Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Wednesday, May 19, 2010

Piala Dunia


Hanya beberapa hari sahaja lagi bola sepak piala dunia (FIFA 2010) akan menemui peminatnya di seluruh dunia. Perlawanan kali ini akan berlangsung di Afrika Selatan yang pastinya akan mengubah jadual harian bagi penggemar sukan paling berprestij itu. Sudah pastinya ramai yang akan ber'qiyamullail' untuk menyaksikan perlawanan pasukan yang diminati. Setelah itu tidur dengan begitu nyenyak sekali sehingga matahari muncul. Ikuti ulasan daripada Kapten Hafiz Firdaus Abdullah berbicara tentang piala dunia ini.


Baru-baru ini ketika membeli sebuah barang elektronik, saya layak memasuki peraduan yang dianjurkan oleh kedai elektronik tersebut. Soalan peraduan memang mudah, iaitu pilih negara yang dijangka akan menjuarai tempat pertama, kedua dan ketiga perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010. Soalan yang saya yakin mudah bagi agak ramai orang, kecuali diri saya sendiri. Agak lama saya cuba mentarjih negara yang bakal menjuarai Piala Dunia 2010, akhirnya saya hanya “menembak” beberapa negara yang saya kenal ke tempat pertama, kedua dan ketiga.

Tidak dinafikan, bolasepak merupakan sukan yang digemari oleh jumhur rakyat bumi. Di kalangan yang menggemarinya, sebahagian besar pernah bermain bolasepak meskipun tidak selalu dan tidak mewakili apa-apa sekolah, tempat kerja mahupun persatuan. Maksud saya, di kalangan yang menggemari bolasepak, hanya sebahagian kecil yang benar-benar turun ke padang berlari ke utara, selatan, timur dan barat mengejar sebiji bola. Baki yang selebihnya hanya menonton, menyokong dan mengikuti perkembangan.



Di sini saya ingin mengajak para pembaca sekalian kepada satu fakta penting. Islam menggalakkan umatnya bersukan, bukan menonton orang lain bersukan. Pengecualian adalah jika yang bersukan itu ialah kaum keluarga terdekat, maka boleh menonton demi memberi sokongan moral dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Adapun menonton sesebuah negara, negeri atau kelab bersukan lalu memberi sokongan kepada mereka, maka ia adalah tindakan yang memerlukan penilaian semula. Sebab, di manakah kepentingan memberi sokongan kepada pasukan sebuah negara bersukan padahal negara itu tidak ada kaitan kepada kepentingan Islam dan umatnya? Di manakah manfaat menghabiskan masa menonton perlawanan bolasepak antara negeri sementara masing-masing negeri lebih memerlukan warganya berusaha menaikkan tarak kehidupan masing-masing? Di manakah hikmah menyorak sebuah kelab bolasepak padahal jika penyorak itu dalam kehidupan hariannya menghadapi sesuatu masalah umpama sakit kronik, dibuang kerja atau kesempitan kewangan, kelab itu tidak akan menolong mereka walau sedikit jua?

“Ehh! Tentulah negara, negeri dan kelab bolasepak tidak ada kaitan dengan apa yang anda sebut di atas!” demikian agaknya jawapan sebahagian pembaca. Saya berkata, Ya! Tepat sekali! Jika demikian, mengapa anda menyerahkan jiwa, raga dan masa menyokong sesuatu yang tidak peduli langsung tentang anda? Sudah tentu ia satu tindakan yang tidak bijak di kalangan kita yang telah dikurniakan Allah s.w.t. akal fikiran. Ambil saja contoh jumlah masa yang digunakan untuk menonton bolasepak. Sekalipun menonton dalam keselesaan rumah sendiri, banyak masa digunakan untuk menonton perlawanan demi perlawanan, serta berehat sebelum atau selepas menonton. Padahal masa adalah sesuatu yang amat berharga bagi manusia sehinggakan Allah s.w.t. bersumpah dengan masa bagi menunjukkan nilainya: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [al-‘Ashr 103:1-3]

Ciri Muslim Bertaqwa.

Para ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan penjelasan yang terbaik bagi pengertian taqwa. Bagi saya, muslim yang bertaqwa ialah muslim yang merasa gerun menghadapi saat dia akan disoal oleh Allah s.w.t. pada Hari Akhirat kelak. Atas sikap gerun, dia berusaha semasa kehidupan di dunia bagi menyediakan jawapan yang sebaik-baiknya ketika di Akhirat kelak. Kita boleh berusaha menyediakan jawapan ketika di dunia ini kerana Allah s.w.t. telahpun menerangkan soalan-soalan yang bakal ditanya. Lima yang pasti ditanya tanpa pengecualian ialah sepertimana hadis berikut: Tidak berganjak dari sisi Allah kedua tapak kaki manusia pada Hari Kiamat (kelak) sehingga dia ditanya tentang lima perkara: (1) Tentang umurnya – untuk apa ia dihabiskan, (2) Tentang masa mudanya – untuk apa ia digunakan, (3) Tentang hartanya – dari mana ia diperolehi, (4) (Tentang hartanya) – kepada apa ia dibelanjakan, (5) Dan apa yang dia amalkan dari ilmu yang dimiliki. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2416]

Justeru seorang muslim yang bertaqwa – dan saya yakin para pembaca sekalian adalah muslim yang bertaqwa – akan pastikan amalan mereka di dunia ini akan memberikan mereka kelulusan cemerlang untuk soalan-soalan di atas pada Hari Akhirat kelak. Atas sikap gerun kepada Allah s.w.t., seorang muslim tidak akan menjawab soalan pertama sebagai: “Saya menghabiskan kebanyakan umur saya menonton bolasepak”. Atas sikap takut kepada Allah s.w.t., seorang muslim tidak akan menjawab soalan kedua sebagai: “Saya menggunakan masa muda saya mengejar sebiji bola”.

Zikir dan Sukan.

Seperti yang saya nyatakan di atas, Islam menggalakkan umatnya bersukan, bukan menonton orang lain bersukan. Bersukan bukan sebarangan sukan, tetapi sukan yang dapat memberi manfaat kepada Islam dan umatnya:Segala sesuatu yang bukan merupakan zikir kepada Allah ‘azza wa jalla maka ia adalah sia-sia dan kelalaian kecuali empat perkara: (1) belajar memanah, (2) berlatih untuk meningkatkan ketangkasan berkuda, (3) bersenda gurau dengan ahli keluarga dan (4) belajar berenang. [al-Silsilah al-Shahihah, no: 315]



Sama-samalah kita bertanya secara jujur kepada diri sendiri, bagaimanakah mengejar sebiji bola atau menonton dan menyorak 22 orang lain mengejar sebiji bola dapat diselarikan dengan tuntutan hadis di atas?


No comments:

Post a Comment

Popular Posts