Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Tuesday, 01 September 2009
Orang mukmin makan dengan satu perut sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut.” Dalam hadis no. 5393 riwayat Imam al-Bukhari ini, perbezaan jumlah perut hanyalah secara kiasan, bertujuan memberi pengajaran bahawa orang Islam sentiasa mengaudit jumlah makanan yang mereka ambil. Berdasarkan audit ini, kita tidak makan berlebih-lebihan, tidak makan secara gelojoh, tidak mengambil gizi yang membahayakan kesihatan dan tidak membazir wang dengan kos makanan yang tinggi.
Dengan audit ini juga, pemakanan kita menjadi terkawal berdasarkan ilmu dan akal, bukan menjadi bebas berdasarkan selera dan nafsu semisal binatang ternak. Permisalan ini pernah dikemukakan oleh al-Qur’an: “Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum……” [Surah Muhammad, ayat 12]
Maka berdasarkan hadis dan ayat al-Qur’an di atas, marilah kita sentiasa mengaudit pemakanan kita. Lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa, janganlah etika kita dalam makan dan minum seumpama orang yang memiliki tujuh usus mahupun seumpama binatang ternak. Agar kita dapat menjauhi etika yang buruk itu, berikut dikongsikan beberapa tips berbuka puasa.
Separuhkan Makanan dan Minuman Yang Diidamkan.
Dalam suasana perut kosong dan tekak kering, kita akan idamkan makanan dan minuman yang pelbagai. Amat pelbagai sehingga ia lazimnya melebihi keperluan yang sebenar. Berbeza dengan suasana perut yang penuh dan tekak yang basah, kita tidak akan mengidamkan makanan dan minuman yang pelbagai. Bahkan mungkin tiada selera langsung untuk memikirkan apa-apa berkaitan makan dan minum.
Maka apabila menyediakan juadah berbuka puasa, separuhkan apa yang anda idam-idamkan. Jika pada awalnya diidamkan kuih-muih, nasi campur bersama dua ketul ayam percik dan semangkuk besar ais batu campur (ABC), maka separuhkannya kepada beberapa biji kurma, nasi “setengah” bersama seketul ayam dan air suam sahaja. Berbukalah dengan juadah yang diseparuhkan itu, nescaya anda akan dapati ia mencukupi.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Anak adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2380]
Sediakan Sendiri Juadah Berbuka.
Satu tips lain untuk mengaudit pemakanan ketika berbuka puasa ialah menyediakan sendiri juadah berbuka. Suasana letih ketika berpuasa akan menyebabkan anda hanya menyediakan makanan dan minuman yang diperlukan. Berbeza jika anda keluar untuk membeli juadah berbuka di Pasar Ramadhan, pilihan yang pelbagai akan menyebabkan anda cenderung membeli-belah melebihi keperluan sebenar, sekalipun anda cuba untuk menseparuhkannya.
Seboleh-bolehnya elakkan berbuka puasa di restoran, hotel atau majlis yang menyediakan juadah berbuka secara “buffet”. Kerap kali kos berbuka secara “buffet” mencukupi kos berbuka untuk sepuluh orang miskin. Hidangan yang “sejauh mata memandang” menyebabkan anda sukar untuk menahan diri dari makan dan minum umpama binatang ternak sementara solat maghrib masih belum dilaksanakan. Allah s.w.t. berfirman: “Wahai anak-anak Adam! …… makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” [Surah al-A’raaf, ayat 31]
Berkongsi Juadah Berbuka.
Rasulullah s.a.w. pernah menganjurkan: “Sesiapa yang memberikan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala orang yang berpuasa itu. Sementara orang yang berpuasa itu tidak pula dikurangkan pahalanya walau sedikit.” [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1078] Sama ada kita tinggal di rumah, kondominium, asrama atau pelantar minyak, antara yang utama untuk dikongsikan juadah berbuka ialah sesama jiran, iaitu orang-orang yang tinggal di sekeliling kita:
“Janganlah salah seorang di antara kamu menghina sesuatu kebaikan dan jika tidak mampu melakukan kebaikan itu, maka (sekurang-kurangnya) hendaklah menemui saudara (seislam) dengan wajah yang berseri-seri. Jika kamu membeli daging atau memasak dalam periuk, perbanyakkanlah kuahnya untuk diciduk sebahagian darinya untuk jiran kamu.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1833]
Apabila berkongsi juadah berbuka puasa, tidaklah bererti kita perlu menyediakan juadah yang tidak diaudit. Islam menekankan kesederhanaan, termasuklah kepada makanan dan minuman yang hendak kita kongsikan bersama orang lain. Rasulullah s.a.w. mengingatkan: “Wahai para wanita muslimat! Janganlah merasa hina untuk memberi kepada jiran tetangga sekalipun tulang kambing yang sedikit dagingnya.” [Shahih Muslim, no: 1030]
Berkongsi juadah berbuka juga tidak bererti kita perlu menyediakannya dalam jumlah yang banyak. Rasulullah s.a.w. memberi jaminan: “Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang, makanan untuk dua orang cukup untuk empat orang dan makanan untuk empat orang cukup untuk lapan orang.” [Shahih Muslim, no: 2059]
Menyentuh tentang berkongsi juadah berbuka, terdapat satu amalan orang bukan Islam yang telah menyelinap masuk di kalangan umat Islam, iaitu amalan “Pot Luck”. Melalui amalan ini, masing-masing membawa jenis dan jumlah makanan secara “nasib” untuk dikongsikan bersama dalam satu kumpulan. Amalan ini perlu diaudit semula kerana sekalipun berkongsi makanan dianjurkan oleh Islam, berkongsi secara rambang jenis dan jumlahnya tidak dianjurkan oleh Islam kerana sering berlaku pembaziran atau pengisian yang melebihi sepertiga perut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid&...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment