Saya
sudah tiba dan duduk di persimpangan antara Jalan TAR dan Jalan Tun
Perak sejak jam 9 pagi. Kedudukan saya amat hampir dengan lokasi TITIK
di tengah-tengah simpang empat tempat di mana para pemimpin BERSIH
berucap. Suasana amat aman. Ada orang berjual beli. Ada juga menawarkan
khidmat mengutip botol air mineral dan minuman. Dalam kepanasan yang
luar biasa, ada yang mengagihkan secara percuma tuala Good Morning.
Ramai yang sangat nak tahu apa yang berlaku, tetapi apabila ada sahaja
seseorang berkata DUDUK, majoriti duduk kerana tema demo kali ini pun
ialah DUDUK untuk BANTAH.
Ada pakcik dari Kemaman duduk
sebelah saya, dia tanya Cina depan saya, macam mana nak cakap DUDUK
dalam bahasa Cina. Budak muda itu beritahu perkataannya dan pakcik dari
kemaman tu jerit-jerit dalam bahasa Cina. Budak muda depan saya itu
ketawa dan mengangkat tangan tanda suka.
Cuaca amat panas, kami
keletihan tetapi terus sabar kerana menunggu ucapan pemimpin-pemimpin
BERSIH mengambil tempat. Ada ramai yang berucap. Malah ada beberapa
pimpinan sebelum DSAI sudah pun bertanya adakah patut kita masuk ke
Dataran Merdeka. Ramai yang bersorak masuk! masuk! Tetapi tiada siapa
yang masuk. Sebab, semua mengikut arahan yang diberikan. Hatta pimpinan
BERSIH kata, jangan baling botol apabila trak polis melintas di
tengah-tengah kita (beberapa kali), itu pun dipatuhi oleh orang ramai.
Selepas DSAI tiba dan berucap, kami sampai kepada ucapan bahawa BERSIH
sudah selesai kerana berjaya mencapai matlamat dengan jumlah kehadiran
yang begitu besar.
Semasa itu ramai yang berdiri dan tidak
lagi duduk. Kami tidak nampak apa yang berlaku sekitar 20 meter daripada
kami kerana suasana amat bising. Majoriti tertanya-tanya adakah Dataran
Merdeka dibuka? Adakah ia provokasi? Sebabnya semua maklum yang majlis
dah selesai. Semasa bertanda tanya itu, seorang peserta yang OKU pengsan
dan dibawa keluar ke tepi dalam kesesakan yang amat itu. Semasa saya
menoleh ke peserta OKU itulah, water cannon mula disemburkan dan kami
berpaling daripada arah Dataran, berpusing ke belakang untuk mengelak.
Tambahan pula gas pemedih mata sudah mula ditembak.
Saya
tersedut terlalu banyak gas dan mengalami beberapa minit ketidak upayaan
bernafas. Lendir meleleh dari mulut dan hidung serta mata. Saya
sedar-sedar saya sudah berada di dalam kolam landskap DBKL lalu segera
mengambil peluang membasuh muka dengan air itu. Kekurangan oksigen
kerana sukar menarik nafas menyebabkan saya terasa seperti mahu
membiarkan diri pengsan kerana sudah tidak boleh bernafas lama. Tetapi
saya takut terjatuh ke dalam kolam. Saya kuatkan semangat dan duduk di
bawah air pancut untuk mengurangkan kesan dan semasa itulah saya
tersedar bahawa pada masa itu hanya tinggal saya bersama seorang
sahabat, 3 orang makcik muslimah kita dan seorang pakcik (usia dalam
50'an belaka) serta seorang perempuan cina tua. Juga seorang lelaki yang
sedang 'berenang' dalam kolam cetek itu. Kami dikepung polis dan FRU,
dimaki dan dipaksa keluar daripada kolam. Semasa itu saya pasrah dan
menerima hakikat saya ditangkap kerana sepasukan besar polis mengepung
kami. Saya dan rakan serta makcik2 tu keluar dari kolam bersama
tengkingan polis. Tangan saya dipegang oleh anggota FRU dan saya
mengagak bahawa saya sudah 'jatuh' ke tangan mereka.
Namun
syukur Alhamdulillah saya sempat membuang baju kuning. Yang tinggal
adalah baju putih bersama rain breaker terikat di pinggang. Saya dan
rakan berdiri kebingungan di tengah-tengah simpang Jalan TAR dan Jalan
Tun Perak. Tidak pasti hendak ke mana kerana di keliling kami semuanya
polis yang sedang menggila. Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian biasa
menyergah saya bertanya, "are you a cameraman?" beberapa kali.
Saya tidak menjawab tetapi hanya memberikan isyarat talk to my hand, sebab saya sudah tidak mampu bercakap.
Ketika itu memang hanya mampu bertawakkal. Saya mengajak sahabat saya
berjalan perlahan-lahan menyusuri Jalan Tun Perak ke arah Masjid Jamek.
Ketika itu saya amat bersyukur kepada Allah kerana terasa sungguh ajaib
apabila tiada seorang polis pun menahan kami berdua walaupun di
sekeliling kami mereka sedang memukul orang, menembak canister dan
menjerit-jerit kemarahan.
Akhirnya saya berjaya bergabung
dengan orang ramai di sekitar kawasan Masjid India. Saya teruja melihat
banyak kedai memberi perlindungan kepada orang ramai di dalam premis
mereka. Sebahagian menegur kami yang basah kuyup dan memberi garam.
Blackberry gagal diselamatkan. Ia paling merisaukan saya kerana jika
saya ditangkap, nombor telefon lawyer ada di dalamnya dan phone itu
sudah menemui ajal. Usaha untuk keluar daripada kawasan Masjid India itu
juga amat sukar kerana selepas lebih satu jam pertembungan tercetus di
Dataran Merdeka, polis masih aktif menangkap orang ramai. Saya beredar
daripada lokasi kejadian pada jam 5:45 melalui LRT Damai.
Kesimpulan daripada cerita yang panjang lebar ini, kami memang berada
dalam suasana aman sehingga majlis diisytiharkan bersurai. Tiba-tiba di
hujung itu keganasan tercetus. Usahkan yang di rumah. Saya yang hanya 50
meter daripada kawat duri itu pun tidak jelas pada menentukan siapa
yang mencetuskannya. Hanya video rakaman detik penting itu, dan mereka
yang berada di situ sahaja yang boleh menceritakannya.
Di
rumah, saya uruskan diarrhea, sakit badan dan mata, tanpa sedikit pun
rasa kesal, malah gembira menyertai sebuah perjuangan melakar sejarah
perubahan Negara. Saya akan teruskan momentum BERSIH 3.0 dengan segala
kemahiran yang saya ada, terutamanya pada mengusahakan Revolusi Mental.
We should not let schooling interfere our young generation's education.
Allahu Akbar wa Lillaahi al-Hamd!
Apakah demonstrasi ini manhaj Salaf atau manhaj Khawarij? Di dalam kitab muktabar ulama salaf manakah yang dianjurkan rakyat berdemonstrasi menentang pemerintah?
Fahami dahulu tuntutan BERSIH sebelum membuta tuli membuat konklusi. Tentangan timbul di pihak pemerintah. Di dalam kitab mana pula pemerintah layak menzalimi rakyatnya yang cuba bersuara untuk perubahan secara aman?
Apakah demonstrasi ini manhaj Salaf atau manhaj Khawarij? Di dalam kitab muktabar ulama salaf manakah yang dianjurkan rakyat berdemonstrasi menentang pemerintah?
ReplyDeleteFahami dahulu tuntutan BERSIH sebelum membuta tuli membuat konklusi.
ReplyDeleteTentangan timbul di pihak pemerintah.
Di dalam kitab mana pula pemerintah layak menzalimi rakyatnya yang cuba bersuara untuk perubahan secara aman?