Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Thursday, December 10, 2009

Tatacara Perlaksanaan Sujud Sahwi

Dipetik dari buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat terbitan Jahabersa
Ditulis oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus ; disunting oleh Hafiz Firdaus Abdullah

Maksud perkataan sahwi dari segi bahasa ialah lupakan sesuatu. Menurut Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah:
Sujud sahwi adalah nama dua sujud yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat yang disebabkan kerana lupa.[1]

Kebiasaannya di Malaysia sujud sahwi ini dilaksanakan seperti berikut:
1. Ianya dilakukan selepas tahiyat (tasyahhud) akhir sebelum salam.
2. Bacaan dalam sujud سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو (Mahasuci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa).


Sebagaimana dalam bab-bab yang lalu, kita sentiasa menyarankan untuk berpegang teguh dengan perintah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam untuk mencontohi baginda dalam ibadah solat sebagaimana sabdanya: "Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat”[2] maka sepatutnya dalam pengamalan sujud sahwi ini ianya juga harus sejajar dengan tatacara yang dilaksanakan oleh baginda shalallahu 'alaihi wasallam.

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:
“Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum salam atau sesudahnya oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.”[3]

Setelah meneliti hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, kita dapati sujud sahwi ini dilakukan samada sebelum atau sesudah salam bergantung kepada situasi kekurangan atau penambahan yang berlaku dalam solat. Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah menyatakan:

Sebab-sebab yang mengharuskan sujud sahwi dalam solat secara global ada tiga hal iaitu:

1. Penambahan gerakan (al-Ziyadah). Misalnya seseorang menambah jumlah rukuk, sujud, berdiri atau duduknya.

2. Pengurangan (Naqs). Misalnya seseorang kurang dalam melaksanakan rukun atau hal yang wajib dalam solat.

3. Ragu-ragu (Shak). Misalnya dia ragu-ragu tentang jumlah rakaat solat samada tiga atau empat.[4]

Sebelum kita meneruskan perbincangan di dalam bab ini, adalah baik sekiranya terlebih dahulu ditegaskan bahawa penambahan atau pengurangan gerakan dalam solat secara sengaja boleh membatalkan solat. Sujud sahwi hanya disyari’atkan ke atas kekurangan atau penambahan yang berlaku di dalam solat secara tidak sengaja. Ini sebagaimana Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا زَادَ الرَّجُلُ أَوْ نَقَصَ فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ.

Jika solat seseorang terlebih atau terkurang, maka hendaklah dia sujud dua kali.[5]


Tatacara Sujud Sahwi Ketika Penambahan Dalam Solat

Apabila kita tersedar bahawa dalam solat kita, samada ketika masih bersolat atau sesudah selesai mengerjakannya, ada tertambah sesuatu seperti jumlah rakaat, sujud, duduk antara dua sujud dan lain-lain, maka sujud sahwi hanya dilakukan sesudah salam. Sebagai contohnya sekira seseorang itu ketika bersolat Maghrib dia telah mengerjakan empat rakaat dan hanya sedar ketika tasyahhud akhir, maka dia sempurnakan tasyahhudnya lalu memberi salam. Setelah itu dia perlu lakukan sujud sahwi lalu memberi salam lagi. Sekiranya dia hanya teringat setelah memberi salam, maka dia perlu melakukan sujud sahwi serta merta lalu memberi salam. Sekiranya pada rakaat keempat tersebut baru dia tersedar bahawa solat Maghrib sepatutnya hanya tiga rakaat, maka dia harus duduk ketika itu juga untuk mengerjakan tasyahhud akhir dan kemudiannya memberi salam. Sesudah itu dikerjakan sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi. Dalilnya adalah dari hadis yang diriwayatkan dari Abdullah Ibnu Mas’ud radhiallahu’anh:


صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ خَمْسًا

فَقِيلَ لَهُ أَزِيدَ فِي الصَلاَةِ؟ قَالَ: وَمَا ذَاكَ؟

قَالَ: صَلَّيْتَ خَمْسًا فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ بَعْدَ مَا سَلَّمَ.

Pada suatu ketika Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersolat Zuhur lima rakaat,
lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah?”
Baginda bertanya: “Mengapa demikian?”
Para sahabat menjawab: “Anda telah melakukan solat lima rakaat.” Maka bagindapun sujud dua kali setelah memberi salam itu.[6]

Ini berbeza sekali dengan amalan sesetengah umat Islam di Malaysia yang menganggap solat yang terlebih atau terkurang rakaat secara tidak sengaja itu telah terbatal lalu perlu diulangi keseluruhan solat tersebut. Sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sebenarnya adalah tidak diulangi solat tersebut (menunjukkan solat itu sah) tetapi dikerjakan sujud sahwi setelah memberi salam.

Termasuk juga dalam al-Ziyadah atau penambahan gerakan adalah memberi salam sebelum solatnya sempurna. Contohnya seseorang sedang bersolat Asar lalu pada rakaat kedua dia telah melakukan tasyahhud akhir dan memberi salam menunjukkan berakhirnya solatnya itu. Ini dianggap penambahan kerana dia menambahkan salam di rakaat kedua tersebut. Di dalam situasi sebegini sekiranya dia tersedar akan kesilapannya setelah berlalu waktu yang lama, maka dia harus mengulangi solatnya. Namun begitu sekiranya dia tersedar dalam waktu yang singkat seperti dua atau tiga minit setelah mengakhiri solatnya, maka dia harus menyempurnakan baki solatnya yang dua rakaat lagi itu lalu memberi salam. Setelah itu hendaklah dikerjakan sujud sahwi dan memberi salam sekali lagi. Ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Hurairah radhiallahu’anh:

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam solat bersama kami pada salah satu solat di siang hari (iaitu Zuhur atau Asar), ternyata baginda hanya solat dua rakaat sahaja dan terus memberi salam. Baginda lalu pergi ke sebuah kayu yang terbelintang di masjid lalu berteleku di atasnya seolah-olah sedang marah. Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kirinya sambil menggenggam jari-jarinya, sedang pipinya diletakkan di atas telapak kirinya bahagian luar. Kemudian ada yang segera keluar dari pintu-pintu masjid sambil mengatakan: “Solat telah diqasarkan (dipendekkan)”. Di antara orang ramai itu terdapat pula Abu Bakar dan Umar. Keduanya malu untuk bertanyakan akan hal itu. Kebetulan di antara mereka terdapat pula seorang lelaki bernama Dzulyadain, yang bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَسِيتَ أَمْ قَصُرَتْ الصَلاَةُ؟

قَالَ: لَمْ أَنْسَ وَلَمْ تُقْصَرْ. فَقَالَ: أَكَمَا يَقُولُ ذُو الْيَدَيْنِ؟

فَقَالُوا: نَعَمْ. فَتَقَدَّمَ فَصَلَّى مَا تَرَكَ ثُمَّ سَلَّمَ ثُمَّ كَبَّرَ

وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ وَكَبَّرَ

ثُمَّ كَبَّرَ وَسَجَدَ مِثْلَ سُجُودِهِ أَوْ أَطْوَلَ ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ.


“Ya Rasulullah, apakah anda lupa atau solat tadi memang diqasarkan?”
Baginda bersabda: “Saya tidak lupa dan solat tadi tidak pula diqasarkan.”
Maka Rasulullah bertanya kepada para sahabat: “Apakah benar yang dikatakan oleh Dzulyadain?” Para sahabat menjawab: “Benar.”
Maka baginda pun menuju kembali ke tempatnya semula dan menyempurnakan baki rakaatnya, kemudian memberi salam. Sehabis salam itu baginda bertakbir,
sujud sebagaimana sujud biasa atau agak panjang sedikit,
lalu mengangkat kepala dan takbir. Seterusnya baginda takbir lagi lalu sujud seperti biasa atau agak lebih lama, kemudian mengangkat kepalanya kembali.”[7]


Tatacara Sujud Sahwi Ketika Terdapat Pengurangan Dalam Solat

Sekiranya di dalam solat kita terdapat kekurangan secara tidak sengaja di dalam perkara yang rukun ataupun fardhu maka sujud sahwinya dilakukan sebelum salam. Contohnya apabila seseorang itu tertinggal tasyahhud awal dan terus bangun untuk meneruskan rakaat yang ke tiga, maka dia tidak perlu untuk duduk kembali untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dia hanya perlu meneruskan solatnya dan melakukan sujud sahwi selepas tasyahhud akhir dan kemudiannya barulah memberi salam. Sekiranya dia teringat bahawa dia lupa membaca tasyahhud awal ketika dia belum bangkit untuk berdiri ke rakaat ke tiga secara sempurna, maka bolehlah dia duduk semula untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut. Dalil tentang hal ini adalah sebagaimana hadis dari Abdullah bin Buhainah radhiallahu’anh:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِمْ الظَّهْرَ

فَقَامَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ لَمْ يَجْلِسْ

فَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ حَتَّى إِذَا قَضَى الصَّلاَةَ وَانْتَظَرَ النَّاسُ تَسْلِيمَهُ كَبَّرَ

وَهُوَ جَالِسٌ فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ ثُمَّ سَلَّمَ
.

Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam solat Zuhur bersama mereka.
Baginda bangkit pada rakaat kedua dan tidak duduk (maksudnya, tidak melakukan tasyahhud awal), para makmumpun ikut berdiri bersama baginda;
hingga ketika hendak selesai solat, sedang makmum menunggu salamnya,
baginda bertakbir dalam posisi duduk lalu sujud dua kali sebelum salam, kemudian baru salam.”[8]


Mughirah bin Syu’bah radhiallahu’anh pula telah berkata:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ مِنْ الرَّكْعَتَيْنِ فَلَمْ يَسْتَتِمَّ قَائِمًا فَلْيَجْلِسْ

فَإِذَا اسْتَتَمَّ قَائِمًا فَلاَ يَجْلِسْ وَيَسْجُدْ سَجْدَتَيْ السَّهْوِ
.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Apabila salah seorang di antaramu berdiri dari rakaat kedua
(dalam keadaan lupa untuk tasyahhud awal – pen) dan belum sempurna berdirinya
maka hendaklah dia duduk kembali (untuk mengerjakan tasyahhud awal tersebut – pen), dan apabila telah sempurna berdirinya maka janganlah dia duduk (teruskan solatnya – pen) dan hendak dia sujud sahwi dua kali.”[9]


Tatacara Sujud Sahwi Ketika Berlaku Keraguan Dalam Solat

Menurut Muhammad bin Sallih al-‘Utsaimin rahimahullah: “Syak (ragu-ragu) adalah kebimbangan di antara dua hal tentang yang mana sebenarnya telah dilakukan.”[10] Contohnya seseorang yang sedang bersolat Isyak dan dia terlupa samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat, maka terdapat dua kemungkinan dalam keraguan tersebut iaitu:

a) Dia memiliki keyakinan kepada salah satu antara dua hal tersebut. Contohnya dia mempunyai keyakinan yang lebih bahawa dia sebenarnya berada dalam rakaat ke empat. Dalam keadaan sebegini maka dia mengikut keyakinannya dan meneruskan solatnya. Sujud Sahwi dilakukan sesudah salam dan kemudian dia memberi salam lagi. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anh:

وَإِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلْيَتَحَرَّ الصَّوَابَ فَلْيُتِمَّ عَلَيْهِ ثُمَّ لِيُسَلِّمْ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ.

Dan apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya,
maka hendaklah dia memilih yang (dianggap – pen) benar,
lalu hendaklah dia menyempurnakan solatnya lalu salam, kemudian sujud dua kali.[11]


b) Dia tidak memiliki keyakinan di antara dua hal tersebut. Contohnya dia tidak memiliki kepastian samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat. Dalam keadaan yang sebegini dia sepatutnya memilih rakaat yang paling sedikit iaitu rakaat yang ke tiga lalu menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi sebelum salam. Dalilnya adalah sebuah hadis daripada Abdurrahman bin ‘Auf radhiallahu’anh, daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ أَوَاحِدَةً صَلَّى أَمْ ثِنْتَيْنِ

فَلْيَجْعَلْهَا وَاحِدَةً

وَإِذَا لَمْ يَدْرِ ثِنْتَيْنِ صَلَّى أَمْ ثَلاَثًا فَلْيَجْعَلْهَا ثِنْتَيْنِ

وَإِذَا لَمْ يَدْرِ أَثَلاَثًا صَلَّى أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَجْعَلْهَا ثَلاَثًا

ثُمَّ يَسْجُدْ إِذَا فَرَغَ مِنْ صَلاَتِهِ

وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ سَجْدَتَيْنِ.


Jika salah seorang di antara kalian ragu dalam solatnya,
sehingga dia tidak tahu, apakah baru satu rakaat atau sudah dua rakaat, maka baiklah ditetapkannya sebagai satu rakaat sahaja. Jika dia tak tahu apakah dua atau sudah tiga rakaat, baiklah ditetapkannya dua rakaat. Dan jika tidak tahu apakah tiga ataukah sudah empat rakaat, baiklah ditetapkannya tiga rakaat, kemudian hendaklah dia sujud bila selesai solat di waktu masih duduk (tasyahhud akhir - pen) sebelum memberi salam, iaitu sujud sahwi sebanyak dua kali.[12]


Demikianlah penjelasan tentang keadaan yang memerlukan sujud sahwi dilakukan sebelum atau sesudah salam seperti yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.

Bacaan Ketika Sujud Sahwi

Jika kita teliti hadis-hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan sujud sahwi, ternyata baginda shalallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengajar bacaan khusus yang perlu dibaca ketika sujud sahwi ini. Apa yang dapat kita simpulkan di sini bahawa bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti yang dibacakan dalam sujud solat yang biasa:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ
.

Maha suci Tuhanku dan segala puji bagi-Nya.


Tentang bacaan سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو Subhaana man laayanaamu walaa yashuu (Mahasuci Tuhan yang tidak tidur dan tidak lupa), ianya bukan dari sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, tidak pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.

Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah berkata:
Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Doa yang dibacanya (shalallahu 'alaihi wasallam dalam sujud sahwi - pen) adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud sahwi adalah سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabatnya. Tidak ada dalil yang berasal dari sunnah yang menunjukkan bacaan ini. Doa itu sebenarnya adalah doa yang diperolehi dari mimpi sebahagian kaum sufi. Oleh kerana itulah, jangan mengerjakan doa tersebut. Ambillah urusan agamamu dari kitab-kitab hadis yang sahih.[13]

Begitulah amaran tegas dari Muhammad Abdussalam al-Syaqiry rahimahullah tentang doa tersebut. Ini kerana doa tersebut merupakan perkara baru yang diada-adakan (bid’ah) dan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri telah memerintah kita dengan tegas untuk menolak segala amalan yang tidak ada contohnya dari al-Qur’an dan al-Sunnah:

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
.

Maka sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an)
dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah),
serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan
dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat.[14]


Oleh itu sewajarnya untuk kita meninggalkan amalan tersebut dan tetap berada di atas sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.






________________________________________

[1] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Risalah Sujud Sahwi, Majalah As-Sunnah, edisi 12/VII/1424H/2004M, ms. 41.
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.
[3] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.2, ms. 98
[4] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 382
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 572.
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1226.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 482.
[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 829.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no. 1208.
[10] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Prostration For Forgetfulness In The Prayer, (edisi Bahasa Inggeris diterjemah oleh Abu Talhah Dawood), ms. 11.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 401.
[12] Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 1656 (Jld. 1, ms. 190) dan dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Ishaq, seorang perawi yang terkenal melakukan tadlis. Akan tetapi yang seumpama dikeluarkan oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya – hadis no: 2663 daripada Abu Sa’id al-Khudri dan berkata Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban bi Tartil Ibn Balban: “Para perawinya thiqah.” Justeru dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad, Syu’aib al-Arna’uth mengklasifikasikan hadis di atas sebagai hasan lighairihi.
[13] Muhammad Abdussalaam Khadr al-Syaqiry, Bid’ah-Bid’ah Yang Dianggap Sunnah (edisi terjemahan oleh Achmad Munir Awood Badjeber & Sulaiman, Qisthi Press, Jakarta, 2004), ms. 76-77.
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 867.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts