Monday, April 30, 2012
Saturday, April 7, 2012
Pencalonan Presiden Dari Ikhwan, Apakah Muslihatnya?
Dicatat oleh: Dr Maszlee Malik
Saya baru pulang dari Mesir selesai melakukan kajian tentang parti politik Ikhwan, ‘Hizb al-Hurriyah wa al-Adalah’ (FJP), parti Salafi dan juga pilihanraya presiden yang bakal menjelang. Selain mengadakan wawancara dengan para pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM), Salafi, para pegawai kempen calon-calon presiden, anggota bawahan IM dan juga orang ramai, saya juga berkesempatan melihat lebih dekat suasana politik Mesir bersama dengan rakan-rakan jurnalis di sana.
Apa yang menarik, perkembangan politik Mesir pasca-Revolusi 25 Januari bukanlah seperti yang ditanggapi oleh kebanyakan pemerhati luar yang tidak berada di Mesir. Suasana politik di sana amat unik dan begitu dinamik. Demi untuk memhami dinamisme tersebut, pendapat segenap lapisan warga Mesir perlu ditelusuri agar kesimpulan yang dibuat tidak akan dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu sahaja. Apa yang lebih menarik perkembangan dan perubahan berlaku begitu pantas dan sukar dijangkakan.
Walaupun suasana ekonomi Mesir tidaklah semakin baik selepas revolusi 25 Januari, namun iklim politik di Mesir tidak dipengaruhi oleh keadaan tersebut. Walaupun suasana keselamatan, kebersihan dan juga infrastruktur di seluruh Mesir masih tidak tersusun kerana tidak terdapat sebuah kerajaan yang benar-benar dapat memulihkan keadaan Mesir, namun nikmat kebebasan yang dikecapi oleh rakyat Mesir telah sedikit sebanyak dapat melupakan mereka kepada keadaan semasa untuk melihat masa depan yang lebih cerah dan lebih menjanjikan kebaikan.
Sewaktu saya berada di sana, isu yang paling mewarnai liputan media massa dan perbualan di kafe-kafe ialah pembentukan jawatankuasa penggubalan perlembagaan. Sebagai sebuah negara yang baru bangkit dari keruntuhan rejim diktator yang lama, penggubalan perlembagaan merupakan satu yang penting dan utama. Perlembagaan yang baru amat signifikan untuk membentuk negara Mesir yang baru dan lebih menjanjikan kemerdekaan individu. Namun, hal ini juga menjanjikan persaingan di antara golongan Islamis yang mendominasi rakyat Mesir dan juga golongan liberal sekular serta Koptik yang mewakili suara minoriti. Bagi golongan Islamis yang mendomiasi parlimen (Majlis al-Sya’ab), mereka melihat perlembagaan yang mesra Islam dan menjamin kedudukan Islam adalah amat penting untuk membentuk identiti Mesir di masa mendatang. Manakala bagi golongan minoriti, identiti ‘Islam’ Mesir yang diinginkan oleh para Islamis pula merupakan mimpi ngeri bagi mereka yang inginkan Mesir baru yang lebih sekular wajahnya.
Maka, di penghujung pertembungan tersebut, ahli-ahli perwakilan yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa perlembagaan tersebut didominasi oleh golongan Islamis dari kelompok IM dan juga Salafi (48 wakil dari kesemua 100 perwakilan). Walaupun IM telah bermurah hati memberikan 10 wakil yang telah diperuntukkan kepada mereka kepada wakil liberal), namun golongan liberal dan sekular mengambil keputusan untuk memboikot jawatankuasa tersebut dan membawanya ke muka pengadilan. Tindakan tersebut diikuti pula oleh wakil dari universiti al-Azhar dan gereja Koptik yang telah dipilih khas untuk menggangotai jawatankuasa tersebut sebagai tanda protes dominasi sesetengah pihak ke atas jawatankuasa berkenaan. Melihat kepada suasana tidak stabil dan kekecohan tersebut, pihak berkuasa tentera (SCAF) mengambil keputusan menggugut IM yang merupakan suara dominan di parlimen untuk membubarkan parlimen dan meletakkan kekuasaan sepenuhnya di bawah SCAF.
Bagi para pemerhati politik di Mesir, apa yang disuarakan oleh SCAF bukanlah sesuatu yang pelik. Sememangnya semenjak awal lagi tentera tidak dipercayai oleh rakyat kebanyakan dan juga golongan revolusioner di kalangangan pemuda dan professional. Malangnya, pihak IM yang inginkan agar revolusi tidak terlepas kepada golongan bukan Islamis telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan pihak SCAF dan meletakkan kesemua harapan mereka mereka kepada SCAF. Bagi pihak revolusioner pada waktu itu, selagimanaSCAF masih berkuasa dan mengambil alih tugas presiden serta tidak melepaskan kuasa mereka kepada rakyat, maka tujuan utama revolusi tidak tercapai. Malangnya pada waktu itu dan juga sewaktu pilihanraya umum Mesir sibuk berjalan, pihak IM tidak memperdulikan kerisauan dan juga kebimbangan pihak revolusioner. IM bertambah yakin dengan temtera apabila mereka berjaya memenangi hampir separuh dari kerusi parlimen tanpa ada campur tangan dari SCAF, malah disambut baik oleh SCAF.
Walau bagaimanapun IM agak tersentak apabila parlimen yang mereka kuasai tidak berperanan sepenuhnya. Parlimen tidak berhak membuat keputusan besar, malah tidak berupaya membentuk kerajaan melalui kuasa eksekutif. Ini kerana perlembagaan Mesir memberikan kausa pembentukan kerajaan hanya kepada presiden, yang kini tugasnya diambil alih oleh SCAF. Maka pentadbiran kerajaan dan juga perjalanan negara ditentukan oleh kabinet kerajaan yang telah dilantik oleh pihak SCAF, di mana kebanyakan menteri-menteri tersebut merupakan wajah-wajah dari rejim yang lama. Hal ini bertambah parah apabila kerajaan yang berkuasa tidak menunjukkan pentadbiran yang cekap, mungkin kerana mereka sedar mereka hanyalah kerajaan peralihan sahaj dan tidak dibebankan oelh tanggungjawab. Apabila kerajaan yang dipilih tidak efisien, yang menanggungnya bukanlah kerajaan tersebut, tetapi pihak IM yang dilihat menguasai parlimen. Sebilangan besar rakyat tidak menyalahkan kerajaan, tetapi menyalahkan IM yang dilihat sebagai pilihan mereka yang majoriti di parlimen. Inilah rupanya yang dimahukan oleh pihak SCAF.
Apabila IM tersedar, ianya sudah terlambat. Kini satu persatu krisis timbul di Mesir untuk IM dan juga revolusi dipersalahkan. Krisis kekurangan bahan bakar, krisis kekurangan minyak diesel di pasaran, krisis pekerjaan, krisis industri pelancongan yang semakin parah akibat imej Mesir yang bertambah buruk di mata antarabangsa kerana masih di bawah pemerintahan tentera, krisis pelaburan, krisis keselamatan dan keamanan, malah siri pegaduhan di antara peminat bola sepak juga pun telah menjadi isu nasional serta dipolitikkan. Akhirnya mereka tersedar bahawa pihak SCAF bukanlah rakan yang jujur, dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memaksa SCAF agar memberikan sepenuhnya kuasa kepada rakyat dan kepada parlimen. Namun, pihak SCAF tetap enggan dan melenggahkannya sehinggalah kepada pilihanraya presiden, selaras dengan persetujuan IM di awalnya yang begitu percayakan bahawa SCAF akan melepaskan kuasa mereka selepas presiden dipilih.
Di sebalik kegawatan ini, pihak parlimen, berdasarkan kuasa penggubalan undang-undang yang mereka ada, meneruskan agenda penggubalan perlembagaan yang baru selaras dengan mandat yang telah rakyat berikan kepada mereka. Maka, di sinilah pihak IM dan golongan Salafi mula ingin menunjukkan kekuatan mereka kepada rakyat dan pihak SCAF. Di dalam penubuhan jawatankuasa penggubalan perlembagaan, kedua-dua pihak ini telah mendominasi kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan serta mengundang kritikan pihak minoriti. Pihak SCAF yang sememangnya menunggu kesempatan seumpama itu telah menangguk di air yang keruh dengan mengancam untuk membubarkan parlimen dan meletakkan negara sepenuhnya di bawah kekuasaan tentera.
Sewaktu saya masih berada di Mesir, pencalonan Ir. Khayrat Shater masih lagi belum muktamad dan masih lagi sekadar cadangan dan khabar angin. Pada waktu itu, kelihatan majlis tertinggi IM, iaitu Maktab Irshad dan juga Majlis Shura IM yang diwakili oleh perwakilan IM dari seluruh Mesir bersidang dengan begitu kerap sekali. Ini dapat dilihat ketika kunjungan saya sebanyak tiga kali ke ibu pejabat bari pertubuhan tersebut di Moqatam, Kaherah. Di peringkat parti juga, parti milik mereka, FJP juga tidak kurang sibuknya. Hal ini timbul setelah pihak SCAF yang sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan IM sewaktu dan selepas pilihanraya parlimen berlangsung telah menukar sikap mereka untuk berkonfrantasi dengan IM. Hal ini timbul setelah IM menyedari bahawa pihak tentera tidak mahu melepaskan kuasa mereka dengan membenarkan parlimen membentuk kabinet baru unutk meneraju kerajaan Mesir seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Walaupun pada asalnya, IM berjanji kepada rakyat Mesir untuk tidak meletakkan calon mereka di dalam pilihanraya presiden yang bakal menjelang, namun mereka terpaksa melanggar janji tersebut. Demi menyelamatkan negara Mesir dari terus dikuasai oleh tentera, mereka telah mencalonkan Ir. Khayrat Shatir pada penghujung bulan Mac. Pengumuman telah dilakukan oleh Murshidul Am Ikhwan sendiri, iaitu Dr Mohammad Bade’. Hal ini telah memeranjatkan banyak pihak, termasuk dari kalangan ahli IM sendiri. Walaupun majoriti ahli IM akan mengambil sikap taat dan patuh kepada kepimpinan mereka, namun sebilangan besar mereka terpkasa melakukannya dengan hati yang berat. Melalui wawancara yang telah saya lakukan bersama anggota-anggota IM samada dari kalangan pemuda, kepimpinan di peringkat pertengahan, mahupun dari kalangan professional, kebanyakan mereka secara peribadi lebih memilih Dr Abul Futouh untuk menjadi presiden Mesir. Kabanyakan dari golongan muda IM sememangnya meminati dan juga mengkagumi Abul Futouh yang merupakan seorang pemimpin politik berkarismatik semenjak zaman beliau menjadi pelajar universiti di tahun 70’an lagi samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.
Bagi ramai para pengkaji politik Mesir, tindakan IM ini hanya akan mengundang reaksi dari pihak non-Islamis untuk bersatu dan mendokong Amru Mousa atauun wakil dari pihak SCAF, iaitu Omar Suleyman. Ramalan ini Nampak ada asasnya memandangkan undi rakyat kepada calon Islamis akan terbagai kepada tiga calon besar, iaitu Hazem Abu Ismail yang begitu popular di kalangan golongan Salafi dan juga orang ramai dengan jentera kempen dan juga imej bapanya sebagai mantan ahli politik Ikhwan dan ahli parlimen Mesir yang terkenal; Dr Abul Futouh yang mendapat sokongan kebanyakan pemuda; dan juga Shater yang bakal mendapat sokongan padu dari anggota Ikhwan. Manakala Mousa atau Omar pula akan didokongi penuh oleh pihak sekular, pihak koptik dan juga pihak liberal dan SCAF. Berdasarkan senario ini, ramai pemerhati politik Mesir merasakan tindakan IM ini tidak tepat pada masanya.
Ada juga tuduhan liar mengatakan bahawa apa yang berlaku adalah merupakan pakatan di antara IM dengan pihak SCAF. Teori konspirasi ini ditimbulkan oleh sesetengah golongan jurnalis di MEesir dan juga segelintir golongan revolusioner yang tidak berpuas hati dengan sikap IM yang begitu lunak dengan tentera serta tidak mengambil kira pengalaman mereka diperdayakan oleh pihak tentera di bawah pimpinan Gamal Abdul Naser pada tahun 1954 dahulu. Namun tuduhan ini terlalu sukar untuk diterima memandangkan hubungan IM dengan SCAF begitu keruh dan diketahui umum ianya ibarat retak menanti belah. Walaupun IM seakan lunak dengan tentera sewaktu pilihanraya berlangusng dan juga selepas pilihanraya, namun mutakhir ini hubungan itu telah berubah. Desakan IM agar kabinet kerajaan pimpinan Ganzawi yang dibentuk oleh SCAF dimansuhkan dilihat oleh tentera sebagai usaha mencabar kuasa tentera. Begitu juga ugutan SCAF untuk membubarkan parlimen juga sebagai bukti bahwa teori konspirasi ini tidak berasas.
Apakah dengan u-turn ini, IM yakin Ir. Shater, seorang jutawan dan mantan naib murshidul ‘am boleh memenangi pilihanraya presiden? Walaupun Shater seorang yang karistmatik dan berdedikasi, namun kebolehannya tidak pernah terbukti di luar organisasi yang dianggotainya sahaja, dan lebih berkisar di dalam organisasinya di dalam Mesir sahaja. Pelbagai pihak juga mempertikaikan kondisi kesihatan Shater yang mengihdap sakit jantung dan diabetik. Tahap kondisi kesihatan beliau pernah mendapat perhatian Amnesty International sewaktu beliau dipenjarakan oleh rejim Mubarak pada sekita 2007-2009. Namun, bagi IM, calon yang mereka sifatkan sebagai ‘Nabi Yusuf bagi Mesir’ (berdasarkan kemampuannya untuk memulihkan ekonomi Mesir sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf di zamannya seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran) mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sebagai seorang korporat yang Berjaya, memiliki 7 ijazah di dalam pelbagai bidang, dipenjarakan lebih 15 tahun, dan juga pemimpin kanan pertubuhan tersebut, Ir. Shater dilihat lebih dari berkemampuan untuk menjadi presiden Mesir bagi pihak IM.
Persoalannya, apakah dengan reputasi IM di kalangan rakyat, golongan revolusioner, golongan muda dan juga para jurnalis dan pemerhati politik yang agak terjejas kerana u-turn mereka boleh meyakinkan rakyat untuk memilih Ir. Shater?
Tidakkan IM ingin peduli kepada nasihat Dr Yusuf al-Qaradawi bahawa IM perlu menerima semula Dr Abdel Mon’em Abul Futouh serta mengadakan perbincangan kesemua calon Islamis untuk jawatan presiden agar mereka bersepakat mengemukakan satu nama, dan meletakkan yang lainnya sebagai naib-naib presiden demi kebaikan Islam, rakyat dan negara Mesir?
Apa yang pasti, inilah kali pertamanya IM berada di dalam dilemma untuk berhadapan dengan pilihanraya pemilihan presiden Mesir yang demokratik dan lebih baik berbanding pilihanraya rekaan dan penipuan pada zaman rejim-rejim yang berkuasa di bumi Mesir sepanjang 84 tahun umur mereka di persada perjuangan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...