Muhammad Hanief Awang Yahaya
Pada peringkat awal sejarah Islam, hadith-hadith begitu terpelihara daripada sebarang pemalsuan. Para ulama sangat bersungguh dalam menjaga hadith sehingga mereka meletakkan syarat-syarat yang ketat supaya hadith yang diterima dan disampaikan dalam bentuk yang diyakini benar daripada Rasulullah saw.
Apabila berlaku fitnah dalam sejarah Islam sejak peristiwa pembunuhan ‘Uthman, muncul golongan Shi’ah yang cuba menonjolkan peribadi ‘Ali sebagai pengganti sebenar bagi Rasulullah saw. Kemudian lahirlah pula satu puak yang menentang ‘Ali iaitu Khawarij. Masing-masing mencipta hadith palsu demi kepentingan mereka. Ketaksuban mereka terhadap tokoh-tokoh tertentu mendorong mereka mencipta hadith palsu dan orang yang mula-mula merintis jalan ini ialah golongan Shi’ah. Kenyataan ini diakui sendiri oleh tokoh Shi’ah, Ibn Abi al-Hadid di dalam Sharh Nahj al-Balaghah. Katanya: “Ketahuilah punca pendustaan di dalam hadith kelebihan-kelebihan (fadhail) ialah golongan Shi’ah.” [1]
Pada masa itu, Iraq merupakan pusat penyebaran utama ajaran Shi’ah. Oleh itu kita dapati perawi-perawi Shi’ah kebanyakan mereka menisbahkan diri mereka dengan al-Kufi atau al-Basri. Persekitaran Iraq yang membahayakan menyebabkan ulama hadith begitu berhati-hati dengan riwayat yang disampaikan oleh penduduk Iraq. Imam al-Zuhri berkata: Hadith keluar dari sisi kami dengan sejengkal kemudian kembali kepada kami dari Iraq dengan sehasta.[2] Imam Malik menyebutkan Iraq sebagai negeri darb iaitu hadith-hadith ditempa di situ kemudian dikeluarkan kepada orang ramai seperti mana dirham ditempa dan dikeluarkan untuk urusan jual beli.[3] Hisham bin Urwah berkata: Apabila penduduk Iraq menceritakan kepada kamu seratus hadith hendaklah kamu campakkan sembilan puluh sembilan dan kamu raguilah yang tinggal satu lagi itu.[4]
Ulama hadith sangat berhati-hati dengan riwayat daripada golongan Shi’ah kerana merekalah yang paling banyak mereka-reka hadith. Hadith-hadith yang direka oleh mereka tidak lain hanya untuk memperbesarkan Ali dan ahli bait. Kata Ibn al-Jawzi: Hadith-hadith tentang kelebihan Ali sangat banyak namun golongan Rafidah tidak berpuas hati lalu mereka mencipta apa sahaja yang tidak sabit daripada Rasulullah saw.[5]
Kata Amir al-Sha`bi: Tidak ada seorang pun dari kalangan ummat ini yang paling banyak didustakan di atas namanya seperti yang berlaku kepada Ali ra.[6]
Ulama hadith menolak riwayat golongan Shi’ah kerana pendustaan yang menjadi amalan dan syiar puak mereka. Apabila ditanya tentang mereka, Imam Malik berkata: Jangan kamu bercakap dengan mereka, dan jangan kamu meriwayatkan daripada mereka kerana mereka selalu berdusta. Hammad bin Salamah berkata: Seorang alim Shi’ah menceritakan kepada saya bahawa apabila kami duduk berhimpun lalu kami merasakan sesuatu itu elok, kami jadikannya sebagai hadith.[7] Imam al-Shafi`e berkata: Tidak pernah saya melihat golongan yang mengikut hawa nafsu yang lebih berdusta daripada golongan Rafidhah. Yazid bin Harun berkata: Hadith boleh ditulis dari semua ahli bid`ah selagi mereka tidak menyeru kepada bid`ahnya kecuali golongan Rafidhah kerana mereka mencipta hadith-hadith palsu.[8]
Pendustaan yang dilakukan oleh golongan Shi’ah sangat jelas berbanding dengan golongan sesat yang lain. Ini kerana pembohongan sudah menjadi satu prinsip keimanan mereka yang asas. Berbeza dengan golongan Khawarij yang mengatakan berdusta boleh menyebabkan kufur kerana pada fahaman mereka melakukan dosa besar menyebabkan seseorang itu menjadi kafir. Kata Ibn Taymiyyah: Golongan Khawarij, walaupun mereka terkeluar dari Islam seperti terlepasnya panah dari busurnya dan walaupun Rasulullah saw memerintah supaya memerangi mereka, mereka bukanlah satu golongan yang sengaja berdusta. Malah mereka dikenali dengan sifat yang benar sehingga dikatakan hadith mereka adalah hadith yang paling sahih. Tetapi mereka jahil dan sesat di dalam bid`ah mereka. Tidaklah bid`ah mereka itu zindiq atau mulhid tetapi kerana kejahilan dan kesesatan dalam memahami makna al-Qur’an.[9]
Berbeza dengan Shi’ah atau Rafidah, punca bid`ah mereka ialah zindiq dan mulhid. Mereka sengaja berdusta dan mengakuinya sebagai tuntutan ajaran agama mereka dan dapat mendekatkan diri kepada Allah.
Beberapa Kaedah Periwayatan Daripada Shi’ah
Para ulama mempunyai beberapa pendirian yang tersendiri dalam meriwayatkan hadith-hadith daripada golongan Shi’ah. Ini kerana keadaan seseorang perawi Shi’ah itu berbeza dengan ahli bid’ah dan kumpulan sesat yang lain. Malah di kalangan mereka sendiri ada yang bersifat melampau dan ada yang tidak sampai ke tahap itu. Bagaimanapun setiap mereka tetap memiliki ciri khas Shi’ah iaitu berbohong dan memuja Ali dan keluarganya.
Dalam meriwayatkan hadith daripada golongan Shi’ah terdapat beberapa kaedah yang mesti dipegang. Ini mengambil kira kedudukan perawi dan kandungan riwayat tersebut. Seseorang perawi yang berfahaman Shi’ah dengan tidak melampau (seperti melebihkan Ali daripada Uthman) boleh diterima riwayatnya.
Selagi seseorang perawi Shi’ah tidak terbukti sebagai pendusta dan tidak mengemukakan riwayat-riwayat tentang kelebihan Ali, Fatimah, Hasan dan Husin maka riwayat mereka boleh diambil. Oleh itu, riwayat perawi Shi’ah berkenaan dengan manaqib Ali, Fatimah, Hasan dan Husin serta mathalib ya’ni celaan terhadap para sahabat tidak boleh diterima.[10]
Riwayat perawi Shi’ah berkenaan dengan manaqib sahabat terutama Abu Bakar, Umar dan para isteri Rasulullah saw tidak boleh diterima kerana ia mempunyai unsur tabarra. Walaupun pada zahirnya menunjukkan mereka memuliakan sahabat tetapi terdapat penghinaan kepada mereka malah kadang-kadang berlaku penghinaan kepada Rasulullah saw.
Oleh kerana Shi’ah adalah ahli bid`ah, maka riwayat mereka tidak diterima kerana mereka dikafirkan kerana bid`ah mereka. Sekiranya bid`ah yang tidak membawa kepada kekufuran yang dilakukan oleh sebahagian golongan Shi’ah, maka riwayat mereka boleh diterima selagi tidak menyokong kepada fahaman mereka. Bagaimanapun sikap mereka yang suka berdusta di atas nama taqiyyah sudah cukup untuk menyebabkan mereka dituduh sebagi pendusta besar.
Jenis Hadith Rekaan Shi’ah
Apabila Shi’ah mendapati hadith daripada Rasulullah saw tentang kelebihan seseorang sahabat dalam sesuatu perkara, pasti mereka akan membawa juga hadith daripada mereka tentang kelebihan tersebut pada Ali.[11]
Shi’ah selalunya akan mencipta hadith berkenaan dengan kelebihan-kelebihan Ali, Fatimah, Hasan dan Husin. Dengan berkata begini bukan bererti kita mengatakan setiap hadith yang menyebut kelebihan Ali dan keluarganya mawdu`. Hadith-hadith tentang keburukan Bani Umayyah juga menjadi rekaan mereka.
________________________________________
[1] Dinukilkan daripada al-Siba`i, al-Sunnah Wa Makanatuha fi al-Tashri` al-Islami, hal. 79.
[2] Ibid. hal. 82.
[3] Ibid.
[4] Habibur Rahman al-Kandahlawi, Tahqiq Umer `Aishah, hal. 16.
[5] al-Zahabi, al-Muntaqa min Minhaj al-I`tidal, hal. 48.
[6] al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, jil. 1, hal. 77.
[7] Al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan, jil. 1, hal. 11.
[8] Ibid, jil. 1, hal. 10.
[9] Ibn Taymiyyah, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah , jil. 1, hal. 67-68
[10] Habibur Rahman al-Kandahlawi, Mazhabi Dastanin Aur Unki Haqiqat, jil. 4, hal. 86
[11] ibid, jil. 3, hal. 140-141 dan 186.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Popular Posts
-
darulkautsar.net Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karan...
-
Oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah Pada kesempatanbulan ini, saya ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian satu lagi subjekfiqh yang jar...
-
Oleh: zain y.s (al-ahkam.net) Sumber: darulkautsar.net Bid'ah hasanah. Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bid&...
-
Oleh Hafiz Firdaus Abdullah Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramad...
-
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada...
No comments:
Post a Comment