Oleh Juanda Jaya Mufti Kerjaan Negeri Perlis Darus Sunnah
BARANG yang paling mudah dijual sememangnya agama. Setiap manusia yang lahir dengan indoktrinasi atas nama Islam jenama sendiri, yang kental daripada keluarga, kumpulan dan golongan tertentu, semangat asabiyahnya berakar umbi, sering menjadi mangsa mereka yang mempergunakan nama Islam.
Asalkan dicop Islam, barangan dianggap pilihan selamat, baik dan terjamin kualitinya. Walaupun akhirnya kecewa dengan barang yang dibeli kerana rendahnya kualiti daripada barangan yang tidak dicop Islam.
Tidak hairan apabila orang Islam akhirnya memilih kedai apek yang peramah dan mesra, jujur dan pemurah dengan harga berpatutan berbanding harus menerima layanan buruk daripada peniaga sesama Muslim yang tidak amanah walaupun nama kedai runcitnya Islam.
Nama ustaz amat laris dijual, inikan pula nama Tuhan. Ia menjadi daya tarikan paling mujarab demi mengaut keuntungan peribadi dan dunia. Pernah seseorang mengadu mengenai jaringan pelaburan yang mengaut modal daripada ahlinya dengan menjual nama pertubuhan anak yatim, kononnya hasil keuntungan terus disalurkan kepada organisasi dakwah dan kebajikan.
Bahkan nama ustaz pun dijual untuk menarik modal walaupun beliau tidak tahu diperguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Penipuan atas nama anak yatim, pembangunan masjid, sekolah Islam dan badan kebajikan untuk menarik keuntungan peribadi sememangnya berlaku.
Berniaga sambil beramal menjadi cogan kata walaupun hanya satu sen untuk bahagian anak yatim dan beribu-ribu ringgit masuk ke dalam perut sendiri. Sekali lagi jenama agama sememangnya panas dan terus mendapat sambutan daripada umat Islam.
Daripada harga paling murah dijual di kedai kopi sehingga jualan saham, bacaan al-Quran untuk orang mati, ceramah dengan harga melampau walaupun sedikit sekali kesan ilmu pusaka Nabi SAW menyentuh peribadi yang mendengar, melainkan sekadar seronok tertawa dengan kisah jenaka dan rekaan penceramah dan yang paling hebat jualan Islam dalam berpolitik.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Itulah orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, Maka tidak akan diringankan seksaan mereka dan mereka tidak akan ditolong.” (Surah Al-Baqarah: 86)
Memang tiada masalah untuk meletakkan nama Islam sebagai jenama melariskan barangan atau memperjuangkan politik tetapi intinya hendaklah kejujuran, amanah, keadilan dan kesucian Islam. Jangan cemari Islam dengan perbuatan tidak bermoral yang bertentangan dengan kemuliaan Islam.
Sejarah merakamkan seorang sultan kerajaan Islam mengeksploitasi jihad rakyatnya. Syukurlah sudah lahir di tengah mereka ulama alim lagi amanah dengan ilmunya iaitu Imam Al-Nawawi.
Saat itu Sultan Zahir Baibars mengumpulkan tandatangan seluruh ulama di Damsyik yang bersetuju untuk menghalalkan undang-undang mengambil harta rakyat untuk jihad melawan Tartar.
Imam Al-Nawawi tidak sependapat dengan mereka yang mengeksploitasi jihad demi keuntungan peribadi lantas berkata: “Kita mengetahui dulu tuan (sultan) adalah hamba sahaya yang tidak memiliki apa-apa. Lalu Allah memuliakan tuan dan menjadikannya raja.
“Sekarang tuan memiliki 1,000 hamba yang memakai pakaian daripada emas dan 200 hamba perempuan yang memakai perhiasan bertatahkan permata. Jika tuan menginfakkan semuanya sehingga hamba lelaki hanya memakai pakaian bulu domba dan hamba perempuan melepaskan perhiasannya, pasti aku akan fatwakan boleh mengambil harta rakyat untuk keperluan berjihad.” (Al-Da’wah wal Du’aat Fil Islam, Dr Mustafa Ar-Rafi’i)
Betapa liciknya mereka yang mempergunakan nama Islam untuk kepentingan peribadi dan alangkah berat dosa yang ditanggung penipu ini di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Bahkan orang yang mengaku kononnya keturunan Nabi SAW mempergunakan keistimewaan itu untuk kepentingan diri. Dulu ada yang mengambil cukai secara haram di sekitar Masjidil Haram daripada jemaah haji setiap tahun.
Mereka rasa berhak atas harta tetamu Allah SWT disebabkan kononnya keluarga Nabi SAW, padahal puteri Baginda, Fatimah pernah meminta harta peninggalan Rasulullah SAW daripada Amirul Mukminin Abu Bakar berupa tanah bekas rampasan perang, tetapi permintaannya ditolak kerana Abu Bakar pernah mendengar hadis Nabi SAW bahawa Baginda tidak mewarisi harta kepada keluarganya.
Pada zaman pemerintahan Umawiyah, sebahagian ahli politik menyalahgunakan kemuliaan Jumaat untuk mencerca Ali Abu Talib dan keluarganya. Mereka mengeksploitasi Islam demi kepentingan politik semata-mata sehingga datang Umar Abdul Aziz yang memurnikan semula syariat Islam.
Begitu pula pada zaman Abbasiyah, sebelum tercetusnya pemberontakan terhadap daulah Umawiyah mereka mempengaruhi ulama supaya menyokong cita-cita untuk menegakkan keadilan Islam tetapi selepas berjaya, ulama itu dihampakan ahli politik yang kotor.
Al-Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah wal-Nihayah menulis mengenai kisah perjuangan ulama hebat, Ibrahim Maimun yang menyokong pemberontakan Abbasiyah kononnya menegakkan hukum Allah SWT sesuai dengan al-Quran dan sunnah.
Namun, ketika kemenangan jatuh ke tangan Abbasiyah, beliau dihukum bunuh oleh pemimpin Abbasiyah iaitu Abu Muslim Al-Khurasani kerana lantang menyuarakan tuntutan menegakkan hukum Allah SWT. Sekali lagi Islam dijadikan alat untuk meraih kepentingan politik pihak tertentu kerana pada akhirnya Abu Muslim dibunuh kerana didakwa mengkhianati Khalifah.
Sesiapa yang mencintai agama ini harus memberi fokus sebanyak-banyaknya untuk kepentingan agama saja, bukan memeras setamak-tamaknya harta, kedudukan dan kekuasaan atas nama agama. Sesiapa yang ditawarkan jualan berjenama Islam hendaklah berhati-hati daripada unsur penipuan yang terancang ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid&...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment