Dr. Maszlee Malik
Selesai debat KJ-Rafizi, pelbagai respon dan
reaksi ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Debat politik menggunakan bahasa
kebangsaan yang pertama kali diadakan di media terbuka di antara pemimpin muda
BN dan PR menjelang PRU-13 itu telah memberikan nafas segar kepada ‘politik
baru’ impian rakyat Malaysia. Debat yang telah berlangsung dengan harmoni itu
dengan jelas telah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa masyarakat kita
belum lagi matang ataupun debat bukan budaya rakyat Malaysia. Jelas sekali
persepsi seumpama itu amat dangkal dan meleset.
Jika ditanyakan kepada saya sebagai moderator,
siapakah pemenang debat tersebut. Tanpa berfikir dua kali, saya akan menjawab
bahawa ‘rakyat Malaysia’ adalah pemenang yang mutlak, dan bukannya KJ ataupun
Rafizi. Saya tidak dapat menafikan bahawa debat tersebut telah memberikan
peluang kepada KJ untuk meletakkan ‘standard’ baru kepada pemuda UMNO yang
sukar dicapai oleh para pencabarnya di dalam UMNO. Begitu juga bagi pihak
Rafizi, ramai boleh bersetuju jika dikatakan debat pada malam tersebut telah
melonjakkan populariti beliau yang selama ini kurang dikenali oleh ramai rakyat
Malaysia walaupun namanya pernah disebut oleh ketua Wanita UMNO di dalam
perhimpunan wanita UMNO pada tahun 2011. Walau siapapun yang mendapat kredit,
saya tetap tuntas mengatakan bahawa rakyat Malaysia yang bertamadun adalah
pemenang debat berkenaan.
Perlu diingatkan, debat politik, sepertimana di
negara-negara maju di zaman moden ini mempunyai objektif yang berbeza dengan
pertandingan debat sekolah mahupun di IPT-IPT. Jika debat kebiasaannya
disinonimkan dengan pihak yang menang kerana kepetahan pendebat berhujah, debat
politik pula bukanlah bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut. Debat politik
adalah ruang untuk para aktor politik membawakan hujah mereka agar dinilai,
dicabar dan dipertimbangkan, samada oleh pihak lawan, moderator, dan yang lebih
utama oleh rakyat sekelian. Di sinilah, bukan sekadar pendebat perlu
mempersiapkan diri untuk berdebat, yang lebih utama ialah persiapan rakyat
untuk bersikap terbuka fikiran dan berlapang dada untuk mendengar hujah dan
lontaran ide dari semua pihak. Pendekata, debat politik merupakan salah satu
ruang pendidikan, perbincangan umum dan juga proses mematangkan fikiran rakyat.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa bukan semua
rakyat mampu berfikir. Ada juga yang menjadikan masyarakat luar bandar sebagai
alasan untuk debat politik tidak dibudayakan. Saya bersikap kritis terhadap
penjelekan ke atas daya fikir rakyat Malaysia ini. Adalah sesuatu yang
menjengkelkan apabila ada pihak yang memandang lekeh kepada pihak yang lain
hanya kerana mungkin kedudukan geografi mereka, ataupun status sosial dan
ekonomi. Sikap ini merupakan sikap bongkak dan sombong. Dalam kunjungan saya ke
kawasan-kawasan kampung di utara tanah air, saya agak dikejutkan dengan sikap
yang ditunjukkan oleh warga petani, pesawah dan penoreh yang saya temui.
Rata-rata mereka mengikuti siaran langsung debat tersebut pada malam ia
berlangsung. Samada mereka mengikutinya di rumah, ataupun di markaz-markaz
parti politik, ataupun di warung-warung dan restoran-restoran yang memasang
layar skrin kepada para pengunjung. Saya rasa terharu…Rakyat Malaysia sudah
bersedia untuk politik matang dan politik baru…
Tanggapan saya, sepertimana juga ramai pihak,
ialah pihak yang menonton pastinya dari kalangan orang muda yang terlibat
dengan PTPTN. Mungkin juga kita terfikirkan hanya warga kota sahaja yang
prihatin terhdap isu PTPTN dan debat ini. Saya tersilap sangka rupanya. Saya
terlupakan bahawa warga kampug juga mempunyai anak-anak di IPTA dan IPTS. Saya
terlupa juga bahwa mereka nilah yang paling bergantung kepada PTPTN untuk
pembelajaran anak-anak mereka. Keadaan ekonomi mereka menjadikan mereka
terpaksa bergantung harap kepada campurtangan pihak ketiga demi membiayai
pengajian anak-anak mereka, terutamanya di dalam bidang-bidang yang melibatkan
kos yang begitu tinggi. Maka di atas sikap pedulinya mereka, rancangan debat
tersebut mereka ikuti. Menurut golongan luar bandar yang telah saya temui,
mereka ingin tahu siapakah yang boleh memberikan tawaran yang terbaik untuk
rakyat yang kurang kemampuan seperti golongan petani, golongan luar bandar dna
juga golongan miskin seperti mereka. Sekali lagi saya terharu dan tersedar
bahawa rakyat kita sudah celik politik…
Seperti yang saya tegaskan di awal artikel ini,
debat politik bukanlah galanggang untuk mencari juara ataupun pemenang. Debat
politik terbuka adalah ruang untuk rakyat mendapatkan maklumat yang saksama. Di
negara Malaysia di mana media yang dibiayai oleh pembayar cukai dikuasai
sepenuhnya oleh parti yang memerintah, maklumat yang disajikan adalah tidak
seimbang. Maka di dalam keadaan seperti ini, debat politik terbuka merupakan
ruang yang paling efisien untuk warga Malaysia mendapatkan maklumat yang
seimbang. Rakyat mahu mendapatkan maklumat yang lengkap dan adil sebelum mereka
boleh membuat pilihan menjelang pilihanraya. Maka ruang debat politik adalah
pengisi kepada vakum tersebut. Ini hanyalah secebis dari rasionalnya debat
politk terbuka amat wajar dan wajib diadakan di bumi Malaysia yang menjalani
proses transformasi. Bak kata YAB Perdana Menteri, DS Najib lewat ucapan beliau
pada malam 15 September 2011 menjelang sambutan ‘Hari Malaysia’, Malaysia perlu
berdiri seiring dengan negara demokratik yang maju…
Di atas rasional ini jugalah saya melihat sudah
sampai waktunya kita berdiri seiring kemajuan demokrasi di perongkat global
dengan mengadakan debat terbuka di antara calon-calon PM dari pihak BN dan PR menjelang
PRU-13 nanti. Seperti yang ditekankan di awal artikel ini juga, debat politik
terbuka ini penting untuk rakyat Malaysia mendengar sendiri dari mulut
kedua-dua pemimpin itu tentang polisi dan dasar yang akan mereka tawarkan jika
koalisi yang mereka wakili memenangi PRU-13 nanti. Hal seumpama ini penting di
dalam suasana politkk baru dan politik matang. Setakat ini, calon dari BN
adalah Perdana Menteri sekarang ini, iaitu DS Najib Tun Razak dan calon dari PR
adalah ketua pembangkang di parlimen, iaitu DS Anwar Ibrahim.
Apakah kita masih meragui keupayaan rakyat
Malaysia untuk mendengar dari semua pihak, berfikir dan membuat keputusan yang
matang sesudah 55 tahun merdeka?