Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Sunday, October 23, 2011

Nilai Ilmu dan Kehormatan Para Ilmuwan



1) Ketika saya berada di Universiti Al Bayt,di Mafraq Jordan untuk pengajian pra-siswazah, kami mempunyai seorang pensyarah yang amat diminati dan disayangi oleh para pelajar, termasuk juga pelajar-pelajar non-Muslim. Beliau adalah Dr Bahjat. Beliau disukai kerana sikap terus terang, jujur, berani dan ketegasannya di dalam menyampaikan kebenaran dan mesej Islam. Sebelum saya menyudahkan pengajian, dia pernah bercerita kepada kami bagaimana beliau telah diminta surat tunjuk sebab, dipanggil ke ibu pejabat Mukhabarat (SB) di Amman, diugut dan diberikan tekanan kerana kelantangannya.

2) Di peringkat PhD, saya telah bermukim hampir 4 tahun di Durham University di bandar Durham, UK. Banyak ilmu yang saya pelajari, dan banyak makna kehidupan yang saya tempuhi. Menariknya suasana keilmuan dan juga atmosfera keintelektualan begitu dirasakan di sini. Di dalam Universiti, para ilmuan, para professor dan para pensyarah dihormati pandangannya. Apa sahaja pandangan mereka sering mendapat tempat di media. Media di UK juga bebas, dan menjaga etika mereka di dalam hal-hal yang dibangkitkan oleh para akademik.

3) Setelah kembali mengajar di tanah air, saya melihat adanya sikap 'ketakutan' dan sindrom 'under-siege mentality' baik di kalangan pelajar mahupun sesetengah rakan pensyarah. Saya agak kurang memahami sebabnya kerana telah 4 tahun tidak berada di kampus tanah air. Namun, hari ini baru saya faham mengapa mereka bersikap demikian. Rupanya nilai ilmu dan kehormatan para ilmuan terletak pada penilaian ahli politik yang korup di dalam rejim yang berkuasa. Pendapat ilmuwan tidak lebih mulia berbanding salakan pengampu dan pembodek yang tidak bermaruah. Pendapat ilmuwan juga tidak bernilai di hadapan fitnah dan adu domba media yang tidak beretika.

4) Akhirnya saya terfikir, apakah di bumi Islam tiadanya keadilan? Apakah ilmu dan ilmuwan hanya dihormati di bumi kafir? Lebih malang lagi, jika yang berjenama Islam itu adalah sebuah gedung ilmu, tetapi tidak memberikan kehormatan kepada ilmu dan ilmuwan...apakah nilai 'Islam' pada namanya? Apakah yang 'bukan Islam' itu lebih baik, kerana lebih profesional, lebih menghormati akademik, malah lebih bersikap adil dan lebih buta politik.

5) Maka, terjawablah kini mengapa menara gading-menara gading di negara-negara Islam tidak mendapat ranking dan juga prestij di dalam dunia. Jangan salahkan orang lain, tetapi tunding jari ke muka sendiri. Terimalah hakikat: politik primitif, ahli politik yang kurap dan juga rejim yang zalim yang tidak menghormati ilmu dan para ilmuwanlah penyebab utama kemunduran menara gading-menara gading di negara-negara umat Islam!

Dr Maszlee Malik
UIAM

No comments:

Post a Comment

Popular Posts