Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Tuesday, March 15, 2011

Penolakan total terhadap Nasionalisme : Gerakan Islam perlu nilai semula!

Ditulis oleh Shamsul bin Muda

Fahaman Nasionalisme atau Kebangsaan bermaksud, “perasaan cintakan bangsa dan negara sendiri yang mendalam” (Kamus Dewan, ms.1072).

Nasionalisme dengan makna ini jelas satu fahaman yang luhur dan murni. Semua orang menerima akan keluhuran dan kemurnian kecintaan kepada bangsa dan Negara.
Ia bukan sekadar luhur dan murni.

Tapi ia juga mendorong manusia mencetuskan tindakan yang juga murni dan luhur. Kerana kecintaan kepada bangsa dan negaralah, manusia berjuang dengan ikhlas.

Kerananya juga, manusia sanggup berkorban demi bangsa dan negara tanpa meminta balasan.
Walau bagaimanapun, fahaman Nasionalisme ini kadang-kadang menjadi punca manusia bertindak di luar batasan. Kadang-kadang, disebabkan kecintaan kepada bangsa sendiri, manusia menghina atau menzalimi bangsa lain.
Ringkasnya, kecintaan kepada bangsa adalah satu 'kekuatan' dalam diri manusia yang boleh mendorong mereka kepada keluhuran dan juga ke arah kekejian.
Justeru, sikap menolak fahaman Nasionalisme secara keseluruhan, adalah sikap yang tidak tepat dan tidak wajar. Demikian juga sikap menerimanya secara keseluruhan. Juga tidak wajar.
Sikap yang sepatutnya diambil ialah menerima fahaman Nasionalisme yang luhur dan murni, dan menolak yang sebaliknya.
Sikap Hassan al-Banna dan Maududy terhadap Nasionalisme
Inilah sikap yang diambil oleh Imam Hassan al-Banna (rujuk Majmu’ah Rasail (1990), Iskandariah : Dar al-Dakwah, hlm.28-29) dan juga Abu A’la al-Maududy (rujuk al-Maududy (1982), al-Islam Wa al-Madaniyyah al-Hadithah, cet. 8, Riyadh : Dar al-Sa’udiyyah, hlm.28-30).
Sikap ini kemudiannya diteruskan oleh Dr. Muhammad ‘Imarah (rujuk Muhammad ‘Imarah (1995), Hal al-Islam Huwa al-Hal : Limaza Wa Kaifa, Kaherah : Dar al-Syuruq, hlm.162 dan seterusnya)
Ketiga-tiga tokoh besar ini tidak menolak semua fahaman Nasionalisme. Mereka juga tidak menerima kesemuanya. Apa yang murni yang terkandung dalam fahaman ini, mereka terima. Apa yang tidak, mereka menolaknya.
Menurut Imam Hassan al-Banna, Nasionalisme yang ditolak ialah Nasionalisme Jahiliyyah (Qaumiyyah al-Jahiliyyah) dan Nasionalisme Permusuhan (Qaumiyyah al-'Udwan). (Rujuk Majmu’ah Rasail, hlm.28-29)
Qaumiyyah al-Jahiliyyah & Qaumiyyah al-'Udwan

Nasionalisme Jahiliyyah (Qaumiyyah al-Jahiliyyah) adalah fahaman Nasionalisme atau kecintaan kepada bangsa yang mendorong seseorang atau sesuatu kaum, menghidupkan budaya jahiliyyah yang bertentangan dengan Islam.

Atau mendorong mereka membebaskan diri daripada ikatan Islam di atas nama kecintaan kepada bangsa, seperti menukar lafaz azan kepada bahasa Turki yang dilakukan oleh Kamal Atartuk.
Nasionalisme Permusuhan (Qaumiyyah al-'Udwan) pula ialah kecintaan kepada bangsa sendiri yang mendorong seseorang atau sesuatu kaum, menghina kaum-kaum lain. Atau memusuhi mereka demi memelihara kepentingan bangsa sendiri.
Berhubung Nasionalisme Jahiliyyah, Imam Hassan al-Banna menyebut (Majmu’ah Rasail, hlm.28-29) :

أما أن يراد بالقومية إحياء عادات جاهلية درست...والتحلل من عقدة الإسلام ورباطه بدعوى القومية والإعتزاز بالجنس...بتحطيم مظاهر الإسلام والعروبة... وإحياء ما اندرس من عادات جاهلية فذلك في القومية معنى ذميم

Terjemahan : "Adapun [jika] dikehendaki dengan [fahaman] Nasionalisme [ialah] menghidupkan adat-adat [resam] jahiliyyah yang telah pupus…dan membebaskan [diri] daripada 'simpulan' dan ikatan Islam dengan [sebab menyahut] seruan [fahaman] Nasionalisme dan [disebabkan] kebanggaan terhadap keturunan, dengan [cara] menghancurkan lambang-lambang Islam dan kearaban…dan [dengan cara] menghidupkan adat-adat [resam] jahiliiyah yang telah pupus, maka ini adalah [fahaman] Nasionalisme dengan makna yang dicela".
Berkenaan Nasionalisme Permusuhan, beliau mengatakan (Majmu’ah Rasail, hlm. 29) :
أما أن يراد بالقومية الإعتزاز بالجنس إلى درجة تؤدي إلى انتقاص الأجناس الأخرى والعدوان عليها والتضحية بها في سبيل عزة أمة وبقائها...فهذا معنى ذميم

Terjemahan : “Adapun [jika] dikehendaki dengan [fahaman] Nasionalisme [ialah] bermegah-megah dengan keturunan [hingga membawa] kepada peringkat merendah-rendahkan kaum-kaum lain, memusuhi mereka dan mengorbankan mereka dalam [usaha memastikan] kemuliaan dan survival [mana-mana] bangsa…maka ini adalah makna [Nasionalisme] yang dicela”.
Al-Maududy sependapat dengan Imam Hassan al-Banna dalam menolak Nasionalisme Permusuhan ini.
Ketika menjelaskan bentuk Nasionalisme yang ditolak, beliau berkata (Al-Islam Wa al-Madaniyyah al-Hadithah, hlm.29) :
القومية التي تضع ذاتها ومصالحها ورغباتها الخاصة فوق جميع الناس ومصالحهم ورغباتهم والحق عندها هو ما كان محققا لمطالبها واتجاهاتها ورفعة شأنها ولو كان ذلك بظلم الآخرين وإذلال نفوسهم
Terjemahan : "[Fahaman Nasionalisme yang kami tentang ialah] Nasionalisme yang meletakkan dirinya(iaitu diri sesuatu kaum), kepentingan dan keinginan yang khusus [bagi mereka] di atas semua manusia, kepentingan dan keinginan mereka, dan [menganggap] kebenaran pada [pandangan] nya (iaitu kaum yang meletakkan kepentingannya di atas kepentingan semua orang) ialah apa yang menghasilkan tuntutan dan ketinggian kedudukannya, meskipun dengan [cara] menzalimi orang lain dan menundukkan diri mereka".
Al-Banna, al-Maududy & Perjuangan Bangsa

Kesimpulannya, Nasionalisme atau kecintaan kepada bangsa yang tidak melangkaui ke tahap menghidupkan budaya jahiliyyah, membebaskan diri daripada ikatan Islam dan menzalimi serta menghina kaum-kaum lain, tidak bertentangan dengan Islam.
Demikian juga kecintaan kepada bangsa yang mendorong seseorang berjuang bagi membela dan mengangkat mertabat bangsanya sendiri. Ia juga tidak bertentangan dengan Islam selama mana ia tidak mengakibatkan penindasan ke atas bangsa-bangsa lain.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam Hassan al-Banna dan al-Maududy.

Imam Hassan al-Banna menegaskan (Majmu'ah Rasail, hlm. 28):

وإذا قُصد بالقومية أن عشيرةَ الرجل وأمتَه أولى الناس بخيره وبره وأحقُهم بإحسانه وجهاده فهو حق كذلك
Terjemahan : Jika [yang] dimaksudkan dengan [fahaman] Nasionalisme [ialah] kabilah seseorang dan bangsanya, [adalah] orang yang paling utama [mendapat] kebaikan dan kebajikannya dan orang yang paling berhak [mendapat] ehsan dan [usaha] jihadnya, maka ia (fahaman Nasionalisme dengan makna ini) juga [sesuatu yang] haq (benar)”.
Berasaskan kenyataan ini, secara dasarnya, mengutamakan bangsa sendiri dengan mendahulukannya dalam soal kebajikan dan perjuangan, adalah tindakan yang betul dan tidak bercanggah dengan Islam.
Pembelaan terhadap sesuatu bangsa itu hanya dianggap bertentangan dengan Islam apabila ia menyebabkan penindasan ke atas bangsa-bangsa lain.
Inilah yang dijelaskan oleh al-Maududy. Beliau berkata (Al-Islam Wa al-Madaniyyah al-Hadithah, hlm.28):
وكذا أن أريد بها انتصار الفرد لشعبه شريطة أن لا يستهدف تحطيم الشعوب الأخرى

Terjemahan : "Demikian juga [jika] dikehendaki dengannya (fahaman Nasionalisme) [ialah] pembelaan seseorang terhadap [nasib] bangsanya [kami juga tidak menolaknya] dengan syarat [seseorang itu] tidak bertujuan menghancurkan bangsa-bangsa lain".
Kesimpulannya, Imam Hassan al-Banna dan al-Maududy memperakui perjuangan membela bangsa, selagi ia tidak menyebabkan penindasan dan kezaliman ke atas bangsa-bangsa lain.
Sikap tidak menolak fahaman Nasionalisme secara keseluruhan yang diambil kedua-dua tokoh besar Islam ini, memberi satu mesej yang jelas tentang keperluan mana-mana gerakan Islam, menilai kembali pendirian mereka menolak secara total fahaman ini.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts