Buah fikiran dari Abu Rufaydah
Di sebalik wajah gelap Globalisasi ia masih memberikan banyak manfaat kepada manusia di dunia. Kepesatan teknologi perhubungan maklumat (IT) telah menyumbang kepada revolusi ilmu dan pengetahuan. Ilmu dan diskusi ilmiah yang sewaktu dulu hanya dimonopoli oleh golongan tertentu, kini telah boleh diakses oleh masyarakat awam. Pendemokrasian ilmu ini ada baik dan buruknya. Apa yang utama ialah kematangan masyarakat berlaku lebih cepat berbanding dekad-dekad sebelum ini.
Kesan revolusi teknologi maklumat dan pendemokrasian ilmu, hari ini masyarakat kita tidak lagi menerima sesuatu tanpa soal bicara. Antara ruang yang kini menghadapi kesulitan untuk menyesuaikan diri di dalam fenomena ini ialah ruang agama. Golongan agama tidak lagi boleh duduk di dalam zon selesa. Pendemokrasian ilmu telah membuka ruang kepada kelompok yang dilabel sebagai ‘orang awam’ sudah mula bersikap kritis. Mereka sudah berani mempersoalkan “apakah dalil itu dan ini?”, “Siapakah yang mengatakan sedemikian?”, “Mengapakah hukumnya sebegini?”, “Tidakkan ada pendapat lain berhubung isu ini?”, dan lain-lain ungkapan yang pada suatu waktu dahulu tidak pernah diajarkan lewat kuliah-kuliah agama dan juga proses tradisional menghasilkan para ustaz.
Antara isu yang sering menjadi polemik ialah isu ‘Maulid al-Rasul’. Setipa kali kedatangan ‘Maulid’, kini sudah mula olemik tentang bid’ah atau tidaknya sambutan tersebut. Polemik yang suatu waktu dahulu diwarnai sentimen kini mula diwarnai dengan perbincangan ilmiah. Sungguhpun begitu tidak dinafikan masih lagi terdapat kelompok yang masih tidak dapat menerima khilaf terus menggunakan bahasa kuasa dan juga emosional. Walau apapun, polemik tetap polemik. Baik yang mempertahankan mahupun yang menentang, rata-ratanya tidak mahu berganjak dan membuka ruang persefahaman. Lebih malang perjuangan unutk samada mempertahankan mahupun menentang itu dianggap kemuncak beragama mereka. Akhirnya jalan pintas mengkafirkan ataupun menyesatkan diambil. Bagi yang mempertahankan, dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh Islam. Bagi yang menentang pula melemparkan bahawa lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) di dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa, dan juga ahli bid’ah.
Jika diteliti, punca pertelingkahan kedua-dua kelompok ini ialah bila mereka menyikapi isu Maulid itu sebagai sambutan ‘ritual-spiritual’, ataupun sesuatu yang bersifat diniyy (keagamaan). Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan, seumpama wajibnya menyambut ‘Eid al-Adha setahun sekali. Bagi sesiapa yang tidak merayakannya, maka mereka seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi. Bagi yang menentang pula, mereka melihat, perayaan keagamaan yang dianjurkan berdasarkan dalil hanya dua sahaja, iaitu ‘Eid al-Fitri dan ‘Eid al-Adha. Mana-mana perayaan berbentuk keagamaan perlulah disandarkan kepada dalil, dan sambutan Maulid ini tidak bertunjangkan dalil, maka ianya adalah perbuatan bid’ah.
Jika itulah punca masalahnya, ternyata di sana terdapat jalan keluar bagi isu ini. Perayaan atau sambutan Maulid itu perlu dikeluarkan dari kerangkan ritual-spiritual yang disikapi selama ini. Ia harus dilihat dan disikapi sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran (‘ibar menurut istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun). Sepertimana anjuran di dalam ayat-ayat al-Quran yang menyuruh umat Islam mengambil iktibar dan pelajaran dari acara-acara sejarah, begitu jugalah tarikh Maulid ini perlu disikapi. Apabila sesuatu bangsa itu diikatkan dengan sejarah, mereka akan lebih berdaya saing, lebih mampu untuk mengorak langkah ke hadapan kerana mereka mempunyai masa lampau. Bangsa yang tidak mempunyai sejarah, ataupun tidak mempunyai kenangan silam yang gemilang pastinya agak sukar untuk membina masa depan yang cemerlang.
Bangsa Yahudi semenjak zaman Diaspora sehingga kini masih menyambut lebih 50 jenis perayaan berkaitan dengan sejarah lampau mereka. Bagi golongan Ortodoks mungkin sambutan tersebut mempunyai nilai ritual-spiritual, tetapi bagi golongan reform dan sekular, ianya lebih berunsurkan sejarah dan budaya. Melalui sejarah dan budaya inilah jati diri bangsa mereka dibentuk. Di Iran juga, selepas revolusi Islam Iran 1979, pelbagai jenis perayaan bersempena sejarah bangsa Parsi dirayakan di dalam kerangka sejarah-budaya dan bukannya ritual-spiritual. Malah perayaan Nairuz yang berakar umbikan kepercayaan Zoroaster sekalipun telah berjaya dikeluarkan dari kerangka kepercayaan kuno dan dijadikan perayaan kebangsaan berbentuk sejarah-budaya. Matlamatnya sama, iaitu mengembalikan kesedaran dan menanamkan jati diri di dalam jiwa rakyat Iran terhadap empayar Parsi yang pernah memerintah dunia suatu waktu dahulu.
Penghargaan terhadap sejarah juga merupakan sebahagian daripada kehidupan bangsa-bangsa Eropah. Lihatlah di mana-mana negara Eropah, unsur romantisme sejarah dapat dilihat melalui pemeliharaan bangunan-bangunan dan juga kesan-kesan sejarah mereka. Kota Paris, kota Prague, Berlin, Vienna dan Moscow merupakan di antara bukti bagaimana sejarah dan budaya amat bermakna dan amat dihargai oleh bangsa-bangsa tersebut. Lihat jugalah kepada perayaan-perayaan yang disambut setiap tahun, kebanyakannya berkaitan dengan sejarah peperangan, kemenangan, memperingati tokoh, memperingati para pahlawan dna juga tarikh-tarikh kemegahan. Formulanya amat mudah, iaitu bangsa yang tiada masa lalu, tidak akan dapat menempa kegemilangan di masa kini dan akan gagal di masa hadapan. Maka pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuk di dalam bentuk perayaan dan juga peringatan tarikh-tarikh berkaitan.
Apakah yang dapat dimanfaatkan oleh umat Islam jika perayaan Maulid ini dikeluarkan dari kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?
Banyak sekali, malah jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apakah kesannya kepada para peserta mahupun kepada orang lain. Usha mempromosikan ajaran Nabi Muhammad yang bersikap universal dan begitu kemanusiaan perlu ditonjolkan. Keperibadian Nabi Muhammad sebagai manusia yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pehlawan perang yang berjaya dan pelabagai ciri ‘kemanusiaan’ baginda yang boleh diteladani sepatutnya menjadi tema pada setiap kali Maulid disambut. Usaha memperingati Nabi Muhammad ini bukan sekadar berlegar di kalangan umat Islam sahaja, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan Islam sekalipun. Perayaan yang berunsurkan sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan esklusif untuk orang Islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan ‘kesempurnaan hidup manusia’ (human well-being). Malangnya ini tidak berlaku, apa yang dipentingkan seperti kebiasaannya, ialah ‘kulit’ (form) sahaja dan bukannya ‘isi’ (substance) kepada Maulid. Saban tahun umat Islam di Malaysia hanya memeikirkan untuk berarak menyambut Maulid, tanpa berusaha memahami ruh daripada perayaan Maulid.
Apakah ertinya berarak Maulid jika di dalam menyediakan peralatan perarakan itupun berlaku korupsi, penipuan dan juga pecah amanah?
Apakah ertinya berarak, jika para peserta yang berarak itu tidak mengenali Nabi Muhammad dan tidak mengamalkan sunnahnya di dalam kehidupan mereka?
Apakah erti berarak, jika para peserta berarak itu masih mengamalkan rasuah, mengamalkan perniagaan ‘Ali Baba’, menipu, berzina, pecah amanah, mengadu domba dan juga menyokong perbuatan kezaliman?
Apakah erti berarak, jika kezaliman golongan tirani disokong dan dijadikan alasan sebagai mempertahankan agama dan bangsa?
Apakah erti berarak jika Islam yang penuh faham-memahami dan tolak ansur merentas budaya, agama dan kefahaman diselewengkan sebagai agama rasis (perkauman), ekstrimis dan juga mengajarkan kebencian terhadap bangsa dan penganut agama lain?
Apakah erti berarak jika unsur kemanusiaan dan juga penjagaan alam sekitar tidak langsung menjadi tema kehidupan para Muslim?
Apakah erti berarak jika undang-undang drakonian masih lagi bebas dijadikan alat untuk menutup suara-suara kritikan dan undang-undang tidak lagi tertakluk kepada unsur keluhurannya (rule of law) tetapi dijadikan bahan mainan pihak tertentu (rule of man)?
Apakah erti berarak jika unsur akauntabiliti, ketelusan, kebebasan bersuara, keadilan sosial, swardaya rakyat (people empowerment) dan juga tadbirurus yang baik (good governance) seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad dan ajaran Islam tidak dihayati?
Sudah tiba masanya Islam di dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan dari kesempitan dogma dan juga acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) perlu dijadikan lebih inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan hanya untuk umat Islam semata-mata...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid&...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment