Thursday, May 27, 2010
Hukum Ulama Membisu Dari Kemungkaran
Dari drmaza.com
Soalan: Yang saya kasihi Dr Asri, maaf, saya tidak puas hati dengan sebahagian yang bergelar ulama dalam masyarakat kita. Ramai yang mendapat jawatan dan gaji yang besar, tapi membiarkan berbagai kemungkaran berlaku. Mereka tidak berani dengan pihak yang melantik dan bayar gaji mereka. Bagi saya, mereka tidak buat tugas. Mereka memilih-milih isu untuk bercakap. Maaf kalau saya kata jaga periuk nasi. Apakah kerana mereka ulama, mereka tetap tinggi di sisi Allah? Sedangkan Nabi bersabda: “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu”. Harap Dr Asri dapat ulas.
Fauzan, Ipoh Perak.
Jawapan Dr MAZA:
Terima kasih atas soalan dan keprihatinan saudara terhadap barah yang menimpa umat Islam dalam masyarakat. Hakikatnya, bukan sahaja golongan ulama, tetapi setiap individu muslim wajib menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Namun, bagi golongan ulama mereka mempunyai amanah yang lebih berat. Ini kerana ilmu yang ada pada mereka sepatutnya menjadikan mereka lebih ke hadapan dalam membela agama Allah. Soalan saudara saya ulas seperti berikut:
1. Ungkapan “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu” yang saudara sebut, bukanlah hadis yang sah. Walaupun ia terkenal, namun tiada riwayat yang sahih, ataupun daif dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka, berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah S.A.W.
2. Allah Maha Adil. Islam tidak pernah menyatakan manusia dinilai berdasarkan gelaran mereka. Sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab yang ditunaikan. Demikianlah juga para ulama. Bahkan Al-Quran tidak pernah menyamakan sesiapa pun dengan anjing melainkan ulama yang gilakan dunia sehingga membelakangkan ilmu agamanya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Maka ulama tiada nilainya jika menyembunyikan kebenaran. Bahkan Allah samakan mereka dengan anjing!
3. Seseorang yang memenuhi poket dengan gaji yang besar tetapi menyembunyikan atau mendiamkan diri dari menegakkan kebenaran sedangkan dia mampu, itu adalah dosa yang amat besar. Allah menyifatkan habuan dunia yang diperolehi itu sekadar memenuhi perut dengan neraka. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).
4. Beberapa buku sejarah menyebut satu kisah yang menarik untuk direnungi. Pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri. Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada antaranya ada yang menyanggahi kebenaran.
Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.
Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”.
Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”.
Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”.
Kata gabenor: “Aku mahu pendapatmu”.
Kata al-Hasan al-Basri:
“Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan (Khalifah) Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah. Ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).
5. Masyarakat Islam hendaklah diberikan kesedaran bahawa tujuan pengajian agama bukan untuk mendapat habuan dunia tetapi untuk menegakkan ajaran Allah dan rasulNya. Jika pelajar agama atau ibubapa yang menghantar anak mempelajari agama meletakkan dunia sebagai matlamat, maka ramailah ulama berkepentingan akan terus muncul dan rosaklah masyarakat. Justeru, Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).
6. Seorang tabi’in yang terkenal dengan soleh dan warak Salamah bin Dinar pernah berkata di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik:
“Telah berlaku di mana para umarak (pemerintah) mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umarak menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita ini lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29).
Demikianlah, kita dapati sesetengah golongan agama boleh dijadikan dagangan politik. Puncanya, kerana menghina diri di hadapan orang berkuasa.
7. Dosa ulama yang menyembunyikan kebenaran, atau menyelewengkannya tidak dapat ditebus melainkan dengan menerangkan semula hakikat yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya):
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).
Marilah kita pohon perlindungan dengan Allah dari membelakangi agamaNya.
** Disiarkan dalam Sinar Harian pada 28 Mei 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment