Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Thursday, October 1, 2009

Pilihanraya - Bijak Memilih Pemimpin

Saya undi calon yang paling ringan mudarat - Dr Mohd Asri ( Mufti Perlis)
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2008(Harakahdaily) - Sebagai pengundi Parlimen Permatang Pauh, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin mempunyai pandangan tersendiri dalam memilih calon yang harus diangkat sebagai pemimpin dan Ahli Parlimen pada 26 Ogos akan datang.
Ketika dihubungi Harakah baru-baru ini, Asri menjelaskan soal undi bukanlah merupakan semudah pertandingan 'gores dan menang' kerana ia membabitkan harapan untuk membuat perubahan kepada negara di samping mahu agama Islam dimartabatkan sebaiknya.


"Saya pilih calon yang paling ringan mudarat kepada masyarakat.
"Ini kerana landskap politik negara semakin mengelirukan dan mengaburi banyak pihak sehingga persaingan tertumpu kepada keburukan akhlak pemimpin kedua-dua belah pihak," katanya yang kesal dengan senario yang berlaku.
Kata Asri lagi politik sepatutnya untuk memastikan siapa yang mempunyai idea yang terbaik membangunkan negara dan Islam namun yang terjadi kini adalah memburuk-burukkan antara satu sama lain demi mencapai survival politik parti masing-masing.
"Masyarakat gelisah melihat corak dan politik sekarang kerana ianya lebih kepada budaya 'londeh-melondeh' keburukan sehingga ianya tidak menunjukkan kematangan berfikir dan kebebasan untuk melahirkan pandangan yang berbeza.
"Sepatunya kita mesti raikan perbezaan pendapat dan menghargai kebebasan pemikiran dan budi bahasa pemimpin yang baik daripada memburukkan akhlaknya," katanya.
Tidak semestinya pandangan berbeza membawa maksud, seseorang pemimpin itu musuh atau menentang satu pihak yang lain tetapi bertujuan untuk memantapkan perjuangan membela nasib rakyat dan agama Islam itu sendiri, kata Asri.
"Jika saya beralih pandangan dalam sesuatu isu, ada yang tuduh saya pengampu kerajaan atau menyokong pembangkang sedangkan niat saya untuk memperbetulkan keadaan demi Islam dan rakyat. Ini tandanya politik pemikiran yang 'bankrap' yang harus dimerdekakan," katanya berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya pada hari mengundi nanti.
Baginya situasi gawat yang berlaku ini memerlukan pedoman dan petunjuk daripada Allah kerana sebarang kekeliruan masyarakat akan menyebabkan sesuatu keputusan dibuat dengan tidak tepat.
"KeADILan mempunyai asasnya sendiri malah Umno juga mempunyai sejarah di Permatang Pauh, masing-masing akan dinilai oleh pengundi di situ.
"Pesan saya jangan kita cuba ghairah menggugurkan satu 'hantu' kemudian mewujudkan satu lagi 'hantu' yang baru bahkan akan lebih merosakkan masyarakat dan negara," katanya.
Beliau sebelum ini pernah merakamkan panduan memilih dan menyokong seseorang melalui buku tulisannya bertajuk ' Golongan Yang Haram Disokong.' Buku tersebut ditulis sebelum beliaumenjadi Mufti Perlis.
Katanya dalam buku itu bahawa undi mempunyai nilai besar dalam Islam sehingga ada yang menyangka apalah kaitan antara undian yang diberikan kepada seseorang dalam pilihan raya dengan kedudukannya di hari akhirat.
"Sesungguhnya undi memainkan peranan yang sama dengan sepatah kalimat bahkan undi lebih besar dari sepatah kalimat yang membolehkan seseorang pemimpin meneruskan atau dihentikan kezalimannnya.
"Dengan itu undi yang dilakukan oleh seseorang dalam negara demokrasi ini diperhitungkan Allah pada hari akhirat kelak. Hendaklah seseorang muslim membuat perhitungan yang betul dalam hal ini," katanya dalam buku tersebut yang boleh dijadikan panduan kepada para pengundi ketika pilihan raya kecil 26 Ogos nanti.


Lagi Petikan dari buku ' Golongan Yang Haram Disokong'
Di zaman Nabi Muhammad SAW dahulu para sahabat cukup takut kalau diangkat jadi pemimpin kerana jadi pemimpin merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang cukup berat. Jadi pemimpin atau ketua bukan boleh suka-suka atau untuk bermegah-megah seperti yang ebrlaku hari ini.
Memilih pemimpin bukan kerana janji yang diberikan, bukan kerana ia kuat berkerja dan bukan kerana ia memberi pelbagai imbuhan. Memilih pemimpin adalah kerana prinsip, falsafah dan nilai yang mereka perjuangkan untuk rakyat. Kuasa adalah amanah. Dan kuasa adalah tanggunjawab.
Hak mengundi bukan HANYA kerana tanggungjawap kita sebagai rakyat. TETAPI mengundi adalah sama maksudnya anda memberi IZIN atau anda MENYOKONG apa yang dilakukan oleh pihak yang anda undi. Jika pihak yang anda berikan undi adalah pihak yang pecah amanah, korupsi, menindas, sombong, dan pelbagai lagi, maka mengundi mereka SEBENARNYA anda MEMBERI IZIN kepada mereka untuk melakukan perbuatan itu.
“Memberi undi adalah anda melakukan apa yang terdaya untuk diri anda. Paling lemah anda mendoakan mereka yang zalim untuk berubah. Dan mengundi adalah satu cara anda melakukan daya yang anda mampu untuk mengelakkan kezalimannya.Dengan itu undi yang dilakukan oleh seseorang dalam Negara demokrasi itu diperhitungkan Allah swt pada hari akhirat kelak. Hendaklah seseorang muslim membuat perhitungan yang betul dalam hal ini.”

Kutipan dari Buku “Golongan Yang Haram Disokong” - oleh Mohd Asri Zainal Abidin (Bekas Mufti Perlis)



No comments:

Post a Comment

Popular Posts