Pages

TERIMA KASIH KERANA MELAWAT BLOG INI

Sunday, November 22, 2009

Sucikah Air Mustakmal Digunakan Untuk Berwuduk?

Dipetik dari buku Beberapa Persoalan Lazim Tentang Thaharah
Penulis - Mohd Yaakub bin Mohd Yunus : Disemak Oleh - Tuan Hassan Tuan Lah

Sebagaimana yang lazim kita pelajari daripada ustaz-ustaz atau buku-buku tentang Fardhu ‘Ain, air mustakmal itu tidak boleh dibuat bersuci. Sekiranya air mustakmal itu digunakan untuk berwuduk nescaya wuduk kita itu dianggap terbatal. Wuduk yang batal akan menjejaskan keabsahan solat seseorang. Oleh sebab itu permasalahan air mustakmal harus kita perhatikan dengan serius kerana solat adalah perkara yang pokok di dalam Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya
adalah jihad.[1]

DEFINISI AIR MUSTAKMAL

Air mustakmal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Ustaz Ismail Kamus menyatakan bahawa air mustakmal:

Iaitu air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas samada hadas yang kecil (berwuduk) atau hadas besar (mandi wajib). Ini bermakna air yang telah dibasuhkan kepada anggota yang wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, maka air itu dikira sebagai air mustakmal iaitu tidak boleh dibuat bersuci. Ia hanya boleh dibuat minum atau makan sahaja atau membasuh benda-benda yang bukan najis. Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal.[2]


Dalam Ensiklopidi Hukum Islam, Bab Air, air mustakmal didefinasikan sebagai:

Air yang kurang dari dua kolah (216 liter) yang terpisah atau mengalir dari atau pada anggota tubuh seseorang yang berwuduk atau mandi wajib. Contohnya ialah terjatuhnya semula air yang sedang digunakan bagi berwuduk ke dalam bekas simpanan air yang digunakan sebagai sumber air wuduk atau air yang sama (tidak mengalir dari sumber yang baru) yang digunakan bagi mengulang-basuh keseluruhan anggota wuduk.[3]

Dalam ertikata lain sekiranya kita sedang berwuduk atau mandi maka percikan air dari anggota badan kita termasuk dalam bekas air seperti kolah, baldi, tong dan bekas takungan air yang lain yang kandungan airnya kurang dari dua kolah, maka air di dalam bekas tersebut dihukumkan sebagai mustakmal. Maka tidak sah berwuduk dengan air tersebut. Benarkah dakwaan ini? Mari kita lihat perbahasan seterusnya.

ADAKAH TUBUH SEORANG MUKMIN ITU NAJIS?

Kebiasaannya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk dengannya adalah disebabkan ianya telah tercampur dengan unsur-unsur najis. Maka adakah tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga sekiranya terpercik air dari anggota tubuhnya ia boleh menjejaskan kesucian sumber air untuk berwuduk? Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu itu dia di dalam keadaan junub. Maka dia pun menyelinap pergi daripada Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke mana dia tadi lalu dijawabnya bahawa dia sedang di dalam keadaan junub dan tidak hendak menemani baginda di dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.”[4]

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di dalam bab “Keringat Orang Junub dan Seorang Muslim Tidak Najis.” Jelas melalui hadis di atas, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun di dalam keadaan berjunub. Oleh itu tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air daripada tubuh seorang mukmin lalu jatuh ke dalam bekas air ianya akan menghilangkan kesucian air tersebut. Jelas apabila barang yang suci bertemu barang yang suci ianya tidak akan memberi pengaruh apa-apa.[5]

Tambahan lagi menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Ibnu Hibban (rahimahullah) telah menyebutkan hal ini di dalam satu bab yang tersendiri di dalam kitabnya, sebagai bantahan terhadap orang yang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis.[6]

RASULULLAH TIDAK MENGHARAMKAN PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL UNTUK BERWUDUK

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan daripada Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali… Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…”[7]

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.”[8]

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda shallallahu 'alaihi wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu.[9]

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat yang lain.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq.[10]

Ulamak berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain.[11] Apapun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah[12] dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

Selanjutnya Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan sebuah athar secara mu’allaq[13]:

“Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh memerintahkan keluarganya untuk berwuduk dengan sisa air yang dia gunakan untuk bersiwak (membersihkan gigi dengan kayu sugi)”[14]

Mengikut amalan kebiasaan di Malaysia ternyata sisa air yang dipakai untuk mencelupkan kayu siwak/sugi[15] adalah termasuk dalam jenis air mustakmal yang tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk. Ternyata Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh seorang sahabat yang hidup sezaman dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam telah menyelisihi amalan yang lazim diamalkan di Malaysia ini.

Abu Juhaifah berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar menemui kami waktu tengahari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwuduk maka manusia mengambil sisa air wuduknya, kemudian menyapukan ke badan mereka..”[16]

Berkenaan dengan hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.”[17]

Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas adalah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa timbulnya keraguan. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa berbeza sedikitpun. Hal itu adalah disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak dijumpai satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu.[18]

BENARKAH IMAM AL-SYAFI’I MENOLAK PENGGUNAAN AIR MUSTAKMAL DALAM WUDUK?

Setelah penulis merujuk kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang al-Thohaarah (bersuci) jilid 1, halaman 32 hingga 44, ketika beliau membicarakan hukum penggunaan air yang kurang dari dua kolah[19], ternyata perbincangan beliau lebih berkisar tentang air yang kurang dari dua kolah tersebut bercampur dengan najis. Maka di dalam keadaan ini hukum air tersebut adalah tidak menyucikan dan tidak sah digunakan untuk berwuduk. Sedangkan bagi air yang umat Islam di Malaysia definasikan sebagai mustakmal maka beliau menganggap ianya suci lagi menyucikan. Telah tertulis di dalam kitab al-Umm:

Al-Rabi’ berkata: “Peluh orang Kristian, orang berjunub dan wanita yang sedang haid itu suci. Demikian juga peluh orang majusi dan peluh setiap binatang ternak itu suci. Air sisa minuman binatang ternak dan binatang buas seluruhnya itu suci kecuali anjing dan babi.

Al-Rabi’ berkata dan itu adalah kata al-Syafi’i bahawa: “Apabila seorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan perbuatan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu di dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, nescaya dia dapat berwuduk dengan air itu. Kerana yang terdapat pada sugi itu adalah air liurnya. Dan kalau dia meludah atau berkahak atau berhingus dalam air, nescaya tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka tidaklah menajiskan air kecuali binatang itu anjing dan babi.

Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya jatuh dalam air, nescaya tidak menajiskan. Kerana keringat manusia dan binatang ternak itu tidak najis. Dan sama sahaja dari tempat manapun peluh itu, dari bawah bahu atau lainnya.[20]

Selarilah pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah dengan hadis-hadis yang sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang keabsahannya menggunakan air mustakmal untuk berwuduk.

Berkenaan dengan hukum penggunaan air mustakmal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa di sana ada air yang suci namun tidak menyucikan yang mereka sebutkan sebagai air mustakmal…Namun tidak ada dalil manapun yang menunjukkan akan kebenaran pendapat ini bahkan dalil sebaliknya (sucinya air mustakmal) ditunjukkan dengan sangat jelas.[21]

Pengarang Kitab Shahih Fikih Sunnah pula berkata:

Dalam hal ini (penggunaan air mustakmal) para ulamak berbeza pendapat, apakah ia tetap suci atau tidak? Pendapat yang paling kuat menyatakan bahawa ia masih tetap dianggap air yang dapat menyucikan selagi tidak keluar dari nama air mutlak dan tidak bercampur dengan suatu najis yang sampai mempengaruhi salah satu sifatnya (iaitu warna, bau dan rasa). Ini adalah pendapat Ali bin Abu Thalib, Ibnu ‘Umar, Ibnu Umamah, segolongan ulamak salaf, yang masyhur dari mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Syafi’i dan Ahmad, pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Mundzir dan pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam (Ibnu Taymiyyah).[22]

Adalah harapan penulis dengan penjelasan yang serba ringkas ini akan dapat menghilangkan keraguan tentang kesucian air mustakmal untuk digunakan ketika berwuduk. Maka air yang di dalam baldi, tong drum, kolah dan sebagainya yang biasa kita gunakan di rumah untuk menyimpan air adalah dibenarkan untuk dipergunakan untuk berwuduk walaupun telah terpercik dengan air dari badan kita. Air di dalam bekas tersebut adalah sama hukumnya dengan air mutlak selagi tidak bercampur dengan najis atau berubah bau, warna dan rasanya.



[1] Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi di dalam Sunan Tirmidhi, kitab al-Iman, no: 2541.
[2] Al-Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus, Panduan Fardhu ‘Ain, At-Tafkir Enterprise, Kuala Lumpur 1997, ms. 20.
[3] Hafiz Firdaus Abdullah, Panduan Ibadah Dalam Musafir Penerbangan, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru 2000, ms. 29.
[4] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ghusl, no: 283.
[5] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur 1990, Jilid 1, ms. 37.
[6] Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahihnya, Tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Pustaka Azzam, Jakarta 1997, Jilid 2, ms. 469.
[7] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Wuduk, no: 164.
[8] Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, Kitab al-Thaharah, no: 110.
[9] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 261.
[10] Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, Kitab al-Ghusl, no: 250.
[11] Sila rujuk perbahasan al-Hafidz Ibnu Hajar ketika mensyarah no: 250 di dalam Fathul Baari, jilid 2, ms. 399-400.
[12] Hadis ‘Aisyah ini (no: 261) menunjukkan bolehnya suami isteri mandi bersama ketika mandi wajib dan juga boleh saling melihat tubuh masing-masing. Menurut al-Hafidz:
Al-Dawudi berhujah dengan hadis ini untuk membolehkan seorang suami melihat aurat isterinya demikian juga sebaliknya. Ini diperkuatkan lagi dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban melalui Sulaiman bin Musa ketika ditanya tentang seorang suami melihat kemaluan isterinya, maka dia berkata:
Aku bertanyakan hal ini kepada ‘Aisyah kemudian dia menyebutkan hadis ini dengan maknanya. Ini merupakan nas dalam masalah tersebut. Wallahu A’lam. – Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 2, ms. 400.
[13] Hadis yang diriwayatkan secara mu’allaq adalah hadis yang terputus dari awal-awal sanadnya seorang perawi atau lebih. Melalui athar ini Imam al-Bukhari rahimahullah tidak menunjukkan sanad athar tersebut melainkan secara terus meriwayatkannya daripada Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh. Namun begitu menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah sanad athar tersebut telah diriwayatkan juga oleh Imam-Imam yang lain:
Riwayat dan silsilahnya (sanad athar tersebut – pen) disebutkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan al-Daruquthni serta lainnya dari jalur Qais bin Abu Hazim dari Jarir bin ‘Abdullah. (Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahihnya, tahqiq Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Pustaka Azzam, Jakarta 1997, Jilid 2, ms. 196. Selepas ini kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari sahaja)
[14] Athar Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, Bab “Mempergunakan Sisa Air Wuduk Orang Lain.”
[15] Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah telah menunjukkan bahawa Jarir bin ‘Abdullah telah membenamkan hujung kayu suginya tersebut. Sila rujuk Fathul Baari Jilid 2, ms. 196.
[16] Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Wuduk, no: 187
[17] Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 196.
[18] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur 1990, Jilid 1, ms. 36.
[19] Pengkhususan ukuran dua kolah sebagai ukuran untuk memastikan kesucian air adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar, dia berkata:

“Saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ditanya tentang air yang bertakung di tengah padang pasir tenpat minum haiwan buas dan haiwan ternak. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلْ الْخَبَثَ.
“Air yang mencapai dua koleh tidak boleh dinajiskan oleh apa pun.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, Kitab al-Thohaarah, no: 67.

Daripada hadis ini ada yang berpendapat bahawa air yang tidak mencapai ukuran dua kolah sekiranya sesuatu unsur najis terjatuh ke dalamnya, air tersebut tetap dianggap najis walupun tidak terjadi perubahan terhadap air tersebut dari segi warna, bau dan rasanya. Namun begitu hal ini telah di bantah oleh Dr. Muhammad bin Umar yang berpendapat:

Penyebutan dua kolah (dalam hadis tersebut) secara khusus demi menyesuaikan dengan pertanyaan, bukan demi pengkhususan hukum. Ini adalah kerana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak menyebutkan ukuran tersebut pada permulaan sabda baginda, tetapi baginda menyebutkannnya ketika ada sahabat yang bertanya tentang air yang bertakung di tempat minum binatang-binatang buas. Apabila pengkhusususan itu disebutkan sebagai jawapan atas sesuatu pertanyaan, maka pengkhususan tersebut tidak dapat dijadikan hujah. Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata: “Menurut majoriti ulamak, apabila pengkhususan bukan disebabkan pengkhususan hukum maka tidak dapat dijadikan hujah. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. – al-Israa’ (17) : 31

Pengkhususan takutkan kepapaan adalah sebab larangan, kerana sebab inilah yang banyak terjadi. Bukan bererti hukum haram membunuh anak hanya pada saat takut kepapaan. – Rujuk Ensiklopedi Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin Salim Bazamul, ms. 51.

Beliau menambah lagi:

Sekiranya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ingin membezakan antara ukuran air yang menjadi najis, jika terkena najis, dan ukuran yang tidak ternajis kecuali jika berubah sifatnya tentu baginda akan bersabda: “Jika air tidak mencapai dua kolah maka akan dinajisi dan apabila mencapai dua koleh maka air tersebut tidak akan dinajisi kecuali jika sifatnya berubah” atau dengan lafaz lain yang mempunyai maksud yang sama. – Rujuk Ensiklopedi Tarjih Masalah Thaharah dan Shalat karya Dr Muhammad bin Umar bin Salim Bazamul, ms. 53.
[20] Al-Imam al-Syafi’i rahimahullah, Al-Umm (Kitab Induk) (Edisi Terjemahan oleh Prof TK. H. Ismail Yakub, Victorie Agencie, Kuala Lumpur 1989), jilid 1, ms. 38.
[21] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms.52.
[22] Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 160.



No comments:

Post a Comment

Popular Posts