(drmaza71@gmail.com)
Minggu lepas telah diperkenalkan secara ringkas ketokohan al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Dalam soalan minggu lepas juga, pembaca telah bertanya tentang salah satu karya Ibn al-Qayyim iaitu Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad. Pembaca berkenaan telah membaca karya ini dalam terjemahan Indonesia. Kitab asalnya adalah dalam bahasa ‘Arab. Maksud Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad ialah bekalan menuju akhirat mengenai petunjuk sebaik-baik hamba (Nabi s.a.w).
Kitab ini sebenarnya merupakan sebuah karya Sirah Nabi dan kefahaman dan pengajaran sirah dan sunnah (Fiqh al-Sirah wa al-Sunnah) sekaligus. Buku ini menghimpunkan hadis-hadis tentang keadaan Rasulullah s.a.w; nasab, kelahiran baginda, pengutusan baginda, sifat, dan petunjuk atau teladan baginda sebagai seorang rasul dalam berbagai hal hal kehidupan. Kemudian analisanya yang tajam menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang berharga dari segi ilmu Fiqh al-Sunnah dan Fiqh al-Sirah secara lebih khusus.
Kitab Zad al-Ma‘ad (Terjemahan Indonesia)
Dalam karya ini, Ibn al-Qayyim tidak menyusun semua episod Sirah berdasarkan urutan (kronologi) yang biasa dibuat oleh penulis-penulis Sirah, tetapi hanya peristiwa-peristiwa penting sahaja. Ini barangkali disebabkan pengaruh ilmu hadis yang menguasai diri beliau yang kristis dan bermetodogi, maka beliau tinggalkan episod-episod sirah yang tiada kekuatan riwayat, dan kronologi zaman yang tiada bukti. Bahkan beliau sendiri mengkritik episod-episod yang disebutkan dalam sesetengah penulisan sirah yang tiada sandaran yang jelas. Ini seperti yang disebut oleh Dr Hammam Sa`id di dalam Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah yang ditulis oleh Ibrahim al-`Ali:
“Para ahli sejarah dan penulis sirah telah tasahul (memudah-mudahkan) dalam periwayatkan. Mereka menyebut di dalam kitab-kitab mereka khabar-khabar yang terputus sanadnya (munqati’) kerana ingin menjaga disudut kesinambungan gambaran sejarah berkaitan dengan peristiwa-peristiwa tersebut. Sementara para `ulama hadis berpandukan metodologi kritis yang membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang selainnya. Sekalipun membawa kepada terputusnya gambaran sejarah atau penerimaan episod-episod secara tidak lengkap”. (Dr Hammam Sa‘id, Muqaddimah kepada Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah, m.s. 7, Jordan: Dar al-Nafais)
Oleh itu, kita dapati Ibn Qayyim teliti dalam pengambilan riwayat yang hendak dijadikan sandaran dalam karyanya ini. Umpamanya dalam bab Khitan Rasulullah s.a.w. beliau menyebut:
“Telah berbeza dalam perkara ini kepada tiga pendapat; pertama: baginda dilahirkan dalam keadaan telah dikhatankan dan riang. Diriwayatkan mengenai perkara itu hadis yang tidak sahih. Abu al-Faraj Ibn Jauzi menyenaraikan riwayat tersebut dalam kitabnya al-Maudu‘at (Senarai Hadis-Hadis Palsu). Tiada satu hadis yang thabit pun mengenai hal itu. Ia juga bukan daripada keistimewaan baginda kerana ramai orang lain yang lahir dalam keadaan telah dikhatan”. (Zad al-Ma‘ad 1/81, Beirut: Muasasah al-Risalah)
Contoh lain beliau menyebut keadaan Nabi s.a.w ketika berkhutbah:
“Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang anak panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang anak panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang disangka oleh sesetengah golongan jahil bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuat mimbar menaikinya dengan pedang, atau anak panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau anak panah”. (Zad al-Ma‘ad, 1/439).
Ertinya, membaca al-Sirah al-Nabawiyyah menerusi karya Ibn Qayyim ini dapat menyelamatkan seseorang daripada bercampur baur dengan riwayat-riwayat yang tidak benar yang biasanya banyak karya-karya kurang teliti mengenainya. Maka, membaca Zad al-Ma‘ad dapat membentuk minda kritis ke atas riwayat-riwayat Sirah. Pembaca Ibn Qayyim akan terkena tempias nilai-nilai kritis yang tinggi yang diwarisi oleh Ibn Qayyim daripada gurunya Ibn Taimiyyah r.h.
Pengajaran Dari Sirah
Kitab Zad al-Ma‘ad (Bahasa Arab)
Kitab Zad al-Ma‘ad ini barangkali merupakan kitab Fiqh al-Sirah (Kefahaman dari Sirah) yang pertama secara teratur yang ditulis. Al-Imam Ibn al-Qayyim bukan sahaja menyebut riwayat-riwayat berhubung dengan sirah Rasulullah s.a.w, sebaliknya menyebut juga pengajaran yang dapat diambil daripadanya. Apa yang istimewa pengajaran-pengajaran itu dibuat atas maklumat Sirah yang telah dianalisis olehnya.
Penguasaan Ibn Qayyim dalam menganalisis sanad dan matan menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang menggambarkan realiti dan tujuan sebenar daripada kehidupan Rasulullah s.a.w. Contohnya, ketika beliau menceritakan pakaian Rasulullah s.a.w, beliau membuat kesimpulan seperti berikut:
“Petunjuk Nabi s.a.w dalam berpakaian itu adalah yang paling sempurna, paling bermanfaat (sesuai) dan ringan untuk badan dan paling mudah untuk dipakai dan ditangkalkan. Baginda kerap memakai rida` (baju separuh yang menutup bahagian badan ke atas) dan izar (kain yang menutup separuh bahagian badan ke bawah). Ia ringan untuk badan dibandingkan yang lain. Baginda kerap memakai gamis, bahkan itulah yang paling disukai baginda. Maka petunjuk baginda dalam pakaian adalah memakai apa yang paling manfaat untuk badan. (Zad al-Ma‘ad, 4/237).
Ketajaman mindanya, juga pengalaman dakwah dan kehidupan yang dilaluinya menyebabkan peristiwa-peristiwa kehidupan rasul diulas dengan tepat dan berkesan. Umpamanya, kata beliau:
“Sesiapa yang merenung keadaan alam ini, akan melihat begitu banyak mereka yang menolong para penguasa atas tujuan-tujuan mereka yang jahat dan menolong ahli bid‘ah atas perbuatan bid‘ah mereka disebabkan untuk selamatkan diri daripada tindakan mereka. Sesiapa yang Allah berikan hidayah, ilhamkan petunjuk dan pelihara dirinya maka dia enggan untuk bersepakat dengan perbuatan yang haram dan bersabar atas permusuhan mereka. Akhirnya, bagi mereka kesudahan yang baik di dunia dan akhirat seperti yang berlaku kepada para rasul dan pengikut mereka seperti Muhajirin dan Ansar. Juga mereka yang diuji daripada kalangan para ulama, ahli ibadah, mereka yang soleh dari kalangan para pemerintah, peniaga dan selain mereka.” (Zad al-Ma‘ad, 3/15).
Demikian analisis kritis dalam memahami sesuatu peristiwa sirah. Dalam kisah Perang Khaibar umpamanya, beliau berkata :
“Sesiapa yang menganalisa Sirah dan Maghazi dengan benar-benar teliti akan nyata untuknya bahawa Khaibar itu dibuka secara kekalahan musuh. Rasulullah s.a.w menguasai keseluruhan buminya dengan pedang secara kekalahan (di pihak Yahudi). Jika ia dibuka secara perdamaian tentu Rasulullah s.a.w tidak menghalau mereka darinya” (Zad al-Ma‘ad, 3/328-329).
Bacalah karya ini, ia sangat bermanfaat dan membentuk minda yang kritis serta peka kepada keabsahan fakta dan kemunasabahan maksud di sebalik riwayat-riwayat Sirah.
No comments:
Post a Comment