refleksi diri. Jika keadaan hidup kita menghimpit dan menekan kita, apa yang akan kita lakukan? Adakah kita (a) duduk dan bersedih mengenainya (b) mengambil apa yang terbaik dari apa yang berlaku (c) mengambil kesempatan yang ada dan mencipta peluang yang baru darinya? Kebanyakan dari kita akan melakukan (a) – ini adalah kategori orang yang suka merengek. Ada yang mungkin memilih (b) – mereka ini bagus, namun hanya sekadar itu sahaja. Sedikit sahaja yang memilih (c) – ini adalah pemenang sebenar.

Kita sebenarnya sentiasa mempunyai pilihan untuk dibuat dalam kehidupan. Jangan kita menyalahkan diri sendiri walaupun banyak benda dan keadaan buruk yang berlaku kepada kita sekarang ini, terdapat berates-ratus lagi orang dikuar sana yang lebih bernasib buruk dari kita. Apabila kita melonjak diluar dari kemampuan kita, itulah permulaan kepada kebangkitan kita.

2. Dream big – very big/ Berimpian Besar – Impian yang Sangat BESAR

Sebelum Apple mula melonjak naik, Microsoft adalah gergasi besar dalam industry computer pribadi. Sbelum iPod, mp3 player hanya dikenali sebagai mp3 player. Sbelum iTunes, ia kelihatan seperti mustahil untuk sesorang membeli lagu secara online, di zaman cetak rompak begitu berleluasa. Sebelum iPhone, Nokia adalah pemacu dalam pasaran handset untuk jangka masa yang lama. Sebelum iPad, kelihatannya kehidupan kita sudah selesa dengan PCs dan laptop dan tiada siapa Nampak kepentingan computer tablet.

Dalam setiap situasi, tiada siapa tahu yang ia boleh berubah menjadi sesuatu yang lebih baik, berbeza dan di luar jangkaan.

Namun setiap bidang yang dinyatakan diatas telah diatasi oleh Steve Jobs dengan hasil yang begitu menakjubkan. Setiap produk yang dihasilkan, ia adalah satu revolusi dan satu perubahan baru yang ditampilkan oleh Steve Jobs dan pasukannya – dari computer pribadi, mp3 player, penjualan muzik, handset dan computer tablet.

iPod menjadi sesuatu yang amat penting dalam kebanyakan cara hidup setiap orang di seluruh dunia, menjadi sesuatu yang amat sinonim dengan mp3 player dan telah menyebabkan penjualan cd muzik hampir terkubur. iTunes pula menjaddi pusat penjualan muzik no 1 di US pada tahun 2008, dengan 10 billion lagu telah dimuat turun pada 2010 (setelah baru 7 tahun di alam maya). iPhone telah mencipta keperluan kepada handset skrin sesentuh, memcah monopoli Nokia dan telah merubah industry permainan game dalam handset. iPad2 telah terjual melebihi jumlah jualan tablet-tablet lain semenjak perasmian jualan iPad pada 2010 dan telah merangkumi 83% jualan tablet di pasaran US pada 2011.

Kesemuanya berlaku kerana izin Allah dan juga kerana impian besar oleh Steve Jobs – melihat sesuatu melebihi jangkauan reality semasa, berfikir di luar kotak, dan untuk menjangkau suatu inovasi yang belum diterokai oleh orang lain.

“Here’s to the crazy ones, the misfits, the rebels, the troublemakers, the round pegs in the square holes… the ones who see things differently — they’re not fond of rules… You can quote them, disagree with them, glorify or vilify them, but the only thing you can’t do is ignore them because they change things… they push the human race forward, and while some may see them as the crazy ones, we see genius, because the ones who are crazy enough to think that they can change the world, are the ones who do.” – Apple’s Think Different commercial (#9 on the list)

Refleksi diri kita:
Bagaimana pula kita dalam menentukan matlamat kehidupan? Adakah kita meletakkan matlamat berdasarkan apa yang telah dicapai oleh orang lain? Atau kita meletakkan matlamat kita berdasarkan apa sebenarnya yang kita inginkan, apa yang hasrrat naluri kita inginkan sebenarnya? Kemudian bagaimana kita mahu melakukannya dan menggoncangkan dunia ini. Apakah impian terbesar dan terhebat kita? Tentukannya dan jom laksanakannya.

3. The greatest things started somewhere/ Sesuatu Yang Hebat Perlu Bermula Tidak Kira Dimana

Steve Job memulakan Apple dari garaj ibubapanya, bersama dengan rakan sekolah tingginya Steven Wozniak. Ia bukanlah suatu tempat yang glamor untuk permulaan sebuah syarikat teknologi terbesar didunia. Namun syarikat itu pasti tidak akan wujud jika ia tidak pernah bermula jika faktor persekitaran wajib diambil kira.

Kita biasa bertemu dengan mereka yang kerap memberi alas an tidak boleh melakukan X kerana mereka memerlukan A, B dan C terlebih dahulu. Adakah semua pra-syarat ini penting atau ia hanya sekadar alas an untuk tidak memulakan sesuatu? Jika kita selamanya mahu menunggu agar suasana menjadi sempurna untuk kita bermula, maka bilakah masanya kita akan bermula? Adakah wujud suasana yang 100% kondusif dan sempurna?

Ustaz Hasrizal bermula dengan hanya menulis artikel di Wordpress sahaja. Apa yang ada seperti di laman web beliau sekarang ini adalah jauh dari jangkauan semasa beliau mula-mula menceburi bidang penulisan di alam maya. Namun sekarang laman web beliau adalah antara laman web perkembangan kendiri terbaik di Malaysia. Begitu juga dengan laman web Ustaz Kapten Hafiz Firdaus, Dr. Zaharuddin dan Dr. MAZA (sekadar menyebut beberapa personality).

Bagaimana dengan kita? Adakah kita berani memulakan langkah mencapai impian walau dengan hanya ruang dan peluang yang kecil? Hakikatnya kita bermula dari sesuatu baru kita mendapatkan sesuatu yang lain. Setiap perkara yang hebat bermula dengan impian.

4. Certifications don’t matter/ Sijil atau Kelayakan Bukan Segala-Galanya

“Truth be told, I never graduated from college. And this is the closest I’ve ever gotten to a college graduation.” – Steve Jobs, during his address at Stanford Commencement 2005

“I’m convinced that about half of what separates the successful entrepreneurs from the non-successful ones is pure perseverance.” – Steve Jobs

Steve Jobs tercicir dari kolej setelah hanya 1 semester mengikuti pengajian. Taraf pendidikan Steve Jobs hanya setakat sijil sekolah tinggi. Mungkin dia diantara ramai billionair yang pernah tercicir dari kolej akan melenyapkan idea tentang kepentingan ijazah dalam kehidupan.

Kita bukan ingin mempromosi supaya berhenti mengejar segulung ijazah. Saya sendiri mempunyai segulung ijazah dan adalah hasil produk dari sistem pendidikan di Negara kita

Apa yang ingin ditekankan disini ialah, samada kita berjaya atau tidak dalam kehidupan, ia bukannya bergantung kepada ijazah yang dimiliki. Diluar sana ramai yang berjaya dalam hidup dan mereka memiliki ijazah. Diluar sana juga ramai yang berjaya dan tidak memiliki segulung ijazah pun. Apa yang penting ialah tahap kemahiran kita, sikap dan kebolehankita dalam mengharungi kehidupan.

Jika kita sedang dalam proses mendapatkan segulung ijazah sekarang ini, atau sedang merangka untuk menyambung pengajian, cuba kita amati semualkenapa kita ingin mendapatkannya dan adakah ia benar-benar bidang yang kita inginkan?

Untuk adik-adik di sekolah – Adakah anda menghadiri sekolah hanya semata-mata untuk mendapatkan sijil yang boleh menjamin kita untuk masuk ke university? Untuk mereka yang sudah mendapatkan sijil itu – adakah anda sekarang hanya berlindung di belakang sijil itu dan menggunakannya sebagai alasan untuk tidak mampu melakukan lebih dari itu?

5. Live every day like it is your last/ Hidup Ibarat Tiada Lagi Hari Selepas Ini

Steve Jobs adalah seorang yang dikenali sebagai insan yang akan menoptimumkan sebaik mungkin kehidupannya – setiap hari. Ini terbukti dari beberapa ungkapan dari mulutnya:

“When I was 17, I read a quote that went something like: “If you live each day as if it was your last, someday you’ll most certainly be right.” It made an impression on me, and since then, for the past 33 years, I have looked in the mirror and asked myself: “If today were the last day of my life, would I want to do what I am about to do today?” And whenever the answer has been “No” for too many days in a row, I know I need to change something.”

“Being the richest man in the cemetery doesn’t matter to me. Going to bed at night saying we’ve done something wonderful, that’s what matters to me.”

“Remembering that you are going to die is the best way I know to avoid the trap of thinking you have something to lose.”

“No one wants to die. Even people who want to go to heaven don’t want to die to get there. And yet death is the destination we all share. No one has ever escaped it. And that is as it should be, because Death is very likely the single best invention of Life. It is Life’s change agent. It clears out the old to make way for the new. Right now the new is you, but someday not too long from now, you will gradually become the old and be cleared away. Sorry to be so dramatic, but it is quite true.”

Refleksi diri kita: adakah kita benar-benar mengoptimumkan kehidupan seharian kita? Atau kita hanya membazirkan kehidupan dengan membiarkan ia berlalu begitu sahaja? Jika kita ditakdirkan mati pada hari ini, adakh kita akan mati dengan gembira atau sedih? Apa yang kita akan lakukan jika kita ingin mengubah kesedihan itu kepada kegembiraan? Apakah perkara-perkara yang ingin kita lakukan sebelum mati? Bagaimana kita ingin memulakan pencarian itu sekarang?

6. Stop listening to what others say/ Berhenti Mendengar Apa yangOrang Kata

“Your time is limited, so don’t waste it living someone else’s life. Don’t be trapped by dogma – which is living with the results of other people’s thinking. Don’t let the noise of other’s opinions drown out your own inner voice. And most important, have the courage to follow your heart and intuition. They somehow already know what you truly want to become. Everything else is secondary.” – Steve Jobs, Stanford Commencement Speech 2005

Steve Jobs berhadapan dengan pengalaman yang menarik berkenaan dengan mereka yang suka mengata. Apabila secara umum beliau telah dipecat dari Apple pada tahun 1985, beliau telah dibuang dari industry dan dilabel sebagai seseorang yang berlagak pada mula-mula, tetapi hakikatnya tiada apa-apa pun yang dihasilkan. Pemimpin-pemimpin dalam dunia perniagaan melihat beliau sebagai seseorang yang telah berlalu (telah melepasi zaman kegemilangan).

Tetapi hakikatnya, beliau berusaha untuk kembali dan berjaya dengan kemunculan yang amat mengkagumkan.

Setelah dipecat, Steve Jobs menubuhkan NeXt, sebuah syarikat yang menyediakan platform untuk computer. Beliau juga membeli anak syarikat Lucas Film Ltd, berkenaan computer grafik, yang kemudiaannya dikenali sebagai Pixar (telah dibeli oleh Disney pada tahun 2006)

“I didn’t see it then, but it turned out that getting fired from Apple was the best thing that could have ever happened to me. The heaviness of being successful was replaced by the lightness of being a beginner again, less sure about everything. It freed me to enter one of the most creative periods of my life.” – Steve Jobs, Stanford Commencement Speech 2005

Pada tahun 1996, satu kejadian hebat berlaku, Apple, semenjak memcat Steve Jobs mengalami kerugian yang banyak, telah membeli NeXT kerana mereka kekurangan aspek platform computer sejak sekian lama. Steve Jobs kembali sebagai CEO sementara pada 1997, sebelum secara rasmi dilantik ke jawatan itu pada tahun 2000.

Dibawah kepimpinannya, Apple telah dibawa kembali dari hampir jatuh muflis, dan sekarang Apple adalah syarikat terbesar didunia (mengalahkan Microsoft pada tahun 2011) dari segi modal dan juga keuntungan. Steve Jobs memegang jawatan itu sehingga pada tahun 2011, dia melepaskan jawatan itu atas faktor kesihatan.

Apakah tahap kejayaan yang kita boleh berikan kepada Steve Jobs?

Jika Steve Jobs mendengar kepada kritikan dan apa yang diperkatakan oleh orang lain ketika beliau dipecat, beliau pasti tidak mencapai apa yang dicapainya sekarang. Sebaliknya Steve Jobs mendengar kepada kata hatinya, apa yang dia patut lakukan. Dengan berdasarkan intuisi dari hati, beliau berjaya mencapai apa yang dicita-citakan – bukan sekali, tapi banyak kali beliau berjaya.

“People sometimes have goals in life. Steve Jobs exceeded every goal he ever set for himself.” - Steve Wozniak, Apple co-founder, on Steve Jobs

Apa jua impian kita, kita dibenarkan untuk mencapainya. Pedulikan apa orang kata, mereka hanya menyekat kita dari kehidupan yang kita inginkan. Dengan mendengar kata-kata mereka hanya membuatkan hidup kita menjadi baying-bayang mereka, bukannnya kehidupan yang kita sendiri mahukan.

7. Do not underestimate the impact you can have on the world/ Jangan Perlecehkan Peranan Anda Kepada Dunia

“I want to put a ding in the universe.” – Steve Jobs

Steve Jobs hanyalah seorang individu, namun kita pasti kagum dengan segala revolusi dalam industry teknologi dan kesan yang besar hasil dari kerjanya kepada seluruh dunia. Tidak keterlaluan dikatakan iPod, iPhone, iTunes, iPad dan beberapa gajet lain lagi telah memberi kesan yang positif kepada jutaan (jika bukan billion) insan seluruh dunia. Ini semua tidak akan berlaku jika beliau tidak mahu mencapai impiannya.
Begitu juga dengan kita, dunia sedang menanti kita untuk menggegarkannya. Adakah kita sudah bersedia untuk menggoncangkan dunia?

“Do you want to sell sugar water for the rest of your life, or do you want to come with me and change the world?” — Steve Jobs’ legendary pitch to John Sculley (then PepsiCo CEO) in 1983, to get him to run Apple (Sculley later pushed Jobs out of Apple in 1985)

“We’re here to put a dent in the universe. Otherwise why else even be here?” – Steve Jobs

Apakah perubahan yang ingin kita lakukan terhadap dunia? Apa yang perlu lakukan untuk memastikan ianya berlaku? Bagaimana kita akan memulakan revolusi kita, bermula dengan hari ini?

8. Failure only happens when you deem it to be so/ Kegagalan Akan Hadir Apbila Kita Yang Membenarkan Ia

Steve Jobs telah dipecat dari syarikat yang diusahakannya sendiri. Jika kita memahami dari sudut norma kehidupan, ia ibarat kegagalan yang paling teruk. Kebanyakan orang pasti akan berputus-asa, menyembunyikan diri, dan bermurung untuk jangka masa yang lama.

Tapi itu bukan Steve Jobs. Seperti yang dinyatakan dalam pengajaran #2, dia sebaliknya kembali dengan dua syarikat yang hebat NeXT dan Pixar, diambil kembali oleh Apple, dan menjadikan Apple syarikat teknologi yang terbesar. Beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha memeperjuangkan kepercayaannya.
Hakikat mengenai kegagalan ialah kegagalan tidak akan hadir melainkan kita sendiri membiarkan ia hadir dalam hidup kita. Ini bermakna, tidak kira jika kita kehilangan semua duit, menjadi muflis, hilang rumah, mengalami waktu-waktu sukar bertimpa-timpa, namun ia bukan lagi kegagalan. Ia hanya episode-episod sementara yang singgah dalam kehidupan sebelum kita berjaya mencapai impian kita. Kemuncak kepada bila kegagalan itu akan hadir ialah apabila kita mula berputus asa – kerana itulah kegagalan apabila cerita telah berakhir.

9. Do what you love/ Buat Apa Yang Kita Suka dan Cintai

“Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is [...] to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking, and don’t settle.” – Steve Jobs

Adakah hidup ini tidak membenarkan kita melakukan apa yang kita suka? Adakah apa-apa yang kita suka pasti bertentangan dengan syariat? Berapa banyak benda diluar sana yang kita suka dan ia tidak bertentangan dengan syariat. Adakah keterlaluan jika kita mengambil keputusan berhenti dari kerja yang kita tidak suka, dan mencari pekerjaan yang kita suka dan selari dengan apa yang kita inginkan? Selagimana kita memberikan yang terbaik dalam apa yang kita lakukan, dan kita sentiasa memberi melebihi dari apa yang kita mampu, maka ia hanyalah sekadar masa untuk kita capai apa yang kita impikan – bukan sekadar impian, malah duit juga akan kita berjaya perolehi.

Jangan kita menipu dengan melakukan apa yang kita tidak suka, kerana ia sebenarnya hanya membazirkan masa kita. Lakukan apa yang kita suka, kerana itulah erti sebenar kehidupan.

10. Have faith – Never lose hope/ Berpegang Kepada Iman – Jangan Sekali-kali Berputus Asa

“Sometimes life’s going to hit you in the head with a brick. Don’t lose faith.” – Steve Jobs, on getting fired from Apple back in 1985

“You can’t connect the dots looking forward; you can only connect them looking backwards. So you have to trust that the dots will somehow connect in your future. You have to trust in something – your gut, destiny, life, karma, whatever. This approach has never let me down, and it has made all the difference in my life.” – Steve Jobs, Stanford Commencement Speech 2005

Walaupun berhadapan dengan situasi yang sukar, Steve Jobs sentiasa yakin bahawa semua itu hanya sementara dan ia akan bertukar menjadi situasi yang pasti hebat. Itulah pegangan Steve Jobs, dan itulah yang dilakukannya dalam kehidupan untuk mendapatkan yang terbaik darinya.

Refleksi diri: Tidak kira seteruk mana pun situasi yang kita lalui, jangan kita sekali-kali berputus asa. Selagi mana kita terus berusaha, yakinlah bahawa Allah akan membalas apa yang kita usahakan. Allah itu Maha Adil. Allah itdak cipta kita didunia ini untuk diseksa dan sengsara, kita dijadikan untuk menjadi hamba dan KhalifahNYA. Setiap apa yang berlaku mempunyai sebab, dan ia bergantung kepada kita untuk mengurus sebab-sebab itu.

11. Outdo yourself – Over, and over again/ Menjangkau Batasan Keupayaan Diri – Cuba dan Terus Mencuba

Walaupun mungkin ada diantara kita yang tidak pernah mencuba segala gadjet yang dihasilkan oleh Steve Jobs, namun hakikatnya ramai insan diluar sana memang ambil peduli tentang model-model keluaran Apple, berbincang mengenainya dalam forum-forum, dan membeli produk-produk ini berulang kali (selepas iphone, kemudian iphone 3g, kemudian iphone 3gs, kemudian iphone 4 dan seterusnya). Samaada faktor kenipisannya, lebih ringan, kelajuan yang dipertingkat, jangka hayat bateri yang lebih lama atau kamampuan pelbagai fungsi yang diperhebatkan, kesemuanya adalah ciri-ciri yang pengguna-pengguna diluar sana rasakan sangat berbaloi dan bernilai.

“You can’t just ask customers what they want and then try to give that to them. By the time you get it built, they’ll want something new.” – Steve Jobs

“None. It’s not the consumers’ job to know what they want.” – Jobs responding to whether he did market research for the iPad

Apa yang mungkin menjadi daya penarik kepada Steve Jobs adalah kesungguhannya mengejar sesuatu yang lebih baik, samaada keluarga dan kerjaya. Dia kelihatannya telah berjaya di awal kareer dan kerjayanya, tapi itu semua tidak mematikan niatnya untuk menjadi lebih baik. Beliau tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai, baginya setiap apa yang dicapai, pasti ada sesuatu yang lebih baik lagi menanti.oleh kerana faktor ini Steve Jobs semakin heabt dengan idea inovasinya, begitu juga dengan Apple, semakin kukuh bertapak dalam industry teknologi inovasi.

“Innovation distinguishes between a leader and a follower.” – Steve Jobs

Refleksi diri: Cuba kita lihat diri kita untuk 3-5 tahun kebelakangan ini, adakah kita sudah berusaha menjangkaui batasan yang kita mampu? Atau kita hanya sekadar terperuk dengan kejayaan yang sama? Apa yang boleh kita lakukan untuk menjangkaui batasan kita? Kita hakikatnya adalah CEO kepada diri kita sendiri. Sejauh mana kita telah berusaha untuk memajukan syarikat kita (diri kita sendiri)? Apa yang telah kita rancang untuk kelangsungan syarikat kita (diri kita) untuk beberapa tahun akan datang?

Kesimpulannya

Mungkin ada yang mengatakan kita sebagai umat Islam berusaha mencari kejayaan akhirat. Kejayaan dunia adalah perkara-perkara duniawi yang melalaikan.

Tetapi cuba kita lihat zaman kegemilangan umat Islam dahulu. Mereka memang betul-betul mencari kejayaan akhirat, maka dunia benar-benar sujud di depan mereka. Maka mereka menguasai dunia dari segala aspek.
Kita? Adakah kita benar-benar mencari akhirat? Kenapa dunia masih belum sujud didepan kita? Renung-renungkan. Jangan kita menggunakan alas an mengejar akhirat dan meninggalkan dunia, tapi hakikatnya, kita tidak mengejar akhirat atau dunia. Kedua-duanya kita tinggalkan.
Steve Jobs (1955-2011) – A visionary, genius, and legend.

Wednesday, October 12, 2011

Bob Lokman dan JAIS: Satu retrospeksi...



1) PAS tidak sepatutnya mengusung Bob Lokman ke setiap pentas ceramah dan menabalkan beliau seolah-olah 'ustaz' atau 'tokoh agama'. PAS perlu menghormati kepakaran, kepakaran BOB adalah dalam bidang seni dan lawak jenaka.

2) Sepatutnya PAS menghayati Islam yang syumul dan meletakkan setiap orang kena pada tempatnya. Maka sepatutnya PAS sudah menyediakan ruang 'Komedi Islam' untuk pentasan umum arahan Bob Lokman. Contoh boleh diambil dari komedi Muslim terkenal seperti Baba Ali, Allah makes me funny, Aman Ali, Azhar Usman, Muslim Comedy dan lain-lain lagi. Islam itu bukan hanya ceramah.

3) PAS perlu keluar dari kepompong ceramah jika ingin memaksimumkan dakwah. Setiap orang ada kemampuannya sendiri. Harapnya PAS dan Bob Lokman akan membuka jalan untuk genre 'Komedi Islam' dipopularkan di Malaysia. Mungkin dengan cra tersebut audien yang datang akan lebih mencapah, dan juga ramai pelawak lain juga boleh turut serta menyertai kafilah dakwah...

4) JAIS perlu keluar dari kepompong taksub kepartian. Jika tazkirah yang dilakukan dan bukannya 'kelas pengajian', apakah salahnya? mengapa mesti menutup ruang dakwah setiap Muslim. Makanya, bagaimanakah para profesional, para doktor, para motivator, para artis Islamik ingin menyampaikan dakwah, tazkirah ataupun perkongsian kepakaran mereka?

Apakah mereka perlu ambil tauliah juga? mereka bukannya hendak mengajar kitab atau mengajar agama secara berkala...

5) Harap JAIS dapat membantu umat Islam dari pelbagai kelompok untuk merancakkan dakwah dalam pelbagai bentuk. Adalah tidak masuk akal, di dalam satu waktu JAIS beriya-iya mengajak umat Islam untuk menyokong mereka memerangi Kristian dan juga agama lain, tetapi dalam waktu yang sama para pendakwah yang tidak 'berlesen' juga diperangi sama oleh JAIS. Di manakah rasionalnya?

6) Harapan saya pada JAIS agar tidak menghalang program-program dakwah dari pihak mana sekalipun, kecualilah mereka melakukan kemungkaran yang nyata ataupun menyalahi etika dan akhlak. Janganlah isu politik mengkaburi JAIS di dalam melaksanakan tugas mereka.

7) Harapan saya juga agar JAIS dapat membantu semua pihak yang menganjurkan program-program dakwah tanpa memilih bulu jika mereka benar-benar ingin mendaulatkan Islam di bumi Selangor.

8) Harapan saya kepada umat Islam di Malaysia juga, gunakan rasional bukan emosional, gunakan intelektual dan bukannya sentimen atau ketaksuban. Janganlah sibuk menghentam agama lain yang menyebarkan agama mereka dengan penuh kasih sayang jika kita masih tetap dengan mengajak orang ke dalam agama kita dengan kekerasan dan kekuasaan sahaja.


Dr Maszlee Malik
UIAM

Tuesday, September 13, 2011

Kita Adalah Bekas Tanah Jajahan British: Respon kepada Dr. Zainal Kling dan MPN

Oleh Ahmad Fuad Rahmat|Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front (IRF)

Dr Zainal Kling bersama Majlis Professor Negara (MPN), yang mendakwa mempunyai jumlah keahlian sehingga 1500 orang, baru-baru ini berhujah bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British. Seperti yang dilaporkan Malaysiakini[1] dan Berita Harian[2], inti utama hujah mereka adalah seperti berikut:



  1. Malaya adalah di bawah naungan British, bukannya tanah jajahan. Ini telah dimeterai di bawah Perjanjian Pangkor pada tahun 1987.
  2. Tetapi pihak British pernah mempunyai kuasa pentadbiran di dalam urusan kewangan dan mengeksploitasi hasil bumi Malaya.
  3. Sungguhpun demikian, Dr Kling masih menyatakan bahawa kedaulatan Melayu terus terpelihara.
  4. Oleh itu, apa yang dikenali kini sebagai Malaysia (kecuali Melaka dan Pulau Pinang) tidak pernah dijajah oleh British.
Masalah di dalam hujah-hujah Dr Kling adalah seperti berikut:

1) Hujah tersebut tidak lojik 

Penjajahan melibatkan ekploitasi kekayan dan potensi sesuatu negara oleh negara yang lain. Senarionya adalah sebuah negara ditakluk oleh kuasa dan autoriti negara lain. MPN sendiri mengakui bahawa hasil bumi Malaya dan autoriti kewangan telah dieksploitasi oleh British ‘dengan mengingkari janji’  menunjukkan kelemahan sebenar kuasa dan keupayaan politik Malaya.
Sekiranya sesebuah negara dieksploitasi sedemikian rupa maka kedaulatan negara tersebut telah dicabul. Memandangkan ini adalah situasinya di Malaya, seperti fakta yang telah dipersembahkan di dalam penaakulan MPN, maka Malaya boleh dikatakan pernah dijajah oleh British.
Persoalan yang tinggal adalah sekiranya Malaya hanyalah negara naungan British maka mengapa British turut mengeksploitasinya?

Perjanjian Pangkor 1874Perjanjian Pangkor 18742) Kedaulatan Melayu tidak pernah dipelihara di bawah Perjanjian Pangkor. Hal ini kerana ia memberi British mandat untuk menasihati dan campur tangan di dalam urusan tempatan.
Hal ini juga telah diakui secara eksplisit di dalam buku teks PMR selama berpuluh tahun, malah turut diakui di dalam laman sesawang Pemuda UMNO. [3] Walaupun demikian, sesetengah fakta tidak dapat dipertikaikan: 
  • Perjanjian ditulis di dalam Bahasa Inggeris
  • Ia telah ditandatangani di atas kapal British
  • Artikel 6 perjanjian itu menyatakan: “Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.”[4]
  • Pengutipan cukai akan dipantau dan diuruskan oleh Residen British.
  • Disebabkan oleh tekanan dan caturan politik British, Sultan Ismail digulingkan dan diganti dengan Sultan Abdullah.

3) Mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan kedaulatan Kedaulatan secara umum bermaksud kuasa. Daripada sudut isitlah negara bangsa moden, kedaulatan politik secara asasnya bermaksud kuasa mutlak dan kawalan sesebuah negara dan sempadannya terletak di bawah suatu negara. Oleh itu, sesebuah negara dikatakan telah medeka kerana ia telah memperoleh kedaulatannya. 

Apa yang dimaksudkan adalah kewangan dan hasil bumi negara tersebut adalah sebahagian daripada kedaulatannya. Dr Kling, atas sebab tertentu menganggap hanya kerana British membiarkan urusan budaya Melayu dan agama di bawah pemerintahan Sultan maka ini bermakna kedaulatan Melayu telah dipelihara. Pihak British, yang datang begitu jauh dari Eropah dengan matlamat utama mengintai kekayaan, hasil bumi dan potensi ekonomi, tentulah tidak berminat untuk mengambil tahu tentang bagaimana kita bersembahyang dan menjalankan amalan-amalan tahyul dan kebudayaan. Residen British telah pun memiliki sesuatu yang penting dalam menentukan kedaulatan sesebuah negara: iaitu ekonomi dan pengaruh di dalam sistem politiknya.

4) Hujah tersebut menganggap bahawa penjajahan mestilah berlaku secara terus
Namun penjajahan itu jarang sekali secara terus. Lihatlah pada asas sejarah. 
Adalah menjadi tabii penjajahan Eropah moden yang mana saiz keseluruhan jajahan adalah lebih besar daripada saiz negara yang menjajah. Hal ini merupakan situasi yang berlaku terhadap British dan juga kepada Perancis, Spanyol, Belgium, Belanda, Jerman dan Portugal.
Sebagai contoh: Negara kecil Portugal berjaya menghimpun tanah yang meliputi saiz Brazil. Belanda melakukan perkara yang sama di Indonesia dan Spanyol  melakukan perkara yang sama di bahagian America Latin. Hal ini belum lagi mengambil kira saiz dan capaian global Empayar British. Ia terpakai dalam semua kes penjajahan Eropah moden: banyak bahagian bumi ini ditakluki oleh negara yang lebih kecil.

Apa yang ingin dijelaskan adalah negara yang menjajah tidak mampu untuk mengekalkan kehadiran mereka selama berabad lamanya hanya melalui kuasa ketenteraan atau pemerintahan terus. Mereka memerlukan cara lain untuk mengesahkan kehadiran mereka ketika ditewaskan dengan jumlah bilangan pribumi dan budaya asing. Cara untuk menjamin kehadiran mereka adalah pelbagai: salah satu strategi lazim adalah untuk menukarkan ideologi atau agama mereka yang dijajah kepada ideologi atau agama penjajah, untuk menyakinkan mereka yang dijajah bahawa mereka itu lebih rendah tarafnya. Suatu lagi pendekatan biasa penjajah adalah dengan menjadikan mereka yang dijajah berkerja sebagai agen dan rakan, baik sebagai rakan perniagaan atau rakan pentadbiran untuk membantu memudahkan dan mempercepatkan proses eksploitasi. 

Dalam erti kata lain, penjajah tidak punya sebarang masalah untuk berkerjasama dengan kelas pemerintah tempatan sebagai penasihat atau birokrat, atau di dalam kes Malaya mereka berfungsi dalam samaran sebagai  pelindung, atau berkhidmat sebagai ‘residen’. Malahan, itu menjadikan penjajahan lebih efisien memandangkan penjajah mempunyai rakan tempatan untuk melindungi dan mengesahkan kehadiran mereka.

Kesimpulan: Ingatlah gambaran keseluruhan.

Kesimpulannya kita harus ingat bahawa hujah Dr Kling dan MPN dibuat sebagai respon terus kepada cubaan Mat Sabu untuk meluaskan skop sejarah perjuangan anti-kolonial. Dengan membuat kesimpulan bahawa British tidak pernah menjajah Malaysia, beliau cuba untuk mencemarkan nama baik rakyat Malaysia, terutamanya gerakan kiri yang telah mejadikan British (berbanding Komunis atau sekurang-kurangnya Jepun) sebagai watak jahat utama dalam perjuangan medapatkan kemerdekaan Malaya.

Pengajaran yang harus diberi perhatian di sini bukan hanya sifat ideologi hujah-hujah Dr Kling dan MPN, tetapi sifat ideologi mana-mana perjuangan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Perbezaan golongan kiri-kanan yang perlahan-lahan muncul di dalam debat sebegini sepatutnya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan adalah lebih daripada sekadar menyingkirkan penjajah. Reaksi meluap-luap yang jelas ditonjolkan adalah bahawa perjuangan masih berkisar tentang prinsip-prinsip bagaimana sepatutnya bentuk sebuah masyarakat yang adil.  Sesetengahnya berasa puas dengan apa yang telah dicapai Malaysia, namun sesetengah yang lain percaya ada kemungkinan yang lebih besar daripada apa yang telah dicapai setakat ini. 
Memori adalah di mana kebebasan sebenarnya bermula. Kita hanya dapat membuat pilihan yang tepat untuk masa depan berdasarkan apa yang dapat kita imbau daripada kesilapan dan kejayaan masa lalu. Dalam erti kata lain, kita adalah sebaik (atau seburuk) apa yang mahu kita ingat dan lupakan.



References:
[1] http://www.malaysiakini.com/news/175301
[2]http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Komunis_golonganhaluankiripenderhaka_MajlisProfesor/Article/index_html
[3]http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=7567
[4] Barlow, H. S. (1995) Swettenham. University of Michigan Press: Southdene. Pg. 48.

Sunday, August 7, 2011

Suasana “Padang Arafah” di Kota Bharu

hidayatullah.com


 
 SEPERTI pada tahun-tahun sebelumnya. Setiap kali datangRamadhan, sebuah kemah besar berwarna putih lengkap dengan alat pendingin dibangun. Perlengkapan ini, senantiasa untuk kenyamanan para jamaah Tarawih yang semakin ramai dari tahun ke taun. Bahkan kemah sebesar separuh lapangan sepak bola itu terasa sempit dengan jamaah kaum Muslimin dan muslimat yang datang, sehingga sehabagia terpaksa shalat di luar kemah.
“Terasa seperti berada di Padang Arafah” kata salah seorang jamaah yang pertama kali mendirikan shalat Tarawih di situ. Memang benar, situsi dan kondisinya mirip seperti di Padang Arafah saat mengerjakan haji.
Barangkali inilah yang ingin ditunjukkan oleh sang pencetus ide, Menteri Besar (Gubernur) Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat saat meresmikan kemah besar di lapangan di tengah Kota Bharu untuk tujuan shalat Tarawih, agar setiap umat Islam yang mendatanginya merasakan diri mereka seperti berada di Padang Arafah.

Imam shalatnya tahun ini didatangkan khusus dari Mesir. Dua orang qari’ dan hafidzh terkenal dari negara itu mengimami shalat isyak dan shalat sunat Tarawih setiap malam selama sebulan Ramadhan.
Kemerduan suaranya membuat makmum tidak terasa, meski harus berdiri berlama-lama untuk menghabiskan satu lembaran al-Quran yang dibaca sang imam untuk setiap rakaat.

Bahkan, banyak jamaah yang meneteskan air mata dengan penuh khusyuk menikmati maknanya.
Tapi kenapa shalat di lapangan dan di bawah kemah? Apakah di Kota Bharu tak ada masjid? Barangkali ada yang bertanya demikian.

Ya, masjid dan surau banyak sekali di kota ini. Antara lain masjid besar bernama Masjid Muhammadi. Ini merupakan masjid pemerintah, jarak lokasinya cuma satu kilometer dari kemah Tarawih yang terletak di Dataran Stadium Sultan Muhamaad Ke-IV.

Setiap masjid dan surau, termasuk Masjid Muhammadi rutin Ramadhannya mengadakan shalat sunat Tarawih sejak dulu. Namun oleh pemerintah dibangunkan sebuah kemah besar berfungsi sebagai masjid untuk tempat qiammulail semata-mata untuk memberikan sedikit kelainan dan cinta rasa baru kepada para jamaah.

Di antaranya, menghadirkan suasana “Padang Arafah” ke dalam diri setiap muslimin dan muslimat. Kedua, untuk kemudahan para musafir yang tidak berkesempatan untuk ke masjid kerana urusan mahu disegerakan.

Sebelum berpindah ke Dataran Stadium, sebuah kemah yang sama pernah didirikan di terminal bas di tengah kota. Di situlah awal mula shalat Tarawih di bawah kemah di Negeri Kelantan.
Awalnya, kala itu, hanya untuk para sang musafir yang melewati kawasan itu dan memberi kemudahan kepada mereka untuk singgah sebentar mengerjakan shalat Tarawih delapan rakaat atau sebelas rakaat termasuk witir sebelum berangkat untuk urusan masing-masing.

Saat itu imamnya seorang hafidz juga didatangkan dari Republik Rakyat China. Kedatangannya dibiayai oleh pemerintah Kelantan. Ketika itu ada orang bertanya “Apakah di Negeri Serambi Mekah ini sudah kemarau imam, sehingga terpaksa import imam dari China?”

Namun luar biasa jawaban Nik Aziz. “Saya sebenarnya ingin merobah persepsi kamu. Selama ini, dalam fikiran kamu hanya orang Melayu saja boleh jadi imam shalat. Walhal orang China juga boleh jadi Imam. Mereka adalah bangsa yang lebih awal memeluk Islam dari kita. Dan ingatlah, Islam itu untuk seluruh manusia tanpa dibatasi bangsa dan negara,” ujar pria yang akrab disapa Tok Guru ini.
Banyak ide-ide luar biasa Nik Azis. Masyarakat Kelantan percaya, Tuan Guru Nik Aziz melihat jauh ke depan, sedangkan rakyat hanya melihat sejengkal di depan mata!*
Rossem. Penulis adalah wartawan, tinggal di Kelantan

Red: Cholis Akbar

Monday, July 25, 2011

Alahai Filem Kita


Setiap kali saya melihat cerita-cerita Melayu di televisyen mahupun di wayang, semestinya ada adegan zina.

Saya bertanya pada diri sendiri, apakah bangsa saya ini dilahirkan untuk menjadi seorang 'dogol'.

Kemudian saya lihat di dada-dada akhbar, tajuk utama yang selalu dipaparkan adalah;

"Dirogol Teman Lelaki"
"Ayah Ditahan Kerana Sumbang Mahram"

Kebanyakan berita sensasi adalah berkaitan dengan zina.. Nauzubillah..



Ia telah menjadi fenomena bagi setiap penerbit filem untuk memasukkan adegan ini sebagai daya penarik bagi meningkatkan statistik penonton yang menonton filem terbitan mereka tanpa memikirkan kesan negatif hasil daripada perbuatan mereka kepada pembentukan masyarakat berakhlak. Jika tidak, mengapa hampir setiap hari saya asyik melihat adegan ini.

Dalam setiap perniagaan, tidak ada sesiapapun yang menyangkal keuntungan adalah penting. Walau bagaimanapun, setiap individu, kumpulan, masyarakat.. masing-masing perlu ada tanggungjawab sosial terhadap masyarakat sekeliling mereka termasuk seorang penerbit.

Mereka perlu ingat kebanyakan penonton yang melihat drama yang berbentuk sebegini adalah terdiri daripada golongan pelapis generasi akan datang.. iaitu daripada golongan saya, golongan muda. Golongan pemimpin masa akan datang.. pembentuk generasi akan datang.

Golongan ini sebenarnya masih berada di alam belajar. Alam untuk mencari pengalaman sebagai pegangan alam dewasa kelak.

Bagaimana kami hendak menjadi seorang baik, sekiranya kami asyik dihidangkan dengan filem-filem sebegini.

Kami yang melihat aksi-aksi zina ini kemudiannya akan menceritakan kepada rakan-rakan yang lain dan kemudian rakan-rakannya akan berceritakan aksi-aksi ini kepada yang lain.

Orang yang tidak mementingkan masa hadapan, hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja mungkin berkata mereka masih mempunyai pedoman daripada melakukan zina.

Adakah perkara tersebut benar? Berapa ramaikah yang melihat filem atau drama di wayang atau televisyen? Seorang? Sepuluh orang? Atau hanyalah seratus orang?

Atau mungkinkah beribu orang? Adakah mereka semua mempunyai pedoman yang kuat untuk tidak melakukan zina? Wallahualam.. Andai kuat pasti tiada kes-kes rogol/ sumbang maharam atau sebagainya akan hangat diperbincangkan.

Kita tidak perlu mengikut 'trend' filem-filem barat, jadilah seperti kita sendiri. Kita mempunyai pegangan dan budaya. Terbitkan filem berlandaskan agama dan budaya masyarakat kita.

Jangan kerana kesilapan kecil kita memberi impak besar kepada generasi pelapis seterusnya. Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan sekarang akan dipersoalkan di Akhirat nanti.

Di usia saya yang akan mencapai 22 tahun ini, saya dan rakan-rakan segenerasi saya berharap supaya kami tidak menjadi seorang penzina dan penakut seperti yang dikatakan oleh Norden Mohamen dalam artikelnya "Mengapa Kita Terbeli Ketakutan."

Doakan kami insan yang lemah mampu menjadi Muslim yang baik. Insya-Allah. Jangan jadikan generasi kami generasi yang mengalami keruntuhan akhlak. Bentuklah generasi kami menjadi generasi yang berpandukan syariat Allah.

Saturday, June 4, 2011

Mengalu-alukan Kenyataan Presiden Pas Tentang Negara Islam


Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.

Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic state muncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atau Islamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.

Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.

peta_malaysia.jpg

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

4 Jun 2011

Sunday, May 22, 2011

Ulama Aceh Minta Pertahan Kerajaan Kelantan

KOTA BHARU, 22 Mei: Rakyat Kelantan diseru mempertahankan kerajaan Islam yang didokongi PAS, memandangkan pemimpin parti itu menjadi model pada umat Islam di negara lain.

Pengetua Majlis Permesyuaratan Ulama Acheh Besar, Ustaz Fakhruddin Lahmuddin, berkata sejak 21 tahun lalu Kelantan yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadi model pada negara-negara lain, termasuk Acheh.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily selepas majlis pertemuan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, Kelantan satu-satunya contoh negeri yang dipimpin seorang ulama sebagai Menteri Besar yang tidak memisahkan agama dari politik.

“Inilah yang dilakukan di zaman Rasulullah sebelum ini dan ulama yang memimpin Kelantan ini telah mewarisinya.

“Kerana itu saya berharap rakyat seluruhnya memberi sokongan pada kerajaan Islam Kelantan kerana pentadbirannya menjaga kebajikan manusia menurut kacamata Islam,”ujarnya.

Tambahnya, beliau juga berharap rakyat Acheh turut berdoa untuk kemenangan kerajaan PAS Kelantan sampai bila-bila.

Katanya, beliau tidak dapat menahan sebak apabila mendengar ucapan Tuan Guru yang lebih menjaga kebajikan rakyat sehingga menolak kepentingan diri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menjelaskan tindakan paling sukar baginya sepanjang menjadi seorang Menteri Besar, menjaga diri sendiri dari terjebak dalam sebarang salahlaku.

Sambungnya, menjadi pemimpin tertinggi dalam sebuah kerajaan negeri ujian begitu besar kerana mudah terdedah dengan penyelewengan, salah laku lain seperti rasuah.

“Untuk menjaga itu semua ia bukan sesuatu perkara yang senang kiranya kurang keimanan dalam jiwa kita”,ujarnya.

Wednesday, May 18, 2011

Garis Panduan Umum Operasi Tangkap Khalwat

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Memandang Islam cuba sedaya upaya menutup maksiat peribadi seperti khalwat, zina, minum arak dan seumpamanya, maka garis panduan operasi ‘tangkap khalwat’ mestilah diperketatkan. Ini kerana operasi ‘tangkap khalwat’ selalu menimbulkan pertentangan dengan prinsip-prinsip Islam dalam hal ini. Ramai orang menyangka tanpa operasi ‘tangkap khalwat’ maka bertambah perzinaan dalam masyarakat, sedang mereka lupa zina itu berkembang disebabkan maksiat terbuka seperti media, hiburan, pentas seni dan seumpamanya yang secara terang mempromosikan maksiat. Malang sekali, jika maksiat tertutup diintip dan dicari sementara yang nyata dibiarkan dan dipromosi.

Maka dengan ini saya mencadangkan beberapa perkara berikut mestilah difahami dan diberikan perhatian dalam operasi ‘tangkap khalwat’;


- Gambar Hiasan

1. Operasi ini hendaklah tidak menjadi punca kemungkaran tajassus (mengintip aib orang lain) berkembang dalam masyarakat Islam.

Maka pemberi maklumat hendaklah dipastikan ia tidak diperolehi berdasarkan perbuatan tajassusnya. Sebaliknya, berasaskan zahirnya kemungkaran tersebut. Seperti nampak dari luar rumah, atau bunyi yang meyakinkan maksiat sedangkan berlaku. Pemberi maklumat memperolehi secara jelas, bukan tajassus atau intipan. Jika pemberi maklumat melakukan tajassus tanpa keperluan, maka dia fasik. Pemberitahuan orang fasik ditolak. Menerima pemberitahuan bersumberkan tajassus akan menggalakkan masyarakat kita mengintip antara satu sama lain. Maka, mungkin akan diintip hubungan seks pasangan suami isteri atas ‘kononnya’ hendak memastikan mereka tidak melakukan maksiat. Sebab itu apabila dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:
“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)
2. Tidak Boleh Operasi Itu Sendiri Berasaskan Tajassus.

Hendaklah kemungkaran yang dicegah itu apabila ia nyata atau diketahui secara yakin. Ini seperti nampak melalui tingkap atau cermin yang jelas. Aktiviti yang dimaklumi oleh masyarakat sekeliling atau berdekatan. Maka tajassus seperti memeriksa bilik ke bilik, atau meminta dibuka pintu untuk diperiksa tanpa sebarang kemaslahatan mendesak iaitu ancaman keselamatan awam adalah bercanggahan dengan ruh Islam. Ia menggalakkan sikap prasangka dan boleh memalukan atau menjatuhkan maruah mereka yang diperiksa. Firman Allah: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (Surah al-Hujurat ayat: 12)
3. Operasi Tidak Boleh Berasaskan Maklumat Yang Tidak Pasti

Sekalipun tanpa intipan, tetapi jika berita berasaskan syak wasangka atau agakan semata-mata tidak boleh dijadikan teras operasi. Al-Quran melarang menerima perkhabaran orang fasik. Ini seperti firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat: (maksudnya)
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Maka pemberi maklumat atau informer yang diketahui terlibat dengan kerja-kerja fasik secara jelas hendaklah ditolak. Termasuk dalam hal ini ‘kaki tajassus’. Al-Imam Ibn Kathir menyebut bahawa berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menolak riwayat orang yang tidak diketahui latarbelakangnya dibimbangi ia fasik.

4. Pihak Pencegahan tidak boleh menggalakkan suasana suka mengadu keaiban sesama muslim –secara langsung atau tidak- tanpa kesedaran sendiri melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Mungkar.

Nabi s.a.w tidak suka kes-kes diangkat kepada baginda. Sikap suka mengangkat kes-kes maksiat peribadi kepada penguasa adalah menyanggahi ruh Islam yang menyuruh ditutup keaiban saudara muslim. Sebaliknya, masyarakat hendaklah digalakkan dan diberi kesedaran melakukan Al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘An al-Munkar kerana itu adalah tanggungjawab semua pihak. Maka pemberian saguhati kepada pemberi maklumat dalam maksiat peribadi ini hendaklah dihentikan. Daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya: Bersabda RasululLah s.a.w:
“Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. (Hadith sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad).
5. Tidak boleh didedahkan maksiat ini kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman.

Maka tindakan membawa media untuk membuat liputan semasa penangkapan adalah menyanggahi prinsip-prinsip menutup aib dalam Islam. Bahkan perbuatan menyiarkannya kepada awam seperti di internet dan media massa adalah haram kerana mendedahkan keaiban orang lain. Ini tidak boleh disamakan dengan hukuman zina di khalayak ramai yang pasti dengan saksi yang yakin. Sebab, Nabi s.a.w berusaha menolak kes-kes zina, dihukum setelah pasti tanpa didedahkan aktiviti seks secara terperinci melainkan proses penghakiman.

6. Tidak boleh menuduh mereka yang berkhalwat itu berzina selagi tiada empat orang saksi yang melihat secara terperinci proses zina itu berlaku tanpa syak.

Jika pegawai itu menuduh tanpa bukti, maka hendaklah dibicarakan di bawah peruntukan qazaf.

Wednesday, May 4, 2011

Meluruskan Saf - Melekatkan Kaki?

Ditulis oleh Pemuda Iman

Terdapat sebahagian sahabat-sahabat yang menyarankan teknik tertentu untuk merapatkan saf dan meluruskannya ketika solat jemaah. Di antaranya ialah dengan melekatkan atau merapatkan kaki kita hingga menyentuh kaki jemaah di sebelah kiri atau kanan kita. Adakah ini termasuk dalam perkara wajib atau sunnah dalam meluruskan saf? Itu yang akan saya bicarakan dengan ringkas di sini.

Sejak di Jordan semasa belajar dahulu, saya mula nampak gaya sebahagian orang-orang Arab di sana solat jemaah iaitu mereka begitu mementingkan saf yang lurus dan rapat. Ini berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum pergi ke sana iaitu di beberapa masjid dan surau di Malaysia. Di Malaysia, dilihat para jemaah kurang memberikan perhatian untuk meluruskan dan merapatkan saf dan tidak bersemangat seperti apa yang saya temui di Jordan dan beberapa negara Arab lain yang sempat saya kunjungi.


Pembacaan dan pembelajaran yang berterusan telah memperkenalkan saya tentang sebahagian yang menyeru dengan semangat ke arah teknik khas dalam merapatkan dan meluruskan saf iaitu - melekatkan kaki kita dengan kaki orang yang berada di sebelah.Mereka mempromosikan 'idea' ini seolah-olah itulah yang disuruh di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang sahih dan tidak syak lagi ia adalah wajib.

Namun pembacaan dan pembelajaran seterusnya menjadikan saya tahu bahawa itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Izinkan saya untuk menukilkan sebahagian perkara yang berkaitan tajuk ini iaitu - merapatkan dan meluruskan saf solat:

1- Terdapat hadith-hadith sahih yang menyuruh dan menegaskan tentang keperluan meluruskan dan membetulkan saf ketika ingin solat berjemaah.

2- Bukan setakat arahan dan suruhan, malah Nabi s.a.w. sendiri meluruskan saf pada peringkat awal kemudiannya setelah beberapa lama akhirnya para sahabat telah pun faham dan Nabi s.a.w. cukup sekadar memberikan arahan.

3- Para sahabat selepas kewafatan Nabi s.a.w. juga amat menitikberatkan hal ini dan bersungguh-sungguh dalam menjaga kesempurnaan saf solat.

4- Majoriti ulama sejak dahulu hingga ke zaman kini menyatakan bahawa meluruskan dan membetulkan saf ini adalah 'Sunat Muakkad' dan bukanlah wajib.

5- Dari segi cara dan teknik pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah dirapatkan dan diluruskan. Tidak ada pula penekanan sejak dahulu tentang 'melekatkan'.

6- Terdapat beberapa hadith yang menjadi hujah utk 'melekatkan' kaki iaitu kata-kata para sahabat yang menyebut bahawa ketika di zaman Nabi s.a.w., ada sahabat-sahabat yang 'melekatkan' bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, tapak kaki dengan tapak kaki serta tumit dengan tumit. Hadith ini ialah keadaan sebahagian sahabat semasa menerima arahan Nabi s.a.w. 'meluruskan saf'. Maka ia bukanlah sabda Nabi s.a.w. tetapi ia adalah satu perkara yang berlaku di hadapan Nabi s.a.w. dan ia dibiarkan oleh Nabi s.a.w.

7- Hadith di atas merupakan hujah bagi mereka yang menyatakan bahawa itulah 'satu-satunya' cara merapatkan dan meluruskan saf. Tetapi kalau kita melihat dari sudut hadith itu sendiri, adakah ia persetujuan dari Nabi s.a.w. yang menghasilkan hukum?

8- Hadith persetujuan (taqrir) menurut ulama (terutamanya ahli Usul Fiqh) tidak semestinya membawa kepada hukum 'wajib' atau 'sunat' malah ia juga boleh membawa hukum 'harus'. Inilah yang dibincangkan dalam hal hadith meluruskan saf ini.

9- Penekanan yang diberikan oleh majoriti ulama fiqh dan hadith zaman berzaman ialah ke arah meluruskan saf dan membetulkannya tetapi tidaklah sampai membawa bukum 'wajib' atau 'sunat' untuk 'melekatkan' tumit dengan tumit atau tapak kaki dengan tapak kaki.

10-Maka janganlah kita yang berpegang dengan fahaman 'mesti' atau 'sunnah' untuk melekatkan kaki ini merungut kononnya masyarakat sudah tidak lagi mengamalkan sunnah dalam meluruskan saf hanya kerana mereka tidak 'melekatkan' kaki. Ya, memang sunnah meluruskan dan membetulkan saf, tapi adakah cara 'melekatkan' itu sunnah?

11-Bagi mereka yang bertemu dengan mereka yang berpegang dengan pandangan 'melekatkan' ini pula hendaklah menasihat dengan baik dan gunakanlah penerangan ringkas saya ini sekadar untuk memulakan perbincangan.

Untuk lebih lanjut, insya Allah saya akan berusaha untuk mengadakan diskusi berkaitan topik ini jika diberikan kesempatan dan peluang.

wallahu a'lam

Sunday, May 1, 2011

Isu Sumpah Laknat & Perlukah Dibalas Sumpah?

Oleh

oath

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat-syarat tertentu, bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya. Apabila itu dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan inti yang dikatakannya kepada Allah. Tindakan itu menjadikan inti yang didakwa atau bantah itu mempunyai suatu ‘weight’ menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh di dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat umat Islam.

Ramai yang bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang-orang politik dengan bermotifkan politik tentunya. Sebenarnya, eloknya sokongan yang diinginkan tidaklah digunakan mana-mana kaedah-kaedah Islam sebagai platformnya. Ada yang berusaha untuk menjadikan satu peraturan dalam hukum Islam iaitu sumpah dengan nama Allah sebagai senjata dalam politik kepartian. Bagi saya,itu kurang sihat.

Bagi mereka yang sudi membaca dan menyelak lembaran artikel ini, saya nasihatkan agar membaca dengan tenang sehingga habis sebelum membuat sebarang tanggapan dan komentar. Itu perlu bagi mendapatkan gambaran jelas kandungan artikel ini.

WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?

Kembali kepada isu terkini iaitu ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Dato’ Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya.

Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-

1.       TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.

2.       TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur 6-7)

Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.

3.       MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-

فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت

Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)

Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).

Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi’e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)

Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li’an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.

4.       Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.


WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH

Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.

Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?

KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH

Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah.  Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-

Hadis Nabi :-

لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Kaedah Fiqh :

الأصل برآءة الذمة

Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.

Dan satu lagi kaedahnya :

اليقين لا يزول بالشك

Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.

Juga satu prinsip yang berbunyi
ان الشك يفسر لمصلحة المتهم

Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)

Berkata Az-Zubaydi

قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك

Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi,  Taj Al-Urus)

AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :

1. Zina dan liwat
Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.

2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.
Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.

3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan
Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.

4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah
Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.
Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

  • IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w
  • EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.

LEPAS ‘BAYYINAH’, BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN

Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.

Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)

BAGI KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)

Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-

a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah. 

b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana ‘bayyinah’ belum dikemukan oleh pendakwa. 

c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato’ Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.

d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.

e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. JUSTERU...
MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam perskitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk  minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan
Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat ‘atas pagar’.

Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.

KESIMPULAN

Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa. 

Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.

Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan. 

Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan ‘al-Yamin al-Ghamus’. Ditanya kepada Nabi apakah ‘Al-Yamin Al-Ghamus’ itu, baginda menjawab : 

وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب

Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)

Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani  menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).

Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.

Sekian

Popular Posts