oleh: Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Saya menulis artikel ini dalam keadaan yang amat letih. Petang Sabtu seperti biasa adalah waktu penamat untuk pengiriman artikel. Pagi tadi (Sabtu) saya baru sahaja sampai dari London. Pergi ke sana hanya dua hari setengah. Sempat untuk mengisi dua ceramah. Satunya khas untuk siswi dan satu lagi majlis yang agak besar. Majlis muzakarah bersama saya itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin politik tanahair.
Di samping itu, saya sempat berjumpa dengan beberapa sahabat karib yang sering bertukar-tukar pandangan. Mereka masih di United Kingdom. Antara mereka penulis terkenal dengan ketajamannya Saudara Maszlee Malik dan peguam yang ternama Saudara Ahmad Jailani. Mereka bakal mendapat Ph.D masing-masing insyaAllah.
Sahabat saya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda juga ada bersama. Berjumpa sahabat-sahabat yang saling memahami kadang-kala lebih membahagiakan dari berjumpa dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan tetapi hidup di alam yang berbeza.
Kami berjumpa seperti biasa. Itulah kami, setiap kali berjumpa berbagai-bagai tajuk akan muncul, dan tidak lupa juga masing-masing bertanya khabar buku atau karya ilmiah baru yang berkaitan. Saudara Maszlee agak jaguh mengenai buku-buku Barat ini. Walaupun dua hari amat singkat untuk kami ‘bersembang’ kesemua tajuk yang membabitkan masa depan umat Islam, negara dan rakyat Malaysia namun seperti biasa ia satu kesempatan yang manis.
Memang jika kita duduk berbincang tajuk-tajuk sedemikian dengan jiwa yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan masa depan dakwah, umat dan rakyat, terlalu lazat dan enak rasanya. Ia meresap dalam jiwa masing-masing. Pembentangan pemikiran, fakta dan penilaian amat mengasyikkan. Bagaikan dibuai angin yang sepoi-sepoi bahasa, waktu berlari selaju meter tajuk-tajuk yang dibincangkan.
Bilik sewaan MSD, meja kopi di Café Italy, Malaysia Hall dan kedai buku terpakai yang kami bertawaf dalamnya menyaksikan berbagai pandangan, impian, hasrat dan kerisauan tentang masa depan Malaysia. Senda gurau dan lawak jenaka menyulami perbincangan di sana sini. Demikian kami dan sahabat-sahabat kami yang lain. Demikian juga saya yakin kebanyakan pembaca sekelian. Berbual dan bersembang bukan tiada faedahnya. Cumanya, apakah yang patut kita isi dalam perbualan dan pertemuan antara kita.
Saya catat hal ini bukan untuk menunjukkan apa yang kami lakukan. Orang lain lakukan lebih baik dari kami. Cumanya, saya ingin ingatkan pembaca tentang kepentingan tajuk ini. Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial. Kita inginkan teman dan rakan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, ‘sembang-sembang’ itu yang penting. Ramai orang membazir masa sahaja kalau bersembang.
Ya, bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menempah berbagai dosa. Namun berbual bersama teman, apatah lagi dengan insan-insan yang berilmu banyak faedahnya. Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.
Diriwayatkan Al-Imam Abu Yusuf Ya’kub bin Ibrahim iaitu ilmuwan besar sahabat al-Imam Abu Hanifah ketika sakit hendak meninggal dunia masih lagi berbual tentang ilmu. Ketika muridnya Ibrahim bin al-Jarrah menziarahinya di dapati beliau pitam kesakitan. Namun apabila beliau sedar sahaja dan melihat wajah muridnya itu, terus dia berbincang dengan muridnya tersebut mengenai hukum syarak. Muridnya berkata:
“Apakah pada waktu yang sebegini?”. Kata Abu Yusuf: “Tak mengapa, kita kaji, mana tahu barangkali menyelamatkan seseorang”. Selepas perbincangan, anak muridnya hendak keluar, tetapi apabila sampai sahaja ke pintu, beliau mendengar tangisan yang hadir tanda gurunya itu telah meninggal dunia. (Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda ‘Ulama, m.s 15).
Ini ilmuwan dan begitulah kita jika ingin mendapatkan ilmu. Sebab itu duduk berbual dan berbicara dengan ilmuwan merupakan perkara yang terpuji dalam agama ini. Pergi berjumpa ilmuwan, mendampingi mereka, mendengar pandangan mereka, mengambil faedah dari hikmah dan ketajaman minda mereka dapat membentuk dan membangunkan seseorang.
‘Auf bin ‘Abdillah pernah berkata kepada isteri sahabat Nabi s.a.w Abu Dardak iaitu Umm al-Dardak:
“Apakah kami duduk bersama engkau menyebabkan engkau jemu?”. Jawabnya: “Aku telah berusaha agar setiap perkara menjadi ibadah. Tiada yang lebih mengubati jiwaku dari duduk bersama ulama” (Al-Nawawi, Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/953).
Perbualan boleh menjadi ibadah jika isi kandungannya mengingatkan kita kepada kebenaran dan kesabaran atas jalan Allah. Ia membangunkan minda dan jiwa. Sepatutnya, setiap kita ambil kesempatan ini. Sekalipun jika tiada ilmuwan atau cerdik pandai besar dalam perbualan kita, kita mesti berusaha menjadikan perbincangan atau ‘meja kopi’ kita dihiasi dengan perkataan dan pandangan yang berusaha kepada kebaikan dan pembangunan pemikiran. Setiap orang dengan kadar ilmunya berbicara kepada rakan apa yang dipelajari dan didapati dari bahan-bahan ilmu yang baik. Maka berfaedahlah waktu makan dan minum kita ketika bersama rakan dan sahabat handai.
Ramai dalam kalangan kita yang tidak menjadikan meja kopinya meja ilmu. Apabila duduk dengan teman dan rakan mereka jadikan perbualan kosong yang tidak membangunkan minda dan jiwa mencuri peruntukan umur yang diberikan kepada mereka. Berbual dan bersenda bukanlah dilarang. Agama ini bukannya sempit dan jumud. Namun setiap perkara dengan kadarnya.
Jika setiap kali duduk di meja kopi dipenuhi dengan perbualan kosong, atau dusta atau menyakitkan orang lain tanpa alasan yang benar adalah melampaui batasan agama. Setiap kita patut meninggalkan meja yang seperti itu. Rosaknya sesetengah masyarakat melayu kerana ‘meja kopi’ yang menelan umur dan membazir hayat.
Tajuk-tajuk perbincangan yang tidak memberikan faedah pada diri ataupun masyarakat bahkan merosakkan diri dan orang lain sering memenuhi kedai kopi kita. Samada pada waktu pagi, ataupun ketika rehat bekerja, meja kopi menjadi tempat membazir pahala dan mengumpul dosa. Ada yang lupa hal diri dan keluarga sendiri, sibuk hal orang lain di kedai kopi. Tanpa rasa malu pada diri, apatah lagi kepada Allah yang memberikan umur kepadanya sanggup pergi balik ke kedai kopi untuk mencari ‘rakan bual kosong’ bagaikan orang ketagihan candu.
Di kampung-kampung orang melayu bukan sedikit hal yang demikian. Dari situ munculnya berbagai bisikan dan gossip dalam masyarakat kita. Sudahlah taukeh kedai pun tidak untung seberapa dengan secawan kopi tetapi duduk berjam-jam. Keluarga pula terabai. Masa yang dibazirkan di meja kopi itu jika dikumpulkan, barangkali orang melayu sudah mampu menguasai ekonomi negara ini.
Namun, lawatilah kedai-kedai kopi di sesetengah tempat. Di penuhi dengan ‘kaki-kaki lepak’ yang sebahagian sudah menjelang umur senja. Jika anak muda Melayu ramai yang suka lepak, orang tua-tua melayu yang suka lepak pun peratusnya pun bukan sedikit dalam masyarakat kita.
Sebab itu al-Quran melarang perbuatan lagha atau sia-sia dalam bicara yang berfaedah. Firman Allah:
(maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri dari yang lagha” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3). Kata al-Imam al-Sa’di dalam tafsirnya: “Lagha itu perkataan yang tiada kebaikan dan tiada faedah”.
Bersembang, berbual dan duduk di meja kopi bukan salah. Namun pengisiannya itu mestilah diislamisasikan. Jangan jadikan ia meja ‘lagha’ atau sia-sia. Jangan jadikan ia meja dosa. Jadikan ia meja pahala. Meja yang membangunkan minda. Menmbangunkan ilmu dan kebaikan, bukan membangunkan kejahatan dan mensia-siakan umur. Jika tidak mampu jadikan ia meja kebaikan, lebih baik tinggalkan sahaja!!
No comments:
Post a Comment