Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Thursday, July 29, 2010

Merumuskan Kembali Demokrasi Islam

Oleh Dr Ahmad Farouk Musa (dari al-ahkam.net)

Di terjemahkan daripada artikel asal “Reformulating Islamic Democracy” oleh Edry Faizal Eddy Yusof, Fellow Penyelidikan, Islamic Renaissance Front.

Perkembangan di dalam dunia Islam semenjak revolusi Iran pada tahun 1979, jelas menunjukkan hubungan antara pendemokrasian dan kebangkitan Islam adalah suatu hubungan yang kompleks. Namun ia merupakan elemen yang sangat penting dalam dinamika politik dunia umat Islam kontemporari. Bagi kebanyakan orang di Barat, konsep “Demokrasi Islam” barangkali adalah suatu paradoks yang diragui.

Memandangkan demokrasi merupakan suatu konsep yang diperdebatkan; adalah penting untuk memahami persepsi yang terdapat di dalam gerakan kebangkitan Islam semasa terhadap demokrasi. Di dalam dunia Islam, perdebatan ini memberikan cabaran dalam mentakrifkan demokrasi Islam bagi memenuhi tuntutan keterlibatan politik yang semakin meningkat; serta keinginan untuk mewujudkan bentuk kerajaan Islam yang jelas lagi asli.

Di dalam sejarah Islam, terdapat beberapa gambaran dan konsep penting, yang membentuk pandangan kontemporari tentang bagaimanakah sepatutnya aras rupa suatu masyarakat madani yang berasaskan keadilan.


Tauhid

Tanpa menghiraukan perbezaan pandangan dalam mentakrifkan demokrasi Islam, konsep teras utama yang diterima oleh hampir kesemua tradisi di dalam Islam adalah konsep Tauhid yang secara ringkasnya ditakrifkan sebagai, “keyakinan dan kesaksian bahawa tiada yang disembah melaikan Tuhan, dan dalam teras pengalaman agama Islam, Tuhan yang Maha Esa yang kehendak-Nya adalah imperatif dan menjadi pembimbing kehidupan manusia.”

Melalui kerangka ini, boleh dihujahkan bahawa kedaulatan mutlak Tuhan tidak memungkinkan wujudnya sebarang hirerki bagi manusia. Hal ini ialah kerana semua manusia adalah sama di sisi Tuhan. Oleh itu, Tauhid memberikan pengertian dan asas teologi yang menekankan kesamarataan di dalam sistem politik.
Seawal zaman Muawiyah, iaitu pemerintahan selepas tamatnya era al-Khilāfah ar-Rāshidah, sistem berbentuk hirerki dan kediktatoran telah dikecam sebagai tidak Islamik.

Maka Tauhid telah menjadi asas untuk melangkaui sekadar pengakuan kesamarataan, kepada seruan untuk menumbangkan para diktator yang menindas. Di Iran, Ali Syari’ati di dalam bukunya yang penting On the Sociology of Islam menyatakan di dalam “pandangan sarwa Tauhid, manusia hanya takutkan satu kuasa sahaja, menjawab di hadapan satu hakim sahaja…Tauhid mengurniakan manusia kemerdekaan dan darjat. Penyerahan kepada Dia sahaja - norma paling agung bagi semua makhluk- mendorong manusia untuk memberontak menentang semua kuasa palsu.

Dalam konteks ini, revolusi Iran boleh dikatakan sebagai “Revolusi Tauhid”. Sekalipun Tauhid mungkin boleh digunakan sebagai hujah kepada kerajaan yang tidak demokratik, seperti yang dapat dilihat di dalam sepanjang sejarah Islam; Tauhid juga mewujudkan dasar kepada idealogi kesamarataan dan revolusi menentang sebarang pemerintahan kuku besi.

Perumusan Demokrasi Islam 

Di dalam lapangan teori politik, terutamanya berkaitan demokrasi, sarjana Muslim dan para aktivis Islam berada di dalam zaman transformasi yang utama. Ramai percaya bahawa proses kebangkitan Islam serata dunia dan pendemokrasian mampu untuk saling melengkapi.

Seorang cendekiawan yang menyerlah dalam mempromosikan demokrasi Islam ialah Syiekh Rachid Ghannouchi, seorang aktivis politik Islam Tunisia terkenal yang kini hidup dalam buangan di Britain.
Ghannouchi merupakan mantan ketua Hizb an-Nahdah, Parti Renaissance. An-Nahdah ditubuhkan pada 1988 selepas Ghannouchi dibebaskan daripada penjara kerana aktivisme politik beliau bersama Harakah al-Ittijah al-Islami, Gerakan Kecenderungan Islam, yang ditubuhkan pada awal 1981. Di dalam kesunyian kamar penjara inilah, Ghannouchi memperoleh banyak masa untuk merenung dan mengkaji idea Muhammad Abduh – yang pernah dua kali melawat kota Tunis dan mempunyai ramai kenalan di sana– serta pelbagai lagi cendekiawan Islam termasuklah Ibn Ashur dan Malik Bennabi.

Malik Bennabi, seorang cendekiawan Algeria; yang Ghannouchi anggap sebagai tiang pemikiran Islam dan penggerak kebangkitan semula rasionalisme Ibn Khaldun, mempunyai pengaruh yang besar terhadapnya. Tanggapan Ghannouchi terhadap rasionialisme Islam ialah dualisme akal dan wahyu sebagai sumber ilmu. Hubungan diantara wahyu dan akal adalah seperti mata dan cahaya; kewujudan salah satunya tidak bermakna tanpa yang satu lagi.

Apakah terdapat demokrasi dalam Islam?

Ketika berada di dalam penjara ini jugalah, Ghannouchi menterjemahkan syarahan Bennabi yang berbahasa Perancis ke dalam bahasa Arab dengan tajuk Ad-Dimuqratiyah fil-Islam (Demokrasi dalam Islam). Di dalam karya inilah Ghannouchi menjumpai jawapan kepada soalan “Apakah terdapat demokrasi di dalam Islam?”
Menurut Ghannouchi, Bennabi menekankan yang jawapan kepada soalan sedemikian adalah tidak semestinya melalui peraturan-peraturan fiqh yang disimpulkan daripada Qur’an atau Sunnah. Tetapi jawapannya boleh diperolehi daripada pemahaman menyeluruh terhadap intipati ajaran al-Qur’an itu sendiri.

Model yang Islamik bagi demokrasi tidak hanya terhad untuk memberikan manusia hak politik dan sosial, tetapi turut memberikannya nilai yang mengatasi setiap nilai politik dan sosial. Nilai yang dijelaskan di dalam Qur’an ayat 70, surah 17:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam”

Ayat ini seakan-akan diwahyukan untuk meletakkan dasar bagi model demokratik yang lebih unggul daripada model-model lain. Yang mana elemen keTuhanan diambil kira dan tidak semata-mata aspek manusia dan sosial seperti mana model-model lain. Oleh itu, suatu bentuk pengkudusan dikurniakan keatas manusia; mengangkat nilainya mengatasi apa jua nilai-nilai yang mungkin diberikan model-model lain.

Al-Hurriyah al-‘Ammah – Kebebasan Awam

Setelah menterjemah Ad-Dimuqratiyah fil-Islam Bennabi, Ghannouchi membuat keputusan untuk menulis buku berkenaan kebebasan. Diterbitkan pada 1993, Al-Hurriyah al Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Awam di dalam Negara Islam) dikatakan sebagai salah satu buku terpenting dalam pemikiran politik Islam kontemporari.

Di dalam buku ini, Ghannouchi melihat demokrasi sebagai kesudahan evolusi sejarah yang panjang. Beliau berhujah bahawa Eropah mendapat manfaat daripada tamadun Islam dalam mencipta konsep nilai sosial yang merupakan suatu pencerahan, yang hasilnya merupakan kemunculan demokrasi liberal. Dalam erti kata lain, demokrasi adalah versi Barat kepada shūra Islam.

Pemerintah umat Islam selepas era al-Khilāfah ar-Rāshidah telah menamatkan sistem shūra dalam memilih pemerintah. Penggantungan itu berterusan sehingga zaman moden, ketika negara-negara lain mendahului umat Islam dalam menghormati kebebasan bersuara dan menjamin kebebasan politik. Secara metafora, ketika pokok shūra layu di tanah gersang Islam kerana tiada yang menjaganya, benihnya jatuh tersemai di atas tanah masyarakat Eropah sewaktu era Renaissance lalu tumbuhlah pohon demokrasi membesar dan berbunga dengan penuh kesuburan.

Ijtihad

Tema utama dalam pemikiran Ghannouchi adalah demokrasi itu serasi dengan Islam, dan umat Islam perlu menggabungkannya ke dalam pemikiran politik mereka bagi menginstitusikan konsep shūra. Ghannouchi menegaskan apa yang penting, nilai-nilai demokrasi yang diwarisi seperti mana yang digambarkan ketika zaman Rasulullah SAW dan al-Khilāfah ar-Rāshidah dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip asasnya, bukannya berdasarkan model.

Beliau menyatakan yang permusuhan sesetengah Islamis terhadap demokrasi adalah disebabkan kurangnya kefahaman berkenaan sifat Islam, serta perkembangan sejarah pendekatan umat Islam dalam persoalan tadbir urus. Beliau mengenengahkan idea bahawa Islam itu termasuklah konsep faraghat atau ruang untuk diisi manusia, menurut keperluan dan tuntutan zaman dan tempat.

Ghannouchi mendapati bukti kewujudan faraghat di dalam catatan tindak tanduk Rasulullah SAW dan para sahabat yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Beliau membezakan antara apa yang disebutkan sebagai ad-deeni (keagamaan, suci atau mutlak) dan as-siyāsi (politik, duniawi atau relatif). Tiada pertikaian timbul di kalangan umat Islam awal tentang ad-deeni, iaitu dalam hal ‘aqīdah atau‘ibādah. Walaubagaimana pun terdapat perbezaan pandangan dikalangan mereka dalam hal berkaitan as-siyāsi ;iaitu dalam hal mentadbir urusan politik dan mengenai kelayakkan dan kuasa pemerintah.

Ghannouchi menukilkan daripada seorang sejarawan Muslim yang mahsyur, Shahrastani, meyatakan bahawa dalam persoalan khilāfah atau kuasa, umat Islam menghunuskan senjata mereka, berperang dan menumpahkan darah antara satu sama lain.

Jelas beliau lagi, sekiranya Islam adalah wahyu Tuhan yang terakhir kepada manusia, maka sepatutnya tiada perskripsi yang tetap untuk hal-hal yang sifatnya berubah-rubah. Dan hasil daripada kewujudan faraghat, umat Islam dapat melaksanakan ijtihād bagi memikirkan penyelesaian yang sesuai untuk masalah yang timbul. Hanya kerana disebabkan itulah, Islam sesuai untuk setiap masa dan tempat. Beliau menegaskan adalah naif dan dangkal untuk menyangka bahawa betapa perlunya khilāfah dikembalikan bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan suatu set ahkām (hukum-hukum). Jika begitu, apakah peranan yang tinggal buat ummah, buat ijtihād, dan buat ‘aql (akal) sekiranya Islam dilihat merangkumi, atau menyediakan penyelesaian kepada semua keperluan?

Ijtihād ketika zaman Rasulullah SAW

Untuk mengulangi idea beliau, Ghannouchi merujuk kepada perang pertama di dalam sejarah Islam iaitu perang Badr. Rasulullah SAW mengarahkan pasukannya untuk mengambil kedudukan yang mana akan membuatkan telaga air berada diantara mereka dan tentera musuh. Seorang sahabat bernama al-Habbab Ibn al-Munzir bertanya apakah kedudukan tersebut merupakan panduan daripada Tuhan atau sekadar ar-rā’iy wal-harb wal-makīdah (pandangan dan strategi peperangan). Rasulullah SAW menjelaskan bahawa pandangan tersebut berdasarkan ijtihād peribadi beliau.

Sahabat yang mempunyai pengalaman menjadi komander perang menyatakan bahawa kedudukan tersebut tidak strategik, dan adalah lebih baik untuk menggerakkan tentera melepasi kawasan telaga supaya musuh tidak mempunyai akses kepada air. Rasulullah SAW bersetuju dan rancangan sahabat itu dilaksanakan.
Sebenarnya, yang ingin ditonjolkan oleh Ghannouchi adalah Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW berkaitan ad-deeni telah lengkap asas dan komponen-komponen strukturnya. Dalam perkara-perkara yang selain daripada itu, para sahabat tidak teragak-agak untuk mengambil kawasan kedua faragh (ruang), yang mana mereka juga turut melaksanakan ijtihād seandainya diperlukan. Baik ketika Rasulullah SAW masih hidup atau selepas kewafatan Baginda. Maknanya, komponen struktur berkaitan as-siyāsi ditinggalkan buat generasi seterusnya untuk memikirkan dan mengimprovisasi.

Jalan menuju Demokrasi Islam

Matlamat Ghannouchi yang utama adalah untuk menekankan keperluan demokrasi bagi membuktikan kesesuaianya dengan Islam dan untuk menganalisa rintangan-rintangan yang menghalang kejayaannya di dunia umat Islam. Bagaimanapun, demokrasi mempunyai ramai musuh. Baik di peringkat domestik mahupun diperingkat antarabangsa; pelbagai rintangan akan menghalang perkembangannya. Ghannouchi menekankan, disamping bergelut dengan rintangan demokrasi dari luar dunia umat Islam, adalah sama penting untuk turut bergelut menentang rintangan dalaman melalui pendidikan, pembacaan semula sejarah Islam dan mengaktifkan semula ijtihād.

Suasana politik di dalam kebanyakkan negara umat Islam hari ini membuatkan tugas Ghannouchi tidak mudah. Ghannouchi sendiri merupakan mangsa rejim yang tidak toleran waima terhadap idea yang sederhana, seandainya idea tersebut mengancam monopoli mereka terhadap kuasa.

Gerakan beliau, Hizb an-Nahdah (Parti Renaissance) diharamkan dan ahli-ahlinya diseksa atau dibuang negeri hanya disebabkan ‘jenayah’ meyeru kepada pendemokrasian. Tugas Ghannouchi masih berterusan; beliau mungkin belum tiba lagi di puncak sumbangannya. Hidup dalam buangan di Britain, meskipun merupakan suatu penyeksaan nurani, diharap akan membuka ruang untuk mematangkan pemikiran politik dan idea beliau; demi kemanfaatan kepada seluruh ummah di zaman globalisasi ini.

Artikel asal boleh dirujuk di sini: http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=5750

No comments:

Post a Comment

Popular Posts