Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah
Sumber: e-book dari http://www.hafizfirdaus.com/
Ulamak berbeza pendapat tentang adakah menyentuh wanita membatalkan wuduk. Menurut Syaikh Kamal bin As-Sayyid Salim:
Dalam masalah ini ada tiga pendapat di kalangan para ulamak:
Pertama: Lelaki menyentuh perempuan secara mutlak membatalkan wuduk. Ini adalah pendapat Syafi’i yang disepakati oleh Ibnu Hazm dan merupakan perkataan Ibnu Mas’ud serta Ibnu ‘Umar.
Kedua: Tidak membatalkan wuduk secara mutlak menurut mazhab Abu Hanifah, Muhammad bin Hassan al-Syaibani dan merupakan perkataan Ibnu ‘Abbas, Thawus, al-Hassan, Atha’ dan dipilih oleh Ibnu Taymiyyah. Inilah pendapat yang kuat.
Ketiga: Menyentuh perempuan dapat membatalkan wuduk jika disertai syahwat. Ini adalah pendapat Malik dan Ahmad pada riwayat yang masyhur darinya.[1]
Apapun jua rata-rata umat Islam di Malaysia berpegang kepada pendapat yang pertama iaitu pendapat yang dipegang oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah. Imam al-Syafi’i berkata:
Apabila seseorang lelaki menyentuhkan tangan isterinya, atau bersentuhan sebahagian tubuhnya kepada sebahagian tubuh isterinya di mana tidak ada pembatas antara dia dan isterinya, baik dengan nafsu berahi atau tidak, maka wajib atas keduanya berwuduk.[2]
Dalil yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi’ rahimahullah adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),atau dalam perjalanan, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak
mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan),
tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu,supaya kamu bersyukur.[3]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.[4]
Bagi Imam al-Syafi’i rahimahullah ayat “atau kamu sentuh wanita” menjadi bukti bahawa tersentuh kulit di antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini ada baiknya sekiranya kita memahami bagaimanakah manhaj atau pegangan Imam al-Syafi’i yang juga di kenali dengan gelaran al-Nashir al-Sunnah (Seorang Pembela Sunnah) dan hal-hal yang bersangkutan ibadah. Imam al-Syafi’i berkata:
Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menurut kalangan Ahlul Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati.[5]
Selanjutnya Imam al-Syafi’i rahimahullah juga berkata:
Setiap hadis yang datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bererti itulah pendapatku, sekalipun kalian tidak mendengarnya sendiri dari aku.[6]
Masih terdapat banyak lagi kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah yang senada dengan apa yang telah penulis turunkan di atas. Oleh itu melalui risalah ringkas ini penulis akan sedaya upaya mengupas isu ini dengan merujuk kepada dalil-dalil yang sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
TAKRIFAN SEBENAR BERSENTUH DENGAN PEREMPUAN.
Bersentuh di dalam kedua ayat al-Qur’an di atas sebenarnya bukan merujuk kepada bersentuh antara kulit tetapi ianya sebenarnya merujuk kepada jimak (persetubuhan). Terdapat beberapa ayat di dalam al-Qur’an yang juga menggunakan istilah bersentuh tetapi ianya hanya mengarahkan kepada makna jimak.
Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (jimak) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapatseparuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.[7]
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh (dijimak) oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"[8]
Jelas kedua-dua ayat di atas merujuk bersentuh sebagai berjimak. Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh yang merupakan pakar tafsir al-Qur’an di kalangan para sahabat juga mentafsirkan bersentuh di dalam surah al-Nisaa’ dan al-Maaidah yang telah dipergunakan oleh Imam al-Syafi’i sebagai dalil untuk menguatkan hujahnya sebagai jimak. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:
Sedangkan makna menyentuh yang kemudian dijadikan dalil bahawa itu adalah hubungan badan (jimak) di dalam ayat di atas (iaitu di dalam surah al-Nisaa’ dan al-Maaidah), adalah seperti yang ditafsirkan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh).[9]
Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah memiliki penjelasan yang begitu baik tentang surah al-Maaidah ayat ke 6 dan beliau telah membuktikan bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak. Ayat tersebut dimulakan dengan pembahagian thohaarah asli kepada dua iaitu berwuduk untuk hadas kecil dan mandi wajib untuk hadas besar.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” menetapkan tentang diwajibkan berwuduk apabila berhadas kecil untuk bersolat.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: “…dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib…” menerangkan bahawa apabila kita berhadas besar diwajibkan mandi wajib.
Selanjutnya ayat tersebut menceritakan tentang thohaarah pengganti apabila tidak ada air yakni dengan bertayamum. Jika di awal ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta'ala telah membahagi thohaarah asli untuk hadas besar dan hadas kecil, tentu sekali thohaarah pengganti yakni tayamum juga akan meliputi perbahasan untuk hadas besar dan hadas kecil agar ianya sesuai dengan balaghah (sastera bahasa) al-Qur’an. Antara contoh-contoh yang Allah 'Azza wa Jalla pamerkan untuk thohaarah pengganti adalah:
1) dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air),
2) atau dalam perjalanan,
3 atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air,
4) atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi),
Perkara (1), (2) dan (3) adalah hadas kecil manakala perkara (4) sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melibatkan terjadinya hadas besar yakni berjimak.
Oleh itu Syaikh al-‘Utsaimin rahimahullah membuat kesimpulan:
Yang tepat bahawa ayat ini (al-Maaidah (5) : 6) menunjukkan bahawa firman-Nya: atau kamu sentuh perempuan maksudnya jika kamu menyetubuhi (berjimak) wanita agar ayat ini meliputi dua sebab yang mengharuskan bersuci (thohaarah) iaitu hadas besar dan hadas kecil. Dan berwuduk meliputi empat anggota badan, sedangkan mandi (wajib) meliputi seluruh badan. Sedangkan thohaarah pengganti iaitu tayamum meliputi dua anggtota tubuh sahaja baik tayamum untuk hadas kecil mahupun besar.[10]
Oleh itu ayat-ayat tersebut sebenarnya hanya menjelaskan bahawa sekiranya terjadi jimak atau persetubuhan di antara lelaki dan wanita maka hal tersebut membatalkan wuduk.
PETUNJUK DARI SUNNAH NABI SHALLAllahU 'ALAIHI WASALLAM
Terdapat beberapa hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan sekadar bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita ianya tidak membatalkan wuduk.
Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dia berkata:
Aku tidur di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, sedang kakiku di arah kiblatnya. Maka apabila baginda hendak bersujud, baginda mencolekku, maka aku lantas melipat kakiku.[11]
Menurut Imam Abu Ja’far al-Thobari hadis di atas menjadi bukti yang kukuh bahawa fiman Allah Subhanahu wa Ta'ala “kamu sentuh perempuan” itu bermaksud jimak. Menurut beliau:
Pendapat yang paling dekat dengan kebenaran adalah pendapat yang mengatakan bahawa makna firman Allah “kamu sentuh perempuan” itu adalah jimak bukan bermakna bersentuhan. Ini berdasarkan hadis sahih daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam behawasanya baginda mencium sebahagian isterinya lalu keluar untuk melaksanakan solat tanpa mengambil wuduk kembali.[12]
Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha dia berkata:
Pada suatu malam aku kehilangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka aku mencarinya dengan tanganku, kemudian tanganku mengenai telapak kaki baginda yang sedang tertegak dalam keadaan bersujud.[13]
Maka dari kedua hadis di atas jelaslah bahawa sekadar bersentuhan kulit sahaja tidaklah membatalkan wuduk. Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa di dalam kedua-dua peristiwa di atas persentuhan tersebut sebenarnya berlaku di dalam keadaan berlapik namun ini di sanggah oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Menurut beliau:
Penafsiran bahawa memegangnya dengan menggunakan pembatas (berlapik) adalah sebuah penafsiran yang jauh terpesong dari zahir hadis.[14]
Hal ini akan menjadi semakin jelas apabila kita meneliti hadis seterusnya. Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata:
Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mencium sebahagian isteri-isterinya lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi.[15]
Daripada ‘Aishah radhiallahu 'anha, dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menciumnya sedang baginda berpuasa.” Kemudian Nabi bersabda:
Ciuman ini tidaklah merosakkan (membatalkan) wuduk dan tidak pula membatalkan
puasa.[16]
Menerusi hadis-hadis di atas maka terdapat para ulamak yang menguatkan hujah mereka bahawa menyentuh perempuan samada disertai dengan syahwat mahupun tidak, ianya tidak membatalkan wuduk. Ini adalah kerana kebiasaannya bercium itu disertai dengan syahwat. Sekiranya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ingin membezakan bahawa ciuman yang bersyahwat itu membatalkan wuduk sementara ciuman yang biasa tidak membatalkan wuduk pasti ada riwayat darinya yang menggambarkan tentang perbezaan tersebut. Namun hadis di atas dibiarkan di dalam bentuk yang umum. Menurut Syaikh Sa’id al-Qahtani:
Menyentuh perempuan berdasarkan pendapat yang kuat tidak membatalkan wuduk, baik disertai syahwat mahupun tidak, selama tidak disertai keluarnya mani atau madzi kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah suatu ketika mencium sebahagian isterinya, lalu solat tanpa memperbaharui wuduknya.[17]
Menurut Fahd al-Syuwayyib, penulis kitab al-Ta’lieqaat al-Salafiyah’ ala Sunannya berkata:
Perkataan ghomazani (mencolek) atau seperti di dalam hadis al-Nasai massani bi rijilih (menyentuhku dengan kakinya), adalah maklum bahawa hal itu bererti menyentuh tanpa syahwat. Maka pengarang menjadikannya sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Adapun jika menyentuh dengan syahwat, maka alasan bahawa tidak batal kerananya ialah kembali kepada asal, iaitu tidak ada dalil yang menunjukkan tentang ianya membatalkan, sehinggalah orang yang berpendapat hal itu membatalkan dapat menunjukkan dalilnya. Dan ini cukup menjadi alasan hal itu tidak membatalkan. Bahkan akan tampak dalil yang mengindikasikan tidak membatal wuduk, iaitu hadis mengenai qublah (mencium), yang menurut kebiasaan bahawa mencium itu tidak terbebaskan dari adanya syahwat.[18]
Selanjutnya Fahd al-Syuwayyib berkata:
Apabila suami dan isteri merasa aman dari keluarnya suatu cairan, maka menyentuh itu tidak membatalkan wuduknya tetapi yang lebih utama adalah mengambil sikap berhati-hati kerana ada kalanya dia tidak dapat menjamin tidak keluarnya sesuatu cairan di dalam keadaan ini (adanya syahwat). Wallahu A’lam.[19]
Inilah beberapa petunjuk yang dapat kita ambil dari hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan perbahasan samada menyentuh wanita itu membatalkan wuduk ataupun tidak. Hadis-hadis tersebut jelas menunjukkan ianya tidak batal malah sebenarnya tidak wujud petunjuk daripada baginda bahawa hal tersebut boleh membatalkan wuduk. Menurut Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ al-Fatawa, jilid 21, ms. 235-236:
Adapun wajib wuduk nyata kerana menyentuh wanita dengan tanpa syahwat maka yang demikian adalah pendapat yang paling lemah. Pendapat ini tidak dikenal dari salah seorang sahabat manapun. Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi bahawa dia memerintahkan kaum muslim untuk berwuduk kerana disebabkan hal tersebut. Padahal ini adalah masalah yang sering terjadi yang hampir-hampir kaum muslim tidak dapat menghindarkan diri darinya. Sebab seorang lelaki selalu mengambil sesuatu daripada isterinya dan mengambilnya dengan tangannya. Dan yang serupa itu yang terjadi kepada kebanyakan manusia. Maka andaikata wuduk diwajibkan disebabkan kerana itu (iaitu bersentuhan lelaki dan wanita - pen) pastilah Rasulullah memerintahkan sekali ataupun dua kali dan akan tersebar luas di tengah para sahabat. Andaikata Rasulullah melakukan itu maka pasti akan ada hadis yang ditulis mengenai hal ini walaupun hadis ahad[20]. Maka ketika tidak ada satu hadis pun yang memerintahkan masalah ini dari salah seorang dari kaum muslimin bahawa Rasulullah memerintahkan seorang dari kaum muslimin –padahal ini sering kali terjadi- boleh kita fahami bahawa hal itu tidak wajib.[21]
KESIMPULAN
Setelah membentang serta membahaskan semua pandangan yang ada di dalam mazhab-mazhab fekah berkaitan isu samada menyentuh wanita membatalkan wuduk ataupun tidak, Dr Yusuf al-Qaradhawi membuat kesimpulan seperti berikut[22]:
Kami menyatakan bahawa pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah tidak batalnya wuduk secara mutlak. Sebab yang menjadi sandaran orang-orang mengkritik pandangan ini adalah ayat yang mulia ini.[23] Padahal tidak ada dilalah (indikasi) yang menunjukkan hal itu (yakni menyentuh wanita membatalkan wuduk – pen) di dalam ayat tersebut. Pandangan ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas (radhiallahu 'anh), Sang Tarjuman al-Qur’an (pakar tafsir al-Qur’an) dan orang yang Rasulullah doakan semoga Allah mengajarkan takwil (tafsiran). Pandangan ini sangat sesuai dengan penutup ayat ini:
Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.[24]
Syaikh Shalih Fauzan pula berkata:
Akan tetapi pendapat yang kuat adalah tidak membatalkan (wuduk apabila menyentuh wanita) secara mutlak, kecuali bila keluar sesuatu cairan dari orang yang menyentuh dan disentuh, seperti madzi dan sebagainya. Di dalam keadaan seperti ini, wuduk orang yang bersangkutan batal disebabkan sesuatu yang keluar darinya dan bukan kerana memegang.[25]
Penulis berpendapat sewajarnya kita menangani isu ini dengan minda yang bersih dari sifat fanatik mazhab. Apatah lagi Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri menganjurkan kita untuk lebih mengutamakan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari pendapat beliau sendiri dan sekiranya terdapat sunnah Nabi yang bertentangan dengan pandangan beliau maka tolaklah pendapat beliau. Firman Allah 'Azza wa Jalla:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.[26]
Melalui ayat di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala mewajibkan bagi kita sekiranya terjadi sesuatu perselisihan pendapat samada dalam perkara yang pokok atau cabang dalam agama, hendaklah dirujuk semula kepada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk mendapatkan kepastian tentang pandangan mana yang lebih benar dan tepat. Keengganan mencerminkan sikap seseorang yang tidak beriman sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat.
Tambahan pula antara manhaj Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam membuat pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Umm al-Mukminun ‘Aishah radhiallahu 'anha:
Tidaklah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan kecuali baginda memilih yang paling mudah di antaranya selagi tidak mengandungi dosa.[27]
Penulis melihat hukum batalnya wuduk apabila bersentuhan di antara lelaki dan wanita agak memberatkan serta menyukarkan umat Islam terutamanya bagi pasangan suami isteri. Kesukaran ini akan kelihatan lebih jelas lagi apabila kita terpaksa berasak-asak di dalam keadaan jumlah orang yang begitu ramai seperti ketika melaksanakan ibadah haji atau umrah. Untuk meringankan kesukaran ini maka ada pihak yang mengambil pendirian untuk bertaklid kepada mazhab Imam Ahmad hanya ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Saranan penulis kenapa tidak kembali sahaja kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang sememangnya memudahkan umatnya. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesungguhnya kalian diutus untuk memberikan kemudahan dan tidak diutus untuk menyulitkan.[28]
Baginda juga telah memerintahkan kita untuk mempermudahkan segala urusan sebagaimana sabdanya:
Permudahkanlah dan jangan kamu persulitkan.[29]
Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat Nabi radhiallahu 'anhum akan mengandungi unsur-unsur dosa. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala hanya menginginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya dan tidak mahu memberati kita semua. Ini sebagaimana Firman-Nya:
…(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…[30]
Rujukan
[1] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 210-211.
[2] Imam al-Syafi’i, Ringkasan Kitab al-Umm, (edisi terjemahan oleh Mohammad Yassir Abd Mutholib, Pustaka Azzam, Jakarta, 2005) jilid 1, ms. 25.
[3] Al-Maaidah (5) : 6
[4] al-Nisaa’ (4) : 43
[5] Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah, al-Harawi, Ibnul Qayyim di dalam al-I’lam dan al-Fullani. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (edisi terjemahan oleh Muhammad Thalib, Media Hidayah, Yogyakarata, 2000), ms. 59. Di mukasurat yang seterusnya buku ini hanya akan disebut sebagai Sifat Shalat Nabi.
[6] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam Adabu Asy-Syafi’i, ms. 93-94. Penulis nukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 58.
[7] Al-Baqarah (2) : 237
[8] Maryam (19) : 20
[9] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, (edisi terjemahan oleh Samson Rahman, Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2004) ms. 239.
[10] Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 291.
[11] Hadis riwayat Imam Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Sholah, no: 382.
[12] Tafsir al-Thobari, jilid 5, ms. 105. Dinukil dari kitab Ensiklopedi Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin Salim Bazamul, ms. 96.
[13] Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, Kitab al-Shalah, no: 486.
[14] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms 236.
[15] Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Thohaarah, no: 79, Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 495 dan Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 24584.
[16] Menurut Syaikh Sayyid Sabiq hadis ini dikeluarkan oleh Ishak bin Rahawaih dan al-Bazzar dengan sanad yang cukup baik. Menurut Abdul Hak, tidak ada cacat untuk tidak mengamalkannya. Penulis nukil dari kitab Fikih Sunnah, (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 1, ms. 113.
[17] Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani, Thaharah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam: Tuntunan Bersuci Lengkap, (Edisi terjemahan oleh Abu Shafiya, Media Hidayah, Jogjakarta, 2004) ms. 86.
[18] Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, (edisi terjemahan oleh Azhar Khalid Seff, Darus Sunnah, Jakarta, 2005), ms. 95-96.
[19] Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dan Fahd bin Abdur Rahman al-Syuwayyib, Beginilah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Berwuduk, ms. 97.
[20] اَحَدُ bermaksud satu. Hadis ahad ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja, khasnya di tingkatan pertama, yakni tingkatan para sahabat. Ini berbeza dengan hadis mutawatir di mana ia adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi (melebihi 4) sehingga tidak mungkin mereka berbuat silap dalam meriwayatkannya. Hadis ahad yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi dasar hukum dalam agama menurut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Silalah rujuk artikel-artikel berikut dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (buku 1) terbitan Perniagaan Jahabersa) susunan Saudara Hafiz Firdaus Abdullah:
1) Kedudukan Hadis Ahad: Dari zaman awal Islam sehingga kini oleh Hafiz Firdaus Abdullah.
2) Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus.
[21] Dinukil daripada kitab Fikih Thaharah karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, ms. 239.
[22] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms. 240.
[23] Iaitu surah al-Nisaa’ ayat ke 43 dan Surah al-Maaidah ayat ke 6.
[24] Al-Maaidah (5) : 6
[25] Syaikh Shalih bin Fauzan bin ‘Abdullah al-Fauzan, Fatwa-Fatwa Syaikh al-Fauzan, (edisi terjemahan oleh Ali Murtadho Syahudi, Jakarta, 2004) ms.153.
[26] al-Nisaa’ (4): 59
[27] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Hudud, hadis no. 6786.
[28] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, No: 220.
[29] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-’Ilm, No: 69.
[30] al-Baqarah (2) : 185
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid&...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment