Oleh Abdul Aziz Bari
Akhirnya Pemuda Pas dapat bertemu dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinngi, Datuk Saifudin Abdullah pada 2 September lalu. Kita tidak tahu apa kandungan dokumen yang diserahkan oleh Nasaruddin Hassan bersama rombongannya kepada Saifudin. Setakat ini kita dimaklumkan bahawa ia antara lain member pandangan kepada kerajaan perlunya mahasiswa diberikan kebebasan supaya mereka dapat menyertai politik dan ini termasuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Saya bersetuju dengan cadangan Pemuda Pas itu kerana selama ini Auku gagal dan tidak memenuhi apa-apa tujuan. Universiti dan pengajian kita tidak bertambah kualitinya. Mutu dan tahap disiplin mahasiswa pun – termasuk masalah akhlak dan meniru dalam peperiksaan – tidak berubah. Dalam pada itu kenaikan pangkat ahli akademik terus dipersoal.
Kita juga mendengar dakwaan wujudnya kegiatan plagiarism – menciplak karya orang – di kalangan kakitangan akademik. Dan sebenarnya setiap pusat pengajian tinggi mempunyai akta dan perlembagaan sendiri; sesuatu yang tidak perlu ditangani melalui Auku. Ertinya pemansuhan undang-undang itu tidak akan mendatangkan kesan negative kepada IPTA kita.
Kalau kita imbas kembali mengapa Auku dibuat oleh pentadbiran Tun Abdul Razak pada tahun 1971 kita mengapa ia diluluskan oleh parlimen: mengekang aktivisme mahasiswa yang ketika itu jelas menggusarkan kerajaan. Auku kemudian diperketat selepas para mahasiswa menganjurkan demonstrasi besar di Kuala Lumpur pada 3 Disember 1974 atas isu kemiskinan rakyat di Baling, Kedah. Antara mahasiswa yang terlibat ialah Hishamuddin Rais. Insiden itu turut menghumban Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Abim waktu itu, ke Kemunting dan ditahan di sana sehingga 1976.
Saifudin begitu konsisten dalam komitmennya terhadap isu mahasiswa berpolitik ini. Apa yang dilakukan itu menarik kerana sebagai timbalan menteri, Saifudin sepatutnya akur dengan keputusan cabinet yang mengekalkan sekatan ke atas mahasiswa. Mungkin isu itu istimewa kerana beliau pernah jadi pemimpin mahasiswa termasuk PBMUM. Apa pun mengikut prinsip tanggungjawab bersama anggota kabinet yang ditetapkan oleh perlembagaan Saifudin boleh dipecat kerana sikapnya itu.
Tetapi itu isu lain dan kita akan bincangkan pendirian kabinet dalam isu mahasiswa berpolitik ini kemudian. Kali ini kita tumpukan kepada apa yang disebut sebagai hak mahasiswa berpolitik yang kebetulan telah diberikan kepada guru-guru.
Perlembagaan kita tidak menyebut hak berpolitik; baik untuk mahasiswa atau untuk sesiapa pun. Perlembagaan cuma menyebut hak untuk bercakap, berkumpul secara aman dan menubuhkan persatuan.
Ketiga-tiga hak ini dianggap sebagai hak yang asasi dalam system demokrasi dan sebab itu Perlembagaan Amerika Syarikat meletakannya sebagai sesuatu yang tidak boleh disentuh; hatta oleh Kongres pun.
Tetapi perlembagaan kita tidak berbuat begitu: ia membenarkan parlimen membuat sekatan melalui undang-undang. Sekatan ini yang dibuat melalui Auku.
Saya berpendapat bahawa semua rakyat perlu dibenarkan melaksanakan hak mereka sebagai warganegara.
Tetapi setakat mana hak itu perlu dilaksanakan terpulanglah kepada kedudukan dan sifat masing-masing. Cuma apa yang asasi tidak harus disekat.
Prinsip itulah yang saya gunakan apabila saya mempersoalkan keputusan membenarkan guru-guru aktif dalam politik.
Pada saya hak yang asasi dan tidak boleh dinafikan ialah hak yang tiga tadi. Tetapi hak untuk berpolitik sehingga menggganggu atau menjejaskan tugas asasi mungkin boleh disekat.
Berbalik kepada isu mahasiswa berpolitik apa yang perlu dibuat ialah memansuhkan Auku dan peraturan lain yang menyekat kebebasan mereka.
Sebagai golongan yang sudah dewasa kita perlu beri mereka ruang untuk memperkembangg potensi dan bakat mereka.
Kita tidak perlu bimbang kerana mereka cerdik dan kita yakin mereka tahu membahagikan masa. Selama ini pun Auku telah banyak disalahgunakan; kalau mahasiswa sokong Barisan Nasional tindakan tidak diambil.
Tetapi apabila mereka condong kepada pihak lain mereka akan diambil tindakan. Ini salah dan ini bukan alasan yang dibenarkan oleh perlembagaan untuk menyekat hak bercakap, berkumpul dan menubuhkan persatuan itu.
(Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun)
Sumber: Sinar Harian, ISNIN 13 SEPTEMBER 2010 (Muka Surat N18)
No comments:
Post a Comment